Bawa ‘rakan sekelas’ melawat Muzium Pahang bukan sekadar aktiviti pembelajaran biasa apabila ia melibatkan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Keperibadian yang merendah diri dan mencintai ilmu jelas terpancar sejak KDPB Tengku Ampuan Pahang kembali menyambung pengajian peringkat sarjana di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada lewat tahun 2024.
Langkah tersebut mencuri perhatian ramai dan menjadi simbol ketekunan serta komitmen terhadap pendidikan sepanjang hayat.
Gelaran Permaisuri ternyata tidak pernah menjadi batas kepada semangat menuntut ilmu, sebaliknya menjadi bukti bahawa pencarian ilmu mampu merentas usia, pangkat dan darjat.
Pada 26 Januari 2026, Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke galeri-galeri Muzium Pahang di Pekan dan Kuantan selama dua hari bermula Sabtu lalu.
Lawatan ini menjadi lebih istimewa apabila baginda sendiri membawa bersama pensyarah serta rakan-rakan sekelas dari ISTAC UIAM.
Kemesraan yang ditunjukkan jelas terserlah sepanjang lawatan apabila baginda tidak sekadar hadir sebagai tetamu diraja, malah turut berperanan aktif sebagai pencetus perbincangan ilmiah.
Baginda berkongsi pengetahuan mendalam mengenai Hukum Kanun Pahang serta sejarah Kesultanan Pahang dengan penuh hikmah dan keterbukaan kepada ahli rombongan.
Antara lokasi yang dilawati dan diketuai sendiri oleh baginda termasuklah Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Masjid Sultan Abdullah, Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi, Kutubkhanah Diraja, Museum of Contemporary Art (MOCA), MOCA+, serta Muzium Tunku Azizah Fesyen & Tekstil.
Setiap hentian dalam Lawatan Muzium Pahang ini menjadi ruang dialog antara sejarah silam dan generasi masa kini. Penceritaan eksklusif daripada seorang Permaisuri yang begitu arif tentang warisan negeri menjadikan pengalaman pembelajaran lebih hidup dan bermakna, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada para peserta.
Bagi seisi ahli rombongan, pengalaman menuntut ilmu bersama seorang Permaisuri bukan sahaja luar biasa, malah menyentuh emosi. Amirah Husna Mohd Nazri, 27, salah seorang pelajar sarjana ISTAC UIAM yang menyertai lawatan tersebut, meluahkan rasa terharu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Saya rasa seperti mimpi apabila rakan sekelas saya adalah KDPB Tengku Ampuan Pahang,” ujar Amirah. Menurutnya, peluang mendengar sendiri perkongsian sejarah Kesultanan Pahang daripada Tuanku merupakan pengalaman yang tidak mungkin diperoleh di mana-mana institusi lain.
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Ini akan menjadi kenangan terindah yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Junjung kasih Tuanku kerana berkenan membawa kami ke Muzium Pahang dan Istana Abdulaziz. Ia satu pengalaman yang amat bermakna,” katanya lagi.
Lawatan Muzium Pahang ini bukan sekadar program akademik, tetapi mencerminkan sisi kemanusiaan seorang Permaisuri yang memilih untuk berdiri sebaris dengan para penuntut ilmu. Terharu rasanya apabila menyaksikan Tengku Ampuan Pahang berkongsi ruang, masa dan pengetahuan dengan penuh kasih serta keikhlasan.
Dalam dunia yang sering mengagungkan status dan kedudukan, teladan yang ditunjukkan oleh baginda menjadi peringatan bahawa ilmu adalah jambatan yang menyatukan semua lapisan masyarakat. Sesungguhnya, langkah dan sikap baginda akan terus menjadi inspirasi, khususnya buat wanita Malaysia.
Seperti yang kita tahu hubungan Sharifah Shahirah atau Shiera dan ibu mertuanya, Datin Maria Arshad umpama isi dengan kuku. Beruntungnya Shiera kerana disayangi dan sangat serasi dengan mertuanya itu yang dipanggil Mama.
Berusia 45 tahun, Shiera merupakan ibu kepada lima orang anak iaitu Allisya, 21 tahun, Airell, 15 tahun, Airra, 12 tahun, Auddra, 10 tahun dan Adeena, 2 tahun. Isteri kepada pelakon, Ijoy Azhari ini bukan saja mengkagumi cara didikan ibu mertuanya terhadap anak-anak malah dia juga bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga, cantik dan langsing.
“Mama seorang yang sangat disiplin dengan amalan petuanya dan dilakukan bersungguh-sungguh tanpa putus asa. Saya pula sebaliknya, tak dapat nak ikut sangat petua-petua yang diamalkan sebab terlalu sibuk. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam saja. Setiap orang ada cara masing-masing.
Kalau berbual tu memang kami tak pernah cakap topik kecantikan. Selalunya lebih kepada hal-hal anak cucu, ‘membawang’ pun ada lah sekali sekala. Walaupun mama tak pernah kongsi apa petua yang diamalkan tapi saya dapat lihat melalui perbuatannya.
Rawatan-rawatan moden macam suntik sana sini mama memang tak pernah buat dan tak pernah berminat pun. Baginya biar cantik semula jadi, jangan halang proses penuaan yang sememangnya pasti terjadi. Yang penting kena pandai jaga untuk maintain. Saya bersyukur kerana dikurniakan ibu mertua yang masih sihat, bertenaga dan cantik sampai sekarang walaupun usianya dah mencecah 61 tahun.
Terus terang, saya memang tak jaga badan sangat. Dulu kalau tak jaga pun berat masih lagi maintain, mungkin terlalu aktif dan sibuk dengan kerja. Sekarang saya perlu makan to keep the energy agar menjadi lebih hiper dan cerdas berfikir.
Saya amalkan produk-produk kesihatan dari farmasi. Tapi tak ambil banyak pun sebab saya jenis yang bukan minum air banyak. Jadi kalau ambil apa-apa suplemen saya tak akan makan banyak takut effect buah pinggang.
Saya ambil satu tablet suplemen saja sehari dan minum oxygen water. Saya juga amalkan makan sayur setiap hari. Kalau makan nasi selalunya saya tak akan tambah lagi. Saya cuba tak makan berlebihan,” kongsi Shiera.
UTAMAKAN KELUARGA
“Ibu mertua saya seorang yang more to family. Selalunya Mama akan lebihkan anak-anak dan cucu. Kalau buat apa-apa pun semuanya untuk keluarga. Secara tak langsung saya dan suami turut menerapkan cara tersebut dalam mendidik anak-anak.
Kami memang menggalakkan anak-anak untuk berjumpa dengan nenek mereka sekerap yang mungkin. Kena selalu rapatkan hubungan mereka antaranya melalui video call mahupun group WhatsApp.
Mama memang sangat rapat dengan cucu-cucunya dan mereka selalu bersama. Ibu saya sendiri pun sering berpesan, jangan lupakan ibu mertua. Jadi saya memang utamakan ibu mertua, melayannya sama seperti ibu sendiri,” katanya.
“Antara air tangan mama yang menjadi kegemaran kami sekeluarga ialah ayam masak merah. Memang sedap! Rasa rugi jugalah sebab banyak ilmu memasak yang saya tak belajar dengannya. Orang kata salah satu cara untuk tackle hati ibu mertua ialah melalui masakan. Tapi cara saya lain iaitu dengan mengambil berat dan menghubunginya selalu.
Saya masih ingat dulu ketika pertama kali berjumpa, Mama sangat sporting walaupun tahu status saya ketika itu. Mama menerima saya seadanya, alhamdulillah. Semoga hubungan kami sekeluarga kekal akrab selamanya,” kata Shiera yang kini aktif sebagai pengacara majlis serta penyampai radio.
Foto: Instagram @shieraijoy
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita bergelar ibu memikul tanggungjawab sungguh berat. Tugasnya bagai tak pernah habis dari hari ke hari. Wanita selalu di sebut lemah tetapi cinta yang telah membuatkan mereka lebih kuat dari sesiapa pun.
Dalam perkongsian Ustaz Ebit Lew dalam laman Instagram, cukup terkesan di sudut hati apabila mengenangkan kerjaya paling berat tetapi mulia di dunia. Katanya, kerjaya sebagai ibu ayah tiada gaji. Ia adalah kerja paling berat tetapi paling mulia di dunia. Ia juga adalah amanah dari Allah.
“Hargailah ibu ayah. Ucapkanlah sayang kepada mereka. Jika kita sudah menjadi ibu ayah, berilah kasih sayang dan masa untuk membimbing anak-anak.
Menjadi ibu khususnya satu pekerjaan yang tidak ada titik nokhtah. Pekerjaan yang tidak ada cuti, tidak ada MC jauh sekali untuk berhenti. “Kerja ini duit tak dapat, gaji tak dapat. Tak ada istilah sakit dalam kerja ni. Bila dapat saja kerja bila umur bertambah,kerja dia pun bertambah. Kalau usianya 100 tahun, 100 tahun dia akan sayangkan kita,”katanya.
Melafazkan kerinduan pada bidadari hatinya yang menguruskan rumah tangga 24 jam sehari serta menjaga anak-anak tanpa rehat mencukupi, sama seperti semua isteri dan ibu di dunia. Dia memuji kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita bergelar isteri dan ibu.
Dalam ceramahnya lagi, Ustaz Ebit turut berkongsi rasa kerinduan yang teramat terhadap Allahyarham ibunya. Pernah sewaktu hari lahirnya, Ustza Ebit cuba menghubungi arwah ibunya dari Bangladesh hanya semata-mata untuk mendengar ucapan paling berharga. “Ebit, selamat hari lahir. Mak sayang dekat Ebit. Ucapan yang sangat saya rindui hingga sekarang,”katanya.
Pesan Ustaz Ebit, “Ucapkanlah sayang dan hargailah selagi ada kesempatan. Selalu doakan mereka. Rindunya nak menangis sebab dah tak dengar suara itu lagi dalam hidupku ini. Terima kasih Allah pinjamkan wanita yang sangat baik dalam hidupku. Semoga satu hari nanti, di sana, ku ingin ucapkan sayang dan terima kasih padanya.”
Sumber: IG Ustaz Ebit Lew
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pagi bersejarah itu jantung penulis seakan terlucut ke kaki. Selama bertahun-tahun mengutus surat rasmi dan berkali-kali jualah tersandar di kerusi kerana tarikh yang diberi selalu tidak menjadi, akhirnya wajah pasangan ini muncul di depan kami. Salam yang dihulur bonda Tun Dr. Siti Hasmah, penulis kucup dengan rasa syukur yang amat. Allah SWT kabulkan impian, malah Dia juga menyusun rencana pertemuan Nona ini untuk keluaran Ramadan, Jun 2016… hampir empat tahun yang lalu.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya penulis. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu pertama di Malaysia itu. 60 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda. “Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 90 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam lautan pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan. “Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali. “Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
Mengenang kembali perbualan kami yang berlangsung di kamar pejabat Tun Dr. Siti Hasmah sendiri, ingin rasanya menahan kolam air mata dari bergenang. Seorang tokoh yang penyayang, senyumannya sentiasa basah di ingatan. Penulis tidak pernah lupa dengan usikan bahawa setiap gambarnya yang kami rakam perlu dibayar. Wajahnya tiba-tiba serius. Tapi beliau kemudiannya tertawa ceria. Ah, berharganya nostalgia itu!
Semenjak bersara pada tahun 2003, Tun Dr. Siti Hasmah hanya mengaktifkan diri dalam persatuan NGO sebagai ahli kehormat. Namun kebelakangan ini, masanya lebih fokus di rumah, menulis sebuah jurnal biografi tentang kehidupannya untuk dibukukan. Sehingga ke detik temu bual ini dilaksanakan, beliau masih lagi tekun menyiapkan draf buku biografi tersebut sebelum diterbitkan beberapa bulan lagi.
Berbekalkan sebatang pen di tangan dan halaman jurnal kosong, setiap hari wanita kelahiran Klang, Selangor itu mencatatkan perihal perjalanan hidupnya secara longhand writing. Bahasanya lebih individual dan dekat di jiwa, penuh dengan coretan tulus seorang isteri, ibu kepada 7 cahaya mata, nenda kepada 18 cucu dan alhamdulilah, moyang kepada seorang cicit. Bahkan dedikasi Tun Dr. Siti Hasmah sebagai salah seorang doktor wanita pertama di Tanah Melayu turut ditulis rapi, menandakan komitmennya terhadap masa depan perubatan di negara ini.
Tidak pernah lelah memperjuangkan kepentingan kesihatan wanita dan kanak-kanak, amalan perancangan keluarga serta banyak lagi, banyak pengalaman Tun Dr. Siti Hasmah sewaktu berkhidmat sebagai doktor perubatan lewat tahun 1955 di Kedah dikongsi bersama penulis. “Negeri Kedah pada waktu itu masih dalam suasana luar bandar, dihuni ramai penduduk miskin dan rata-ratanya buta huruf. Saya masih ingat, pihak hospital sering dipersalahkan apabila kami gagal untuk menyelamatkan nyawa seseorang gara-gara sikap masyarakat yang konservatif dan lambat mendapatkan rawatan.
Setelah diperhalusi, kami dapat tahu bahawa masyarakat kampung selalu teragak-agak untuk membawa pesakit ke hospital kerana pelbagai pantang-larang. Jika berlaku komplikasi sewaktu bersalin di rumah contohnya, si ibu perlu mendapatkan kebenaran suami serta keluarga terlebih dahulu untuk rawatan kecemasan. Kemudian wujud pula masalah pengangkutan. Bayangkan pesakit perlu ditandu sehingga ke jalan besar, sebelum teksi atau kenderaan tertentu membawanya ke hospital. Tapi bila sampai, malangnya si ibu sudah kehilangan darah yang banyak.
Sehingga sekarang saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang doktor wanita Melayu Islam yang mampu memberi sumbangan besar terhadap masyarakat. Sebagai bekas pegawai perubatan, saya amat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang sangat mengambil berat tentang kesusahan masyarakat luar bandar. Pada zamannya, banyak jalan raya dibina menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar seterusnya meningkatkan taraf kesihatan rakyat dengan lebih baik,” luah Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kepimpinan Tun Fatimah Hashim itu.
Kebimbangan beliau terhadap penularan gerakan anti-vaksin di kalangan ibu bapa muda terlihat jelas melalui getar nada suaranya. Wajahnya tiba-tiba berkerut seribu, tanda protes terhadap ‘keberanian’ generasi sekarang yang mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin, terutamanya apabila penyakit yang dicegah oleh vaksin kian menghilang. “Jujurnya saya sangat bimbang dengan situasi ini. Di Malaysia, kadar kes penyakit berjangkit seperti batuk kokol, difteria dan polio telah tiada semenjak program imunisasi kanak-kanak bawah 1 tahun diwajibkan.
Usaha pemberian imunisasi tidak sepatutnya berhenti walaupun kes terkawal. Kesempatan ini, saya ingin menasihatkan semua ibu bapa supaya JANGANLAH mengelak daripada vaksin demi kesihatan anak-anak tersayang. Jangan tunggu sehingga musibah melanda, barulah mahu bertindak. Takut waktu itu sudah terlambat,” pesannya dengan serius.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya. “Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh. Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keluarga pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk penulis gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram. Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu.”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him. “Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat. Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat private, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak. “Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Ketika menebarkan pandangan ke seluruh ruang bilik, perhatian penulis sempat berlabuh kepada sebuah potret beliau yang sedang bermain biola. Ya, beliau punya bakat terpendam menggesek biola. Di rumah, beliau diajar oleh seorang guru muzik profesional yang pada waktu yang sama turut mengajar cucu mereka di rumah. Timbul keinginan agar dapat mendengar alunan gesekan biola daripada Tun Dr. Siti Hasmah pula, suatu hari nanti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.