
Jelas terpancar kegembiraan dan keseronokan diraut wajah rakyat jelata di atas keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Keramahan dan kemesraan Seri Paduka Baginda berdua diterjemahkan apabila Baginda berdua berkenan bercemar duli menyantuni dan beramah mesra bersama rakyat jelata di padang MBK.



Seri Paduka Baginda turut diiringi paduka anakanda, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Tidak ketinggalan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan dan YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mu’adzam Shah.


Tidak ketinggalan, turut menikmati kemeriahan suasana berbuka yang menjadi tradisi keluarga diraja ini setiap kali Ramadan ialah YM Tengku Adam Ibrahim Shah, YM Tengku Sulaiman Abdullah Shah dan YM Tengku Nuh Muhmmad Shah.

Seri Paduka Baginda berdua bersama paduka anakanda dan paduka cucunda turut berkenan mengagihkan 2,000 bubur lambuk air tangan Raja Permaisuri Agong serta sumbangan kepada pengunjung bazar dan mereka yang berbuka di padang berkenaan.

Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan dan Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, Penor.


Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 6.00 petang disambut YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Polis Negeri Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf dan Datuk Bandar Kuantan Dato’ Hamdan Hussin.
Sumber: House of Pahang & Istana Negara
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ingatkan Ulser Mulut Biasa, Tapi Rupanya Kanser Lidah! Baca Luahan Wanita Ini Yang Amat Menyebakkan

Hari ini viral di negara jiran, kisah sedih seorang isteri yang menjaga suaminya, seorang pesakit kanser lidah hingga menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Arwah meninggal dunia pada tanggal Sabtu, 22/7/2017 lalu pada usia 29 tahun iaitu kira-kira seminggu selepas hari jadinya.
Menurut balunya, arwah Andre Kurnia Farid hanya mengadu mengalami ulser di dalam mulut, tapi setelah berlarutan selama tiga minggu, ujian mendapati ia kian parah dan positif kanser lidah.
Secara anatomi, lidah manusia terdiri kepada dua bahagian iaitu bahagian depan di dalam mulut dan bahagian pangkal di kerongkong leher.
Kanser lidah dapat berkembang pada kedua-dua bahagian ini tapi biasanya kanser di bahagian depan termasuk dalam kategori kanser mulut.
Alkohol dan tembakau dikenal pasti sebagai penyebab utama kanser lidah kerana kedua-duanya memiliki sifat karsinogenik atau mudah menyebarkan kanser.
Gejala
- Sakit kerongkong yang berlarutan.
- Timbul tompok-tompok putih atau merah, benjol atau ulser di dalam mulut yang sukar pulih.
- Sakit semasa menelan.
- Sering rasa kebas dalam mulut.
- Pendarahan tanpa sebab pada lidah.
- Kadang-kadang sakit telinga.
Sekiranya gejala ini berlarutan selama lebih tiga minggu, terutamanya bagi seorang perokok tegar atau selalu mengamalkan minuman keras, anda WAJIB membuat pemeriksaan segera di hospital.
Faktor
- Rokok
- Minuman keras (alkohol)
- Human papillomavirus (HPV)
- Kebersihan mulut yang rendah
Bagaimana kisah arwah Andre yang viral kerana dibunuh kanser lidah? Baca selengkapnya luahan si isteri (telah dialih bahasa) menerusi Facebook Rezy Selvia Dewi. Norzalina Mohd Alias
Selamat Jalan Suamiku
“Mii, ulser dalam mulut abbi ni buat hilang selera makan.” Sepulangnya dari kerja, suamiku menolak untuk makan walaupun terhidang lauk ayam kegemaran.
Setiap hari suami selalu mengeluh sakit ulser di atas lidahnya yang tak pernah sembuh. Sudah 2 minggu, tapi aku kurang menghiraukan keluhannya kerana fikir ia sekadar ulser biasa.
“Mii, tadi di pejabat ada medical checkup, ini hasilnya…” sambil menunjukkan selembar kertas hasil pemeriksaan. Aku ingat betul saat itu, bulan April 2016.
“Kesihatan abbi ada masalah, cuma kata doktor, abbi kurang nutrisi, abbi kurang gizi ni. Ummi sibuk sangat dengan Zuma, hehehe,” gurau suamiku saat itu.
Memang anak kami baru berusia 1 tahun, jadi sebagai ibu, akulah orang yang paling sibuk kerana anakku mulai aktif.
Aku memang terlalu sibuk, sampai tak sempat memerhatikan suami. Aku diam saja ketika dia merokok tanpa henti. Aku tak pernah marah.
Dan aku pun tak pernah tahu, apa makanan yang dimakannya di pejabat. Makanan sihatkah? Atau bukan? Itulah kesalahan terbesarku.
3 minggu kemudian, ulser di mulut suami masih lagi belum hilang. Malah katanya sampai sakit di kepala dan telinga.
“Abbi… esok periksa doktor ya, biar diberi ubat sepatutnya.” Suamiku pun mengangguk.
Keesokan harinya, pemeriksaan doktor mendapati dia hanya kurang makan sayur dan buah. Ubat yang dibekalkan pula hanya balm khas untuk disapu pada ulser.
“Kalau 2 minggu lagi belum sembuh, periksa lagi ya,” pesan doktor tersebut.
2 minggu kemudian, sakit ulser itu masih juga tak sembuh. Doktor hanya menambah antibiotik tapi sampai habis pun belum juga ada tanda-tanda sembuh.
Kali ini, dia dirujuk ke pakar bedah mulut dan pemeriksaan kali ini mendapati ia mungkin berpunca akibat masalah gigi bongsu.
“Oh, ulser di lidah ni sebab ada gigi bongsu, tapi posisinya abnormal. Mungkin itu sebabnya susah nak sembuh. Gigi ni mesti dibedah dan dibuang,” kata mereka.
Bulan Jun 2016, saat awal Ramadan, suamiku tak puasa kerana bakal menjalani pembedahan gigi. Maka dicabutlah gigi bongsu yang dikatakan. Tapi anehnya selepas seminggu berlalu, ulser masih lagi terasa dan sakit di kepala kian menjadi-jadi. Lidahnya pula tidak boleh digerakkan ke kiri.
Dari situ, dia bertemu pula pakar saraf dan seterusnya membuat fisioterapi lidah. Selepas enam kali terapi masih tiada perubahan, doktor mengesyorkan pemeriksaan MRI.
Hari Aidilfitri, suami lebih memilih tidur dan tidak mahu beraya dengan saudara mara. Sakit di kepalanya semakin kerap, jadi aku biarkan dia beristirahat saja di bilik.
“Mii, ada benjol kat lidah abbi, cuba tengok.”
Benar. Aku terlihat sebiji benjol kecil sebesar biji jagung pada lidahnya yang sakit. Kata doktor, benjolan ini mungkin seketul tumor dan sekali lagi dia perlu menjalani pembedahan membuangnya.
Tanggal 13 Ogos 2016, kami kembali menemui doktor untuk mengetahui hasil makmal terhadap benjol yang dibuang.
“Suami usianya berapa tahun?”
“28 doc.”
“Sudah ada anak?”
“Sudah, baru usia setahun doc.”
Doktor pun menghela nafas panjang. Ada perasaan tak enak saat itu.
“Hasil pemeriksaannya kurang bagus. Suami puan positif terkena kanser lidah.”
Masa itu seolah detak jantungku berhenti. “Kanser?”
Tiba-tiba mataku jadi gelap, sebuah beban serasa berat menindih badanku. Aku diam tanpa berkata apa-apa. “Kanser?” tanyaku.
Kutatap wajah suamiku, dia hanya terdiam. Pucat.
Seluruh pemeriksaan sudah kami lakukan – ujian makmal, USG, CT Scan, Bone Scan.
“Dari hasil pemeriksaan, 3/4 lidah suami puan sudah terkena kanser. Dia mesti dibedah untuk membuangnya,” kata doktor yang merawat.
Ya Allah… apa lagi ni? Dibuang lidah? Kenapa harus suamiku yang mengalaminya? Kami pun pulang dengan perasaan tak menentu, nanti kita periksa lagi ya bii, dapatkan second opinion.
Esoknya kami periksa lagi. Doktor melakukan endoskopi dari lubang hidung dan daripada kabel kecil kamera itu, terlihat jelas gambar di monitor.
“Wah, kansernya dah merebak ke kerongkong.”
Masa itu terlihat banyak benjolan merah berhampiran peti suara.
“Boleh tahu sudah stage berapa doc?”
“Stage 4 puan.”
“Terus… bagaimana?” tanyaku perlahan.
Kata doktor, suamiku perlu menjalani rawatan kemoterapi 3 kali dan radiasi selama 30 kali.
Wajah suamiku yang putih bertambah pucat. Dia hanya terdiam. Aku terbayang beratnya derita yang harus dialaminya kelak.
Awal September 2016, kami pulang ke kampung selepas suami mendapat cuti sakit sehingga sembuh.
Kami tekad mahu berikhtiar dengan cara alternatif dan herba. Masa itu suami cuma mampu menelan ubat yang direbus atau cecair.
Pada masa yang sama, aku disahkan hamil dan berita tersebut cukup menggembirakan kami berdua. Semangat suami kelihatan kembali semula.
5 bulan berubat, tapi Allah seperti belum memberi jalan kesembuhan. Kondisi suami semakin teruk. Lalu akhirnya kami tinggalkan rawatan tradisional.
Berat badan suamiku mula turun dengan drastik. Daripada 65kg kini tinggal 40kg. Dia makin tenat dan kemuncaknya setiap hari dia muntah darah. Mukanya lemas dan sangat pucat.
Selepas itu, kami kembali membuat segala rawatan moden. Kemoterapi dan radiasi, semuanya dicuba satu persatu tanpa henti. Dalam pada itu juga, aku selamat melahirkan anak kedua kami yang ditunggu-tunggu selama ini.

Tiada tanda-tanda sembuh sehinggalah menjelang hari terakhirnya di sisiku. Kuhampiri suami yang terbaring lemah. Tubuh badannya penuh dikeliling segala peralatan hospital dan wayar yang berselirat.
Waktu itu tekanan darahnya sangat tinggi, nadinya terlalu cepat hingga menunjukkan angka 200 di skrin monitor. Berkali-kali doktor menyuntik ubat anti sakit tapi suamiku masih mengeluh kesakitan.
Melihatkan keadaannya yang cukup mencemaskan, doktor menenangkanku sambil berkata suamiku sudah tak dapat ditolong lagi.
Seluruh badanku terasa gementar. “Benarkah tak ada lagi harapan,” tiba-tiba aku merasakan ketakutan yang luar biasa.
Aku berbisik ke telinganya, “Aku tak mahu kehilanganmu bii.” Kupegang erat jari-jemarinya. “Buka matamu bii,” dan aku ingat dia cuma tersenyum lemah.
Pukul 4 petang, doktor menghulurkan surat persetujuan. Di situ tertulis agar aku tidak akan mengambil apa-apa tindakan pun jika sebarang perkara berlaku pada suamiku.
“Abbi… inilah yang terbaik yang diberikan Allah buat kita. Maafkan ummi, tak bisa menjagamu selama ini. Ummi ikhlas abbi pergi. Ummi terima semua dengan ikhlas.”
Kubimbing suamiku menyebut kalimah Laaillaha illallah muhammadur Rasullullah… kuulang berkali-kali sampai tepat jam 4.40 petang, dia pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Tak ada lagi yang bergerak di sana. Kudakap kemas tubuh suamiku, kukucup bibirnya dan kuusap matanya… Inna lillaahi wainna ilaihi raajiun.
Selamat jalan suamiku. Jemput aku dan anak-anak kita di pintu syurga-Nya.

Kredit: Tribunnews
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jadi Inspirasi Ramai, DHABITAH SABRI Atlet Kebanggaan Negara Kini Sambung Belajar Di UKM!

Wah, tahniah Dhabitah yang kini bergelar mahasiswa! Selepas menunjukkan prestasi cemerlang sebagai atlet bertaraf dunia di pentas Olimpik Tokyo 2020 yang lalu, nama Nur Dhabitah Sabri sekali lagi menarik tumpuan peminat apabila khabar gembira mengenai keputusannya untuk sambung belajar bertebaran di Internet.
Difahamkan, ratu terjun negara tersebut memilih institusi pengajian tinggi awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai destinasi pengajiannya.
Menerusi posting di laman media sosial rasmi UKM, atlet berusia 22 tahun itu bakal mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Memetik kapsyen di laman sosial UKM, “Tahniah buat Nur Dhabitah Sabri, atlet Olimpik negara atas kemasukan ke UKM Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.”
Ternyata, berita berkenaan mengundang reaksi positif peminat sukan tanah air yang bangga dengan pencapaian Dhabitah. Iyalah, bukan hanya berjaya sebagai atlet tetapi dia juga mementingkan akademik. Memang patut dijadikan sebagai sumber inspirasi!
Berasal dari Kuala Lumpur, dalam temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 Dhabitah hampir menghadiahkan pingat buat negara dalam acara tiga meter papan anjal individu wanita di peringkat final.



Dhabitah menamatkan saingan di tangga keempat dengan mengutip 326.15 mata. Hanya dipisahkan 17.6 mata daripada atlet USA, Krysta Palmer yang mengutip 343.75 mata.
Walau tidak kesampaian membawa pingat Olimpik untuk negara namun Dhabitah berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan. “Saya tak rasa pulang dengan tangan kosong, saya balik dengan something iaitu experience.”

Semoga kejayaan yang telah berjaya dilakar Dhabitah menjadi pencetus semangat dan inspirasi buat generasi muda hari ini untuk turut mencipta kejayaan tidak kira dalam apa juga bidang yang diceburi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penerima NONA Men’s Business Mentor Award, Datuk Wira Dr Azizan Osman Lulus PhD Pertama IPT Tempatan

Mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman berjaya lulus ijazah kedoktoran (PhD) tempatan pertamanya selepas sesi pembentangan viva voce dengan pembetulan minor bersama institut pengajian tinggi tempatan, Asia e University (AeU) pada Jumaat lalu.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd, beliau mewakili warga syarikat mengucapkan tahniah atas kejayaan berkenaan.
Katanya, penerima NONA Men’s Business Mentor Award, itu merupakan role model buat RichWorks dan bangsa usahawan bimbingan kami dalam soal kepentingan meningkatkan ilmu sepanjang masa.
“Moga orang ramai terutama bangsa usahawan di luar sana dapat buka mata dan melihat kejayaan ini sebagai inspirasi buat semua.
“Ini merupakan ijazah kedoktoran pertamanya diterima daripada universiti tempatan selain daripada PhD dari luar negara sebelum ini,” katanya mengulas hantaran dibuat dalam akaun LinkedIn AeU, hari ini.


Bagaimanapun, kelulusan PhD tersebut akan dimuktamadkan selepas keputusan senat AeU yang dibuat dalam masa terdekat.
April lalu, Azizan bersama Pengerusi Eksekutif RichWorks, Datuk Zafrol Rizal Mat telah lulus peperiksaan akhir Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
Tambah Radz, penyelidikan yang dibuat beliau mengenai lima faktor yang membuatkan sesebuah syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dapat berkembang dan membina bisnes yang berjaya.

“Apa yang mengagumkan kami, pembelajaran Azizan tak berhenti di sini kerana beliau juga saat ini sedang mengikuti program di IMD Business School, Switzerland selepas habis mengikut program di Columbia Business School di New York ketika bulan Syawal lalu.
“Ini antara perkara penting ditunjukkan beliau sendiri kepada bangsa usahawan tentang kepentingan ilmu dengan sentiasa upgrade diri kerana cabaran sentiasa ada dan setiap fasa bisnes membawa kepada situasi dan isu berbeza,” jelasnya.
Sehubungan itu, Radz memberitahu, melalui ilmu dan strategi yang terkini dan ditambah baik dari semasa ke semasa membuatkan RichWorks mampu menyediakan solusi end-to-end bagi permentoran usahawan di bawah Titanium dan Spire untuk melonjakkan bisnes masing-masing.

“RichWorks tidak hanya ‘jual air liur’selama 14 tahun seperti dikata segelintir ‘haters’ di luar sana sebaliknya datang dengan proven results.
“Kami telah dan sedang bina usahawan yang berjaya dengan keseluruhan jualan sekitar 300 usahawan Titanium Circle dan Premier kami mencecah RM3.2 bilion pada tahun lalu saja,” ujarnya lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


