
Ramadan sememangnya bulan penuh keberkatan dan keajaiban. Kemuliaan, keberkatan dan keunggulan bulan Ramadhan tidak dapat disangkal lagi bilamana Baginda Rasulullah SAW begitu teruja menanti kedatangan bulan penuh barakah dan menyampaikan berita gembira tentang betapa unggulnya kemuliaan bulan ini.
Bulan Ramadan ini juga menjadi saksi Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen semalam daripada tuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, empat tahun lalu.
Hakim Rihaida Rafie, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap pertuduhan yang dipertuduhkan terhadap Syed Shah Iqmal, 28, pada akhir kes pendakwaan itu.
“Selepas membuat penilaian maksimum terhadap keterangan melalui saksi-saksi dan eksibit-eksibit, mahkamah memutuskan kes prima facie tidak berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan, “kata hakim itu.
Dalam prosiding semalam, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros. Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 April tahun lalu, seramai 18 saksi pendakwaan termasuk pengadu dalam kes itu dipanggil memberi keterangan.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini, pukul 11.35 malam, pada 11 September 2019.
Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, peguam Syed Amirul ketika dihubungi hari ini berkata anak guamnya memanjat rasa syukur atas pembebasan daripada pertuduhan tersebut.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, berkat bulan 19 Ramadan ini, saya diputuskan tidak bersalah. Perkara ini saya terima sebagai hadiah untuk saya sekeluarga dalam membersihkan nama dan maruah diri.
“Terima kasih kasih kepada keluarga saya, sahabat handai dan semua yg sentiasa menyokong dan mendoakan. Tidak lupa juga kepada peguam yg telah bersama saya dari awal kes sehinggalah kini.” kata Syed Shah Iqmal.
Pada 31 Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal atas pertuduhan mencabul dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta.
Untuk rekod, Da’i Syed dan pengacara, Hana Ismail, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur pada Disember 2022 yang lalu.
Pasangan itu dinikahkan jurunikah, Penolong Pendaftar Perkahwinan, Mohd Nazri Yacob dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Ismail Dahwan. Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas gelang emas.
Sumber: KOSMO! ONLINE
Perkataan Pertama SITI NURHALIZA Ucap Lepas Anaknya Lahir & Makna Di Sebalik Nama AAFIYAH

19 Mac lalu genap dua tahun usia Siti Aafiyah Khalid, permata hati Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Makin membesar dengan sihat, comel, bijak dan ceria, tidak dinafikan Aafiyah merupakan antara anak selebriti tanah air yang menjadi tumpuan ramai. Mana tidaknya, ibu Aafiyah ialah penyanyi nombor satu negara dan meskipun hampir tiga dekad bergelar anak seni namun aura Datuk Seri Siti Nurhaliza masih kekal utuh hingga ke hari ini. Ditambah pula dengan kejayaan ayah Aafiyah iaitu Datuk Seri Khalid yang merupakan usahawan ternama. Jadi, tidak hairanlah jika gerak-geri anak kecil comel ini sering mendapat perhatian.
Tanggal 19 Mac 2018 nyata bukan hanya detik terindah bagi Datuk Seri Siti dan suami bahkan ia juga perkhabaran gembira buat peminat setia biduanita ini kerana selepas 11 tahun menanti, akhirnya pasangan romantis berkenaan dikurniakan rezeki menimang cahaya mata. Malah kehadiran Aafiyah seakan mencipta fenomena tersendiri kerana sebaik nama permata hati Datuk Seri Siti dan Datuk Seri Khalid diumumkan kepada khalayak, ramai ibu bapa yang turut menamakan anak mereka ‘Aafiyah’.
Itulah antara bukti betapa kuatnya aura Datuk Seri Siti Nurhaliza. Apa sahaja yang dilakukan pasti menjadi perhatian dan ikutan peminat.
Sempat bertanyakan kepada anak seni kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini mengenai perkataan pertama yang diucap selepas Aafiyah selamat dilahirkan, Datuk Seri Siti yang ketika itu menghadiri penggambaran wajah penghias Nona September 2019 di samping adik-beradik perempuannya iaitu Siti Norsaida dan Siti Sairah dalam nada teruja berkongsi cerita.
“Memang saya bersyukurlah. Alhamdulillah. Tak ada apa yang boleh saya katakan selain bersyukur kepada Allah. Perubahan paling besar saya alami sejak adanya Aafiyah pula, apa sahaja kerja saya mesti ingat Aafiyah dan saya akan bawa beg pam kalau lama keluar (bekerja).”
Selesa membahasakan dirinya sebagai ibu, Datuk Seri Siti turut menjelaskan makna di sebalik nama Aafiyah yang diberikan kepada buah hati kesayangannya itu.
Kongsi usahawan kosmetik SimplySiti ini, “Aafiyah ni merangkumi segalanya. Kesihatan, keberkatan, kekayaan… tiada apa yang kita inginkan selain Aafiyah. Itu yang kita selalu doakan. Allahumma inni asaluka al-‘afiyah.”
Memetik kenyataan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kata Syeikh al-Munawi (1031 H), al-‘Afiyah adalah keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘Afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan.
Sementara menurut Syeikh al-Mubarakfuri (1353 H) makna al-‘Afiyah adalah benteng Allah kepada hamba-Nya. Maka orang yang memohonnya adalah seseorang yang sedang memohon pemeliharaan daripada Tuhannya di atas setiap yang diniatkan itu.
Melihat kepada beberapa definisi atau pengertian di atas maka disimpulkan bahawa al-‘Afiyah adalah keselamatan atau kesejahteraan pada agama daripada segala fitnah, pada badan daripada segala penyakit-penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada pada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah.
Indahnya nama Aafiyah. Ringkas tapi cukup mendalam makna nama ini. Patutlah ramai ibu bapa yang mahu menamakan anak mereka Aafiyah. Pandai Datuk Seri Siti dan suami memilih nama terbaik untuk amanah Allah yang satu ini.
Datuk Seri Siti yang mengakui obses bila bekerja dan berada di atas pentas turut berkongsi insiden paling lucu yang pernah dialami sepanjang menceburi bidang seni. “Insiden paling kelakar, pernah rambut palsu jatuh atas pentas ketika saya tengah nyanyi dan saya dah jangka rambut saya akan jatuh. Waktu itu saya cuba buat muka selamba dan mereka ingat ini salah satu daripada persembahan saya, ” ujarnya sambil ketawa.
Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, Datuk Seri Siti dilihat mematuhi arahan kerajaan dan banyak menghabiskan masanya di rumah dengan ahli keluarga selain mengadakan tutorial mekap menggunakan produk kosmetik SimplySiti di Instagram miliknya.
Peluang Bawa Keluarga Bersuka Ria Di Sunway Lagoon Secara PERCUMA!

Ini sememangnya berita yang sangat menggembirakan! Bukan sahaja kepada ibu bapa, anak-anak pun mesti teruja. Mana tidaknya, tanpa perlu mengeluarkan belanja walau satu sen pun kini anda sekeluarga mungkin dapat menikmati keseronokan di taman tema popular ini secara percuma. Semuanya kerana pihak Sunway Lagoon telah berbesar hati memberikan tiket masuk percuma kepada lima (5) keluarga bertuah sempena musim cuti sekolah ini. Menarik, bukan?
Istimewanya cuti persekolahan akhir tahun dan bersempena perayaan Krismas yang bakal tiba, taman tema Sunway Lagoon membawakan suasana meriah Bayu Pantai Surf Beach selain turut memperkenalkan maskot terbaru mereka dan pelbagai aktiviti serta persembahan terbaik. Keseronokan berganda apabila seisi keluarga dapat bercuti dan mandi-manda bersama Captain Quack dan rakan maskot yang lain bermula 23 November ini hingga 31 Disember 2019.



Antara rakan maskot terbaharu Captain Quack termasuklah Lady Quack, Bani Si Beruang Madu, Zola Si Singa Putih, Mico Si Pigmi Marmoset, Patches Si Kuda Kerdil, Ara Si Harimau Bintang, Mimi dan Mimo Si Memerang dan Belle Si Kelawar. Ramainya! Mesti anak-anak anda tidak mahu lepaskan peluang untuk bergambar kenangan dengan maskot
comel ini.
Selain tarikan maskot terbaharu, bersiap sedialah untuk merasai lambakan aktiviti menarik bersama Captain Quack dan rakan (CQ&F) seperti perarakan maskot terbesar iaitu ‘CQ&F Summer Splash Parade’, ‘Kiddie Paddle Boats’, ‘Water Zorb Balls’, ‘Acro-BATS’, ‘Take Home Garden Workshop’, ‘Saving The Magical Stones’, ‘Giant Soapy Bubbles’ dan ‘Cupcake Decorating Workshop’.





Keriangan bersama keluarga tersayang tidak hanya terhenti di situ… sebaliknya, pengunjung turut akan dipertontonkan dengan persembahan menakjubkan menerusi ‘Carnival Circus Special’, ‘Wipeout Beach Party’, ‘ATV Stunt Show’ dan banyak lagi. Pendek kata, segala-galanya ada di bawah bumbung Taman Tema Sunway Lagoon pada cuti musim sekolah.
Sebagai menghangatkan lagi sambutan Hari Natal, derusan bayu di pantai buatan terbesar di Malaysia iaitu Surf Beach menjemput anda menikmati keindahan di sini pada 21 hingga 25 Disember ini. Pastikan anda tidak ketinggalan menjejaki dan menikmati keunikan pulau yang dihiasi dengan rumah api bersalju, persembahan memukau dan tawaran Beach Bistro yang menyediakan aneka juadah Hari Natal, pemberian hadiah misteri, persembahan nyanyian carol dan kemunculan Santa menaiki ATV!



Tiket masuk dijual pada harga RM138 bagi orang dewasa berumur 13 tahun ke atas. Manakala RM113 pula ada bayaran untuk kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah. Bermula 23 November hingga 31 Disember 2019, pengunjung akan ditawarkan dengan pilihan mesra bajet iaitu FAMFun pada harga RM482 sahaja berbanding harga asal RM744 untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak atau 4-To-Go dengan harga RM532 untuk 4 dewasa. Jauh lebih murah daripada harga asal RM808.
Kini, anda berpeluang merasai pengalaman mengujakan di Sunway Lagoon dengan menjadi salah seorang daripada lima keluarga bertuah yang bakal dipilih pihak Majalah Nona. Hanya ikut cara penyertaan berikut dan tiket masuk untuk 4 orang akan menjadi milik anda.
Cara penyertaan
1. LIKE & SHARE artikel ini di akaun Facebook anda
2. Tulis kapsyen tentang kenapa anda mahu membawa keluarga ke Sunway Lagoon dan sertakan hashtag #nonaxsunwaylagoon
3. Kapsyen paling kreatif yang dihantar pada tarikh 25-27 November ini dengan LIKE terbanyak akan diumumkan sebagai pemenang!
Untuk maklumat lanjut berkaitan promosi Sunway Lagoon Captain Quack & Friends Christmas SeaSun, layari www.sunwaylagoon.com atau hubungi 03 5639 0000.
“Biarlah Allah Sempurnakan Takdir Yang Tertulis Untuk Saya” Luahan Pesakit Positif COVID-19

Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman. Ketakutan akan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan ada kedamaian… semuanya pasti dengan izin Allah SWT.
Janganlah kita merasa terhimpit walau sejengkal pun kerana keadaan pasti akan berubah, baik atau sebaliknya, hanya Dia yang tentukan.
Kisah pilu yang diceritakan oleh Puan Ida, seorang pesakit positif COVID-19 dan kini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh jelas menguji keimanan seorang manusia. Semoga wanita hebat ini kembali sembuh dan tidak serik berdoa untuk kesembuhan mereka.
Ini kisah saya menghadapi dugaan COVID-19. Penghujung jalan kisah ini, saya hanya serahkan kepada-Nya…
Saya Ida, berusia 36 tahun. Kini bertugas sebagai setiausaha di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan kami dikurniakan lima cahaya mata, berusia lingkungan setahun hingga 13 tahun.
Suami saya Adi, juga berusia 36 tahun dan dia baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam, sebelum kini berniaga sepenuh masa. Kami sekarang menetap bersama ibu saya dan 2 orang anak saudara berumur 19 dan 14 tahun.
Suami mula terlibat dengan aktiviti dakwah dan tabligh sejak tahun 2010. Alhamdulillah sejak itu, kehidupan kami sedikit demi sedikit mula berubah. Dari segi cara hidup, ibadat, keyakinan diri mengikut kesesuaian kehendak agama dan sunnah Nabi Muhammad SAW…. InsyaAllah. Itulah sedikit sebanyak kisah latar belakang saya dan keluarga.
Musibah
Secara umum mengetahui salah satu kluster besar yang terlibat dengan isu ini adalah daripada perhimpunan tabliqh Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac 2020. Suami saya salah seorang yang telah hadir pada ijtimak tersebut.
Selang beberapa hari pulang, sekitar tanggal 7 Mac, suami saya mula menunjukkan simptom demam panas dan sakit-sakit sendi. Saya sangka hanya demam biasa, cukup diberi Panadol saja. Tapi selepas tu dia mula batuk, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, malah tiba-tiba hilang selera makan.
Memandangkan keadaannya terus berlarutan, pada 10 Mac saya telah membawa suami ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Doktor menjalankan prosedur biasa dan ambil darah suami. Berdasarkan keputusan darah, doktor memberitahu, “Nampak macam denggi,” dan suami diminta untuk lakukan ujian darah pada hari berikutnya.
Pada malam tersebut saya pula demam dan sakit-sakit badan. Saya ambil Panadol dan keesokannya, demam saya hilang. Saya pergi ke pejabat macam biasa tapi separuh hari sebab nak bawa suami untuk repeat blood test. Waktu itu, saya tiba-tiba mula batuk dan sakit tekak. Terasa sangat sakit yang teruk sehingga suara menjadi serak.
Saya bawa suami ke klinik kesihatan pada waktu petang dan masa doktor review keputusan blood test suami, dimaklumkan keputusan darah semakin baik dan mungkin hanya terkena demam virus.
Pada masa yang sama suami bertanya kepada doktor, adakah benar sesiapa yang terlibat dengan ijtimak di Sri Petaling perlu ke hospital untuk menjalani saringan COVID-19? Doktor jawab ‘Ya’ dan atas nasihatnya, kami ke Hospital Putrajaya untuk melakukan prosedur tersebut. Saya bawa bersama keputusan blood test suami.
Tiba di hospital, doktor bertanya serba sedikit pada suami dan melihat keputusan blood test yang kami bawa. Katanya, “Likely not COVID-19.” Doktor nasihatkan suami supaya memaklumkan pada kawan-kawan lain yang terlibat dengan ijtimak tersebut jangan panik dan sekiranya ada simptom pergilah ke klinik kesihatan terdekat untuk dapatkan rawatan.
Kami pun pulang dengan perasaan tenang. Kesihatan suami juga sudah semakin baik daripada sebelumnya. Malam tersebut saya pula kembali demam menggigil dan lebih teruk dari malam sebelumnya.
Esoknya saya maklumkan boss, saya mohon cuti kerana tak sihat. Pada 13 Mac, saya masih demam, batuk dan suara saya sudah tiada, hilang deria bau dan rasa. Saya terus ke klinik kesihatan untuk dapatkan rawatan tetapi diminta untuk terus ke hospital kerana suami saya terlibat dengan ijtimak.
Terus terang memang saya agak geram dan rasa nak marah pada waktu itu. Perasaan bercampur baur dengan badan tak sihat, rasa macam kena tolak-tolak. Allahuakbar, sampai suami saya kata, “Sabarlah, jangan marah. Kita taat je…” Astarghfirullah.
Sampai di hospital, doktor ambil sampel darah. Masa doktor review keputusan blood test tu, dia mintak saya dan suami buat ujian COVID-19 (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga.
Selepas tu doktor beritahu, “Kuarantin untuk orang yang buat test ni adalah 3 hari sampai keluar keputusan.” Dalam tempoh 3 hari ni, pihak hospital akan hubungi untuk maklumkan keputusan sama ada positif atau negatif. Kalau tak terima panggilan, keputusannya adalah negatif…” Doktor juga beri saya cuti sakit selama 3 hari sesuai dengan waktu kuarantin.
3 hari berlalu tanpa ada panggilan daripada pihak hospital. Saya beranggapan keputusan kami negatif dan keadaan kesihatan kami bertambah baik, tidak nampak develops symptom.
16 Mac, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu tu saya masih ada sedikit batuk dan suara masih belum pulih sepenuhnya.
17 Mac, setibanya di pejabat saya terima WhatsApp daripada bos, “Kepada pegawai yang kurang sihat diberi cuti tanpa rekod sehingga Jumaat.” Saya terus balik ke rumah, tanpa berfikir ape pun ketika itu, selain rasa syukur…. alhamdulillah.
Tanggal 18 Mac 2020, jam menunjukkan lebih kurang 1.40 tengah hari, saya menerima panggilan daripada doktor di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya. Waktu itu hati rasa berdebar dan berharap, “Ya Allah, janganlah ada berita yang tak baik…”
Positif COVID-19
Namun apa yang semua orang elakkan rupa-rupanya Allah rezekikan pada saya dan suami. Astagfirullah…. Setelah 6 hari baru saya dimaklumkan keputusan saya dan suami positif. Air mata tak boleh ditahan lagi. Allahuakbar, saya maklumkan pada doktor, mintak bagi saya masa untuk bertenang dan saya nak solat.
Waktu tu, macam-macam perkara bermain di fikiran. Macam mana dengan orang lain yang saya dah jumpa. Saya ke pejabat, keluarga besar saya, ipar duai, anak-anak dan ibu bapa mertua saya yang datang bertandang ke rumah. Adik saya sekeluarga daripada Ipoh datang ke rumah juga.
Allahuakbar, itulah perkara yang paling dirisaukan masa tu. Takut sayalah jadi punca orang lain dapat virus ni. Malam tu jugak saya dan suami dihantar ke Hospital Sungai Buloh, anak-anak bersama Ibu saya di rumah.
Namun saya sangat bersyukur, alhamdulillah selama saya dan suami demam, anak-anak dan ibu saya tak terkesan. Mereka semua sihat walaupun anak bongsu saya masih menyusu badan. Sesuai dengan prosedur KKM semua yang ada direct contact dengan kami perlu buat swab test.
Alhamdulillah, Maha Baiknya Allah. Semua mereka negatif. Bos, rakan-rakan di pejabat dan keluarga saya semua Allah pelihara daripada virus ni. Syukur alhamdulillah, itu saja sudah membuatkan saya kembali tenang.
Suasana Hospital
Dalam fasa ujian ini, suami saya lebih tenang dan sentiasa cuba menenangkan semua pihak. Suami beritahu saya, “Apa yang terjadi, ini semua dengan kehendak Allah. Walaupun kita dah berusaha pergi klinik, hospital dan ikut semua nasihat doktor tapi ini kehendak Allah.
Kita hanya mampu berusaha tapi keputusannya tetap apa yang Allah kehendaki,” kata-kata dia buat saya sedar yang saya kena redha dengan ujian ini. Suami bagi tahu lagi, “Umi, yakinlah apa sahaja yang Allah takdirkan terjadi pasti akan terjadi dan apa sahaja yang Allah takdirkan tidak terjadi pasti tidak akan terjadi.”
Kepada anak-anak yang ditinggalkan, saya minta mereka jaga diri dan kesihatan. Walaupn saya dan suami tiada di rumah, rutin harian terutamanya amalan agama mesti dihidupkan seperti biasa. Sebelum arahan masjid dan surau ditutup, menjadi amalan suami dan anak-anak lelaki saya akan solat 5 waktu berjemaah di surau tetapi kerana perintah PKP tersebut, rumahlah yang menjadi surau kami.
Laungkan azan menjelang waktu solat dan solatlah secara berjemaah. Bacaan Al-Quran dan hadis (taklim) perlu berjalan seperti biasa. Saya pesan kepada anak sulung saya, memandangkan dia lelaki yang paling besar ada di rumah, dia perlu jaga keluarga dan ambil tanggungjawab ini sementara kami di hospital.
Alhamdulillah selama di hospital ini, saya dan suami sihat dan semakin baik. Selera makan pun dah bertambah. Setiap 2 hari akan buat swab test, sehinggalah test negatif, baru boleh discaj. Memandangkan tiada rawatan yang spesifik untuk virus ni, doktor hanya beri rawatan Vitamin C dan ubat kumur.
Barisan frontliners di sini, masyaAllah… Syabas dan tahniah untuk mereka semua. Sentiasa sabar, tenang dan profesional walaupun wabak ini masih baru dan arahan kepada mereka juga sentiasa bertukar mengikut keadaan. Tapi mereka sentiasa positif dan bersemangat menggalas tanggungjawab. Kepada mereka, semoga bakti yang dicurahkan akan Allah terima sebagai amalan soleh dan dibalas dengan sebaik-baik balasan… Aamin.
Saya harus terus positif dan bersemangat berjuang dalam keadan ini. Cuma pada waktu mula-mula dapat tahu saya positif COVID-19, memang rasa sangat down. Keadaan sekeliling buat saya tertekan. Saya terfikir anak-anak yang nak ditinggalkan, stigma masyarakat khasnya di tempat kerja.
Saya rasa seperti penjenayah yang sengaja mendedahkan orang lain dalam situasi yang bahaya, padahal saya tak tahu pun yang saya positif. Keputusan pun hanya diketahui selepas 6 hari ujian dilakukan.
Suami ambil inisiatif untuk buat voice note, cerita serba sedikit tentang kronologi kes kami dan apabila mereka dah dengar, Allah mudahkan mereka faham akan situasi sebenarnya. Selepas tu, alhamdulillah mereka semua mula mendoakan dan memberi kata-kata semangat untuk saya terus kuat dalam menghadapi ujian ini.
Alhamdulillah setakat hari ini, Allah hadiahkan ketenangan dan ringankan beban perasaan saya. Allah angkat keluh-kesah saya dan ganti dengan ketenangan jiwa. Cantik sekali aturan-Nya. Selama saya dan suami di sini, sentiasa ada rakan-rakan yang membantu menghantarkan pelbagai makanan untuk ibu dan anak-anak di rumah. Hampir setiap hari pasti ada sahaja makanan di luar rumah. Hebat Allah, benarlah janji-janji Allah.
Apa pun keadaan kita sekarang, bersyukurlah. Baik atau tidak, Allah tak pernah zalim pada hamba-Nya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Itulah paling utama. Betulkan amalan kita kerana bersama-sama amalan agama itu ada janji-janji Allah. Kita ikut semua nasihat doktor dengan baik dan yakinlah yang menyembuhkan itu hanya Allah. Kepada masyarakat di luar sana yang Allah selamatkan daripad ujian ini, bersyukurlah. Doakan kebaikan kepada semua.
Saya sentiasa pujuk hati untuk redha, inilah yang terbaik untuk saya di sisi Allah. Saya selalu cakap pada diri sendiri “Biarlah Allah sempurnakan takdir yang Dia dah tulis untuk saya…” Alhamdulillah satu persatu kebaikan Allah zahirkan bila mana yakin kita itu betul.
Semoga Allah selamatkan saya, keluarga, seluruh rakyat Malaysia dan umat seluruh alam daripada azab-Nya. Semoga dengan ujian ini kita semua lebih dekat dengan Allah, lebih yakin dengan janji-janji-Nya. Semoga Allah bebaskan saya daripada virus ini dan saya dapat pulang kepangkuan keluarga secepat mungkin… Aamin.