Nama Ashanty mungkin tidak begitu popular dalam kalangan peminat di Malaysia. Namun di negaranya, Ashanty mempunyai pengaruh tersendiri dan dikagumi peminat Indonesia. Ini terbukti apabila dia memiliki hampir 30 juta followers di Instagram.
Minat mendalam terhadap dunia seni dan nyanyian telah membawa Ashanty ke industri muzik Indonesia. Ashanty atau nama penuhnya Ashanty Siddik Hasnoputro dilahirkan di Jakarta pada 4 November 1984. Meniti usia 38 tahun, Ashanty bukan saja berstatus ibu malah sudah bergelar nenek sejak anak tirinya, Aurel Hermansyah melahirkan anak pada 22 Februari lepas.
Kelibat Ashanty mula menjadi perhatian sejak berkahwin dengan Anang Hermansyah yang merupakan bekas suami kepada penyanyi terkemuka Indonesia, Krisdayanti. Walau ibu tiri kepada Aurel tapi hubungan kedua-duanya sangat akrab.
Memetik laporan Palembang Tribunews, Ashanty bukan calang-calang wanita. Dia berasal dari keluarga bangsawan dan anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Soejahjo Hasnoputro dan Farida Siddik.
Ibu Ashanty keturunan Arab-Perancis. Sementara ayahnya, Prof Soejahjo Hasnoputro pula berketurunan Jawa. Ini bermakna Ashanty mempunyai darah kacukan Jawa, Arab dan Perancis.
Ads
Penglibatan Ashanty dalam arena hiburan tidak mendapat restu daripada kedua-dua ibu bapa. Ini kerana keluarganya sangat mengutamakan pendidikan. Apatah lagi, datuk Ashanty ialah bekas diplomat.
Manakala bapanya pula seorang profesor dan staf di Lembaga UNICEF Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Datuk Ashanty bernama Prof Dr. KH Abdullah Siddik dan neneknya pula H Sutimah Siddik. Khabarnya moyang figura ini iatu Edward Coles berkahwin dengan puteri bekas penguasa Pangeran Ing Alaga di kerajaan Silebar yang terletak di wilayah Bengkulu, Sumatra Selatan.
Ads
Dikatakan juga moyang Ashanty menjadi gabenor terakhir Benteng Bengkulu pada 14 Oktober 1781 hingga 28 Februari 1785.
Akur dengan didikan ibu bapa yang mementingkan pendidikan terhadap anak-anak, Ashanty berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan Hubungan Antarabangsa di Universitas Paramadina.
Ads
Pada tahun 2009, isteri Anang ini mewarnai dunia seni dan melancarkan album sendiri bertajuk Ashanty. Popularitinya kian melonjak ketika dia berduet dengan Anang Hermansyah sehinggalah kedua-duanya menghasilkan lagu berjudul Jodohku pada tahun 2011.
Keserasian mereka berpadu suara akhirnya bercambah menjadi pasangan kekasih dan mereka selamat bernikah pada 12 Mei 2012 di Jakarta.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak iaitu Arsy Addara Musicia Nurhermansyah dan Arsya Akbar Pemuda Hermansyah. Selepas berkahwin, Ashanty lebih menumpukan perhatian terhadap keluarga dan anak-anak.
Selain masih aktif dengan kerjaya nyanyian, Ashanty turut memanfaatkan masanya dengan urusan perniagaan. Dia berjaya membina empayar niaga bersama-sama suami tercinta dan antara bisnes yang diusahakan Ashanty termasuklah dalam bidang kecantikan, kosmetik, Dapur Asix, Ayam Asix dan Ash Juice.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wow, tak sangka sampai macam tu sekali penangan air tangan Datin Paduka Eina Azman! Mungkin kerana kecur melihat masakan yang dikongsikan Datin Paduka Eina di Instagram selama ini membuatkan peminat setianya teruja untuk menikmati juadah menyelerakan selebriti cantik tersebut. Sampai beliau mengaku pernah jatuh sakit kerana bertungkus-lumus menyiapkan tempahan makanan di dapur. Meskipun penat tapi Datin Paduka Eina tetap gagahkan diri demi tidak mahu menghampakan permintaan pelanggan.
Difahamkan bisnes makanan ‘It’s Done by Eina Azman’ bermula sejak Ramadan yang lalu. Walau masih bertatih dalam perniagaan ini namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan. Bayangkan, setiap hari isteri Datuk Paduka Kaiser ini menerima tempahan makanan tanpa henti sampai ke awal pagi!
Memandangkan bisnes ini perkara baru bagi Datin Paduka Eina, beliau masih cuba menyesuaikan diri dengan situasi ini dan berusaha memberikan yang terbaik kepada semua.
Dalam perkongsian terbarunya, Datin Paduka Eina memuat naik gambar terkini bersama timbunan pek tempahan Assam Laksa masakannya. Tumpang bangga tengok bisnes It’s Done By Eina Azman makin hari makin maju. Menu pun dah banyak. Mengimbas kembali pembabitan awal dalam dunia masakan, ibu kepada anak kembar ini terbuka berkongsi kisah.
“Ingat lagi few years back masa mula-mula nak start share video masak dekat Instagram, Eina tak berapa confident. Then family encourage untuk share. Bila dapat sambutan dari you guys serious Eina happy sangat and rasa lagi semangat nak share.
Then last year dapat offer as Maggi CukupRasa’s brand ambassador. Offer yang tak mungkin Eina tolak sebab Maggi CukupRasa memang close to my heart. Boleh dikatakan Eina membesar dengan product-product Maggi. And tak pernah imagine dari tagline video end up jadi bisnes @itsdonebyeinaazman. Alhamdulillah dapat sambutan yang luar biasa sampai tak menang tangan Eina dan team.
You never know what the future holds for you.. Sebab tu kita wanita kena berani. Kena berani mencuba sesuatu yang baru!! Ha Eina dah share story Eina, u’olls share la story u’olls! Eina nak dengar jugak!”
Sebelum ini Datin Paduka Eina juga melahirkan rasa syukur kerana tidak menyangka bisnes air tangan beliau ini mendapat sambutan hangat daripada peminat. “Anyway, Eina nak share sikit apa yang Eina rasa semenjak buat ‘It’s done by Eina Azman’ ni. Syukur alhamdullilah rezeki Allah bagi terlalu banyak sampai tak menang tangan.
Tapi yang sedihnya Eina tak dapat nak terima semua order dengan baik. Terlalu ramai yang Whatsapp sampai Eina tak dapat nak amik order. Sebab bayangkan setiap hari WhatsApp masuk beratus-ratus. Staff-staff Eina semua cuba yang terbaik untuk balas semua WhatsApp tapi tak pernah habis-habis nak balas sebab WhatsApp non stop sampai 4 ke 5 pagi. Ada juga yang marah-marah Eina dan staff.
Eina tak boleh nak balas semua dari Eina. Sebab kalau Eina reply siapa pula nak memasak di dapur? So Eina harap u all boleh faham dan boleh bagi Eina sedikit ruang dan peluang untuk Eina and the team untuk perbaiki segala kekurangan. “Minta maaf sangat-sangat”.”
https://www.instagram.com/p/CE4EQGfDAhC/
Meninjau akaun rasmi ‘It’s Done by Eina Azman’ yang bakal mencecah 60 ribu followers, antara menu yang dijual ialah Assam Laksa, Sambal Tempoyak Ulam Kayu (9 Jenis Ulam), Sambal Bilis Jering, Sambal Bilis Petai, Jering Masak Lemak Cili Padi dan Ikan Patin Tempoyak Pekat Likat. Bagi memudahkan pelanggan menikmati menu air tangan Datin Paduka Eina di rumah, perkhidmatan penghantaran makanan sampai ke pintu rumah anda turut disediakan.
Malah, rata-rata feedback memberikan komen positif mengenai menu masakan Datin Paduka Eina Azman. Pendek kata, memang tak rugi cuba sambal dan laksa jualan aktres tinggi lampai tersebut. Sudahlah cantik, popular dan kaya. Pandai memasak pula tu! Menyedari minat memasak isteri tercinta, Datuk Paduka Kaiser menghadiahkan peralatan memasak berteknologi tinggi Thermomix kepada Datin Paduka Eina.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan Datin Paduka Eina Azman sudah pasti mengetahui bakat memasak jelitawan ini yang gemar menyediakan sendiri hidangan untuk seisi keluarganya. Tidak hanya sajian tradisi Melayu bahkan beliau juga pandai memasak aneka hidangan Barat termasuk pencuci mulut. Jadi tidak hairanlah, air tangan Datin Paduka Eina digemari ramai dan mendapat sambutan luar biasa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Langkah pemain beregu badminton wanita negara, M. Thinaah dalam karier sukan semakin deras. Terbaharu, aksi membanggakan Thinaah di samping gandingannya, Pearly Tan di Kejohanan Badminton Dunia di Paris menjadi bualan peminat sukan tanah air. Meskipun tidak bergelar juara namun kejayaan Pearly-Thinaah mara ke acara berprestij tersebut mencipta sejarah tersendiri.
Ini selepas kejayaan mereka menjadi beregu wanita pertama layak ke pentas final Kejohanan Dunia berkenaan!
Mereka yang menyandang gelaran Naib Juara bagaimana pun mempamer semangat juang tinggi dalam perlawanan yang berlangsung di Adidas Arena, Paris. Sekaligus meraih pujian masyarakat.
Menelusuri kehidupan Thinaah, atlet berusia 27 tahun tidak sekadar cemerlang dalam kerjaya. Bahkan memiliki latar belakang pendidikan yang baik.
Oktober tahun lalu, Thinaah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dengan Kepujian atau BETESL di Open University Malaysia (OUM).
“I did it. To be honest, nothing in life comes easy, but as long as you are willing to giveyour 100% and you enjoy what you do, the impossible becomes possible.
I want to take this opportunity to thank OUM for being there for me in these last 4 years. Without them, I wouldn’t be where I am today. Their programme’s flexibility really reduced my burden throughout my degree. I’m so grateful for their love and support till this very moment.
I also want to take this opportunity to thank my parents and family members for always supporting in the things I do. Be it studies or sports, I know I can always rely on them. Even if the world ever turned against me, I know they’ll have my back regardless.”
Khabarnya, Thinaah mula melanjutkan pengajian di OUM pada Mei 2020 dan meluahkan minatnya terhadap Bahasa Inggeris sejak kecil.
OUM turut memberikan Thinaah biasiswa pendidikan merangkumi semester Januari 2023 hingga Mei 2024. Tidak hanya bergelar graduan, dia juga meneruma Anugerah Khas Universiti: Ikon Sukan.
Atas pencapaian membanggakan, jaguh badminton ini pernah menerima pengurniaan Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS) pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-78 Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 11 Disember 2023.
Kongsi Thinaah, “Saya berbesar hati menerima anugerah ini daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj sempena hari keputeraan Baginda. Ia ibarat mimpi menjadi kenyataan dan saya sangat menghargainya. Daulat Tuanku.”
Thinaah juga dilaporkan fasih bertutur dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin.
Dia mula mempelajari Bahasa Mandarin selepas berdepan masalah komunikasi untuk berinteraksi dengan rakan sepasukan ketika menjalani latihan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Keputusan meninggalkan kerjaya sebagai Akauntan kira-kira 10 tahun lalu merupakan satu tindakan berani yang dilakukan Azlin Mohd Said. Meskipun pada awalnya ibu kepada dua cahaya mata ini ‘berat’ melepaskan karier impian tersebut namun bersandarkan keyakinan yang tinggi terhadap rezeki Allah SWT yang luas, beliau nekad berhenti kerja demi membina legasi dalam bidang perancangan kewangan dinamakan AMS Empire.
Azlin atau mesra disapa Coach Azlin yang berasal dari Bota Kanan, Perak ialah anak kepada bekas pendidik. Kedua-dua ibu bapanya pernah berkhidmat sebagai guru. Begitu juga dua daripada enam adik-beradiknya yang turut mengikut jejak langkah ibu bapa mereka sebagai pendidik. Sementara dua beradik lain dalam bidang kewangan dan seorang lagi Penolong Pegawai Belia dan Sukan Negeri Perak.
“Selepas tamat pengajian Ijazah Perakaunan di Universiti Malaya (UM), saya timba pengalaman kerja di firma audit dan syarikat pembinaan. Pekerjaan terakhir saya ialah Akauntan di salah sebuah badan berkanun di Malaysia selama 10 tahun.
Latar belakang keluarga saya tak ada seorang pun yang buat bisnes dan saya tak pernah ada cita-cita untuk jadi usahawan. Tapi bila fikirkan kesihatan mental saya dan ada keluarga serta anak-anak yang perlu saya jaga, saya terpaksa lepaskan kerjaya Akauntan yang berdepan dengan banyak cabaran.
Untuk melangkah keluar daripada pekerjaan yang stabil memang kena ada kewangan yang kukuh. Saya tak terus berhenti kerja sebaliknya ambil cuti separuh gaji untuk menjaga ibu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan setiap bulan waktu itu.
Sehinggalah pada satu hari, konsultan yang bantu pelaburan saya ajak berjumpa dan beri cadangan supaya saya ambil lesen Perunding Unit Amanah. Mulanya ia sekadar untuk memudahkan saya urus pelaburan sendiri. Tapi bila lulus exam dan lihat bagaimana mereka mengalu-alukan penyertaan saya, rasa seperti dunia baru.
Kata-kata penghargaan dari mereka mungkin nampak kecil di mata orang lain tapi besar maknanya bagi saya. Benda yang saya tak pernah dapat daripada pekerjaan dulu. Mulai saat itu, saya tak menoleh ke belakang dan tekad mendalami ilmu perancangan kewangan di samping berkongsi ilmu dengan orang lain,” ujar Pengasas AMS Empire ini yang melibatkan diri secara serius dalam bidang kewangan sejak Ogos 2014.
AMS EMPIRE
Awal penubuhan AMS Empire kurang daripada 10 orang ahli Perunding Unit Amanah dan sekarang berkembang kepada 38 Perunding Unit Amanah bertauliah dengan nilai pengurusan pelaburan mencecah sehingga sembilan angka. Mengulas lanjut mengenai perniagaan ini, Coach Azlin Mohd Said menjelaskan misi penubuhan AMS Empire.
“Singkatan AMS ini bermula sejak dari sekolah lagi sebab ada dua orang nama Azlin. Jadi kawan-kawan panggil saya AMS iaitu Azlin Mohd Said. Walau baru saja masuk dalam bisnes, saya dah ada misi untuk bina empayar dan terus letak nama AMS Empire.
Salah seorang kawan yang juga klien pernah persoalkan sejauh mana besarnya bisnes saya ini sampai mahu digelar ‘Empire’. Kata-kata itu jadi cabaran buat saya!
Nama AMS Empire itu diterjemah kepada maksud A iaitu ‘Achievers’, M bermakna ‘Millionaire’ dan S sebagai ‘Success’ yang melambangkan Perunding Unit Amanah AMS Empire yang komited dan kompeten,” dedah Coach Azlin yang turut memiliki lesen Islamic Financial Planner.
Berbekalkan usaha gigih dan iltizam untuk membawa AMS Empire ke tahap global, usahawan berusia 49 tahun ini sentiasa mempersiapkan diri menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan mempelajari ilmu dan selok-belok dunia perancangan kewangan.
Tambahnya, selaku pemilik perniagaan beliau perlu kreatif dan menunjukkan prestasi terbaik berbanding pesaing industri kewangan yang lain supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan klien menggunakan perkhidmatan konsultan AMS Empire.
“Saya upgrade diri saya dengan mengambil certificate sebagai Professional Coach daripada Badan Nasional Sertifikasi Profesi (BNSP) dari Indonesia. Pentauliahan ini merupakan satu level untuk saya bukan saja mengembangkan profesion sebagai perunding kewangan di Malaysia. Malah di luar negara.
Saya juga aktif menghadiri sesi bimbingan daripada coach-coach di Jakarta secara online kerana mahu AMS Empire ada jaringan komunikasi dan sosial lebih meluas yang tidak hanya tertumpu di Malaysia saja.”
PELABURAN SEMBILAN ANGKA
Menjadikan ‘Millionaire Coach’ Dr Niki Shuhada Shukor yang juga salah seorang Mentor beliau sebagai sumber inspirasi usahawan berjaya, penulis buku Jom B.O.S (Bijak Organise Savings) ini mampu tersenyum bangga apabila berjaya memimpin 38 orang Perunding AMS Empire meraih jumlah pelaburan lebih RM100,000,000 dalam tempoh sedekad.
“Cabaran menguruskan klien, team dan staf bukanlah satu perkara mudah. Ada masa kami di atas, ada masa pula di bawah. Saya ialah seorang ketua yang akan selalu tracking figures dan membimbing Perunding AMS Empire supaya jelas dan fokus tujuan mereka mengambil lesen. You don’t know your numbers; you don’t know your business.
Misalnya dua tahun lepas, saya tracking jumlah pelaburan klien yang kami uruskan adalah sebanyak RM80 juta. Setiap bulan kami akan pantau dan bulan Jun lalu sewaktu saya mengerjakan haji dan berdoa di Arafah, saya terima mesej daripada pengurus menyatakan jumlah pelaburan AMS Empire tahun ini melebihi RM100 juta,” ungkapnya sambil mengukir senyuman.
Bagaimana pun Coach Azlin tidak menafikan hakikat bahawa beliau turut diuji dengan dugaan yang menggugat keyakinan diri dan mahu mengalah. Terutama sekali apabila berdepan dengan individu yang cuba menjatuhkan reputasi dan empayar yang dibina. Namun memikirkan tanggungjawab yang digalas selaku ketua, beliau bangkit berjuang.
“Bagi saya bila dah stable macam ini, saya boleh saja stop dan tak perlu kerja keras lagi. Tapi bila fikir tanggungjawab kepada team dan klien, saya tak boleh pentingkan diri. Sepanjang 10 tahun dapat urus pelaburan RM100 juta membuatkan saya emosi kerana bukan mudah untuk sampai ke tahap ini. Ia juga menjadi pencapaian terbesar saya.”
Bercerita mengenai masa depan legasi perniagaan ini, ada impian besar yang sedang dirancang Coach Azlin.
“Melalui bisnes ini saya harap dapat beri pendedahan tentang pengurusan kewangan kepada lebih ramai masyarakat. Kami sebagai subject matter expert sangat berbesar hati berkongsi ilmu dan pengalaman. Misi saya secara sukarela memberi taklimat dan seminar kepada universiti sebab kebanyakan pelajar kurang pendedahan dan pengetahuan mengurus kewangan.
Saya juga ambil inisiatif mendekati para siswazah untuk menerangkan mengenai ilmu kewangan dengan menghubungi Dekan di universiti-universiti kerana ia adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat AMS Empire.
Kalau tidak, generasi muda akan lalui masalah kewangan yang sangat mencabar kelak. Begitu juga kaum wanita khususnya golongan suri rumah. Mereka perlu tahu ilmu menguruskan wang. Lebih-lebih lagi apabila hilang tempat bergantung atau kehilangan suami.”
Jelasnya lagi, beliau mahu menjadikan empayar miliknya sebagai platform menyampaikan ilmu dan tidak berpaksikan kepada keuntungan semata-mata.
“Menyebarkan ilmu perancangan kewangan ini satu fardhu kifayah. Cuma bidang ini tak popular macam bidang lain. InshaAllah, dalam masa lima tahun akan datang, AMS Empire mampu melahirkan future leader yang boleh bawa legasi ini dan menguruskan pelaburan nilai amanah sehingga RM200 juta,” telus Coach Azlin yang menerima anugerah ‘Women in Business-Financial’ daripada Business Professional Woman (BPW) Malaysia.
Sebelum mengakhiri perbualan, Coach Azlin menzahirkan rasa syukur atas doa dan sokongan daripada ibu iaitu Hajah Paizah Haji Anuar, suami beliau Anuar Hasbul’lah Aboo Hashim serta dua anak tersayang, Aiman Hazim dan Adeeb Hafiz sepanjang melalui perjalanan sebagai seorang wanita, pemimpin dan ‘Financial Coach’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap orang pasti ada koleksi barang peribadi yang menyimpan banyak kenangan dan nilai sentimental. Seperti kebanyakan orang, Sofizah Mousin juga tidak terkecuali menjaga barangan ‘istimewa’ miliknya dengan sebaik mungkin. Antara item kesayangan Johan Qariah ini ialah Tafsir Al-Quran yang dibelinya sendiri sejak dahulu.