Berjurai Air Mata Dengar Doa Lelaki Ini, Puas Merayu Kesembuhan Isteri Kanser Ovari Depan Kaabah!

Kehidupan rumah tangga itu seharusnya menguatkan. Isteri menampung kekurangan suami dan suami menampung segala keperluan isteri. Termasuklah ketika ujian menyapa, salah seorangnya rebah dibadai penyakit barah. Waktu inilah kejujuran sebenar terserlah.

Perbualan Nona dengan Perunding Hartanah, Muhammad Azizirrahim Mohd Yusoff, petang tadi ibarat mendengar sebuah kisah cinta abadi pada zaman moden ini. Bukan senang berjumpa seorang figura lelaki sehebatnya, seorang suami dan bapa yang tulus berkorban demi kebahagiaan keluarga tersayang.

Isteri Azizi, seorang pegawai diplomatik di Putrajaya bernama Farah Fazarina Mohamad tiba-tiba disahkan menghidap masalah kesihatan serius sekitar tiga tahun lepas. Tahun itu mereka sebenarnya merancang untuk menambah cahaya mata ketiga, namun rancangan Allah mendahului segala-galanya.

“Kami berkahwin pada tahun 2010. Hasil perkahwinan ini kami dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Amani Sofea (9 tahun) dan Amir Syahmi (6 tahun). Kalau ikutkan rancangan, tahun 2017 kami mahu tambah lagi anak. Isteri dah mengandung pun masa tu, tapi tiba-tiba berlaku jangkitan kuman ‘superbug’ dan dia terpaksa duduk tiga bulan di hospital.

Farah Fazarina merupakan seorang Pegawai Diplomatik di Kementerian Luar Negeri

Ternyata takdir tak menyebelahi kami. Sewaktu usia kandungan mencecah 28 minggu, doktor terpaksa ambil keputusan untuk selamatkan nyawa isteri kerana bimbang jangkitan kuman di tulang belakang. Dan berdekatan pula dengan bayi dalam kandungan. Maka dengan hati yang berat, kami berdua akur atas faktor kesihatan dan keselamatan si ibu.

Doktor kata, insyaAllah ada rezeki lain nanti. Tapi isteri kena tunggu sebab takut risiko terkena jangkitan kuman dan ia mungkin boleh membahayakan kandungan sekali lagi.

Memandangkan doktor anggarkan tiga tahun untuk sembuh, jadi isteri tak boleh mengandung disebabkan dia melalui major operation sebanyak empat kali. Pembedahan tu untuk membuang jangkitan dan pakar gunakan dos antibiotik paling kuat dalam rawatan.

Alhamdullilah selepas 4 bulan berikhtiar, isteri kembali sihat. Sepanjang tempoh pemulihan, saya berkali-kali bagi semangat padanya, sabarlah dengan ujian ini. Dan kami pun sama-sama rancang nak cuba dapatkan anak lagi pada tahun 2020.

Perasaan saya sebagai suami dan bapa tentulah sedih. Tak tergambar hati ini bila melawat kubur anak ketiga kami yang terpaksa ‘berkorban’ demi menyelamatkan ibunya.

Kubur arwah Ainul Mardhiah, 14.02.2017

Bermula saat itu, isteri saya mula memberi perhatian terhadap pemakanan dan gaya hidup kami sekeluarga. Atas nasihat pakar diet agar kurangkan berat badan, dia sendiri berusaha kurangkan karbo, makanan berminyak dan minuman manis, selain ambil madu asli sebagai suplemen. Kami juga makan banyak sayuran organik dan guna kaedah air frying untuk menggoreng.

Sempat juga kami bercuti bersama anak-anak selepas dia kembali sihat,” cerita Azizi sambil berkongsi foto-foto bahagia mereka.

Niat kami berdua tertunai nak buat umrah tahun 2018 selepas isteri sembuh jangkitan kuman ‘superbug’
Sempat ambil peluang melancong dengan keluarga
Gambar kami sekeluarga di Kazakhstan
Bercuti di Bangkok hujung tahun 2019

HIDAP KANSER OVARI

Betapa tanggung jawab seorang suami itu tidak terhenti setakat menjaga keperluan zahir dan batin isteri sahaja. Seorang suami sepatutnya selalu memuji isteri, menghargai pengorbanan isteri dan sering mendoakan isterinya.

“Selepas tiga tahun episod jangkitan tersebut, kami pun mula merancang nak dapat baby baru. Pada Februari lepas, rezeki saya dapat bawa mak ayah tunaikan umrah mereka buat kali pertama. Berkali-kali isteri pesan, doalah kami dapat zuriat lagi tahun ni.

Selepas sehari sampai di Mekah, dia telefon untuk beritahu ada cyst. Tujuan dia buat check-up ketika tu sebab tiba-tiba sakit di bahagian rahim. Suspek juga mengandung, siap beli pregnancy test lagi.

Tapi bila check di hospital, doktor suspek kanser ovari dan sekiranya betul rahim perlu dibuang. Allahu, luruh jantung saya masa tu. Saya terlalu sedih dan menangis semahu-mahunya di depan Kaabah. Hati saya tak keruan memandangkan hanya isteri dan anak-anak saja di Malaysia.

Saya tadah tangan dan rayu bantuan Allah SWT. Minta doa supaya diselamatkan ovarinya. Dengan sekhusyuk-khusyuknya saya minta depan Kaabah, ‘Tuhanku, sihatkanlah isteriku.’

Saya doa bersungguh-sungguh. Walaupun terlalu sedih, tapi saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku terhadap kami. Paling saya kagum, isteri saya nampak lebih kuat daripada dulu. Dia menerima takdir ini dengan positif dan berusaha lawan penyakit dengan tenang.

Kadang-kadang menitik air mata tengok isteri bermunajat seorang diri. Saya nampak dia langsung tak pernah tinggal solat tahajud, solat dhuha dan khatam Al-Quran. Dia bina kekuatan dalaman dan tanam sifat syukur kerana diberi ujian ini. Jalan untuk ikhlaskan hati hanya dengan mendekati Allah SWT.

Ketika saya balik umrah, sempat bawa isteri jalan-jalan di Putrajaya sebelum menjalankan rawatan

Gambar selepas pembedahan 2020

Memandangkan berita tentang kanser ovari ini berlaku dalam tempoh PKP, nak taknak isteri terpaksa tangguhkan rawatannya. Seperti lumrah pesakit kanser lain yang sensitif dan sukar menerima kenyataan, isteri saya juga pernah menyuarakan ‘kerisauan’, dia takut kanser dah merebak ke tempat lain.

Tapi alhamdulilah, kini selepas treatment kemoterapi keempat, nampak semakin positif keadaannya. Inilah gambar raya kami sekeluarga baru-baru ini, isteri nampak ceria dan tenang.

Saya tahu perasaan isteri saya. Jauh di lubuk hatinya dulu, dia berada dalam keadaan paling lemah. Apa yang diharapkan tak dapat. Malah lain pula jadinya.

Walaupun mula-mula sedih disebabkan takdir ovari isteri terpaksa dibuang, tapi saya reda. Saya yakin isteri pun reda. Nak bina kekuatan tu yang paling susah kami rasa.

Apapun saya harap dia dikurniakan kesihatan sepenuhnya. Dan berharap rakan-rakan lain juga mendoakan kesihatan isteri saya pulih seperti sediakala,” akhiri Azizi dengan ikhlas.

IKLAN
Share