Belajar Lilit Hijab di IG, Penampilan Datin Seri Mastura Yusoff Anggun dan Mempersona!

Soal penampilan sememangnya menjadi elemen penting yang dititikberatkan oleh wanita. Soal penampilan diri baik dari segi luaran dan dalaman tidak boleh dipandang ringan. Mengakui soal penampilan penting untuk menaikkan lagi keyakinan diri, Datin Sri Mastura Yusof menjadikan faktor penampilan diri sebagai bonus untuk dirinya tampil anggun dan selesa tatkala menghadiri majlis formal bersama suami tersayang  Dato Sri Ahmad Sukimi Ibrahim.  Apatah lagi selepas mengenakan hijab, penampilan yang sopan tetapi masih mengekalkan elemen fesyen menjadi pilihannya.Menjadikan personaliti Neelofa sebagai ikon fesyen muslimah, Datin Sri Mastura amat menggemari gaya serta penampilan Neelofa dalam berfesyen yang disifatkan mempunyai gaya yang menarik.

“Saya amat meminati Neelofa sebagai wanita bertudung tetapi masih bijak berfesyen. Dia merupakan salah sorang idola saya bergaya apatah lagi sejak mengenakan hijab. Saya amat suka dengan gaya yang ditampilkan apabila berfesyen.. Ada style,

” ujar Datin Sri Mastura yang anggun.
Sejak mengenakan hijab, Datin Seri Mastura tidak mengehadkan fesyen hijab apabila bijak menggayakan hijab bersesuaian dengan penampilan serta personaliti yang dimilikinya. Mengakui amat meminati pelbagai gaya yang bersesuaian dan up to date, Datin Sri Mastura amat meminati gaya ikatan turban. Namun begitu, gaya yang ringkas tetapi masih mengekalkan ciri elegan tetap menjadi keutamaan buat dirinya.

“Pada pandangan saya, sense of fashion perlu ada dalam diri setiap individu. Tidak dinafikan fesyen adalah sesuatu yang subjektif untuk ditafsirkan. Untuk bergaya, tidak semestinya seseorang perlu mengenakan pakaian atau aksesori berjenama mewah. Tetapi apa yang penting, pemilihan pakaian dan aksesori yang bersesuaian sekaligus mampu menyerlahkan gaya seseorang,” ujar Datin Sri Mastura yang mempunyai pandangan tersendiri dalam berfesyen.
Tampil lebih anggun sejak berhijab, Datin Sri Mastura mengakui pada peringkat permulaan mengenakan hijab, dia turut berhadapan dengan kesulitan untuk menggayakan hijab agar bersesuaian dengan personaliti dirinya. Namun begitu, dia berterima kasih dengan kemudahan pelbagai tutorial hijab yang mudah didapati di laman sosial sekaligus menjadikan dirinya ‘mahir’ melilit hijab bersesuaian dengan bentuk wajah dan personaliti dirinya.“Dari tidak mahir melilit tudung, kini saya lebih confident

untuk bergaya dalam mengenakan hijab. Saya gembira dengan penampilan kini, Alhamdulillah”, ujar Datin Sri Mastura yang bukan sahaja cantik tetapi pakar memasak di dapur untuk keluarga tersayang. Melayan beberapa video memasak dilaman Instagram miliknya, ibu kepada empat cahayamata ini rajin memasak untuk hidangan keluarga terutamanya menu dari negeri Pantai Timur antaranya termasuklah nasi dagang Terengganu, ketupat sotong, gulai dan sebagainya.“Saya memang gemar memasak untuk keluarga. Seronok apabila melihat suami dan anak-anak berselra menikmati juadah hasil air tangan saya. Hilang penat dan stress memasak bila mereka makan dengan penuh selera. I love to cook and host. Biasanya saya meluangkan masa bersama keluarga dengan menjemput keluarga dan rakan karib datang ke rumah untuk menikmati hidangan yang disediakan. Saya juga gemar menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak sama da melancong atau membeli-belah.
Menyentuh destinasi percutian dalam negara yang dikunjungi tatkala perintah larangan perjalanan ke luar negara masih dikuatkuasakan, Datin Sri Mastura berkata kunjungan ke Pulau Langkawi baru-baru ini merupakan percutian dalam negara yang istimewa buat dirinya.

“Walaupun pendemik COVID-19 masih membelenggu seluruh dunia, saya dan suami memilih untuk bercuti di dalam negara dalam usaha menyemarakkan lagi industri pelancongan tempatan. Destinasi pilihan kami ialah Pulau Langkawi, Kedah memandangkan saya amat menggemari lokasi percutian yang mempunyai pantai, terutamanya pulau. Malaysia mempunyai banyak destinasi percutian yang cantik dan menyeronokkan,” ujar Datin Sri Mastura seraya mengakhiri perbualan dengan berkongsi foto-foto kenangan tatkala percutiannya baru-baru ini.

 

IKLAN
Share