Gaya Hidup

Berlainan Cita Rasa Bukan Tanda Tak Serasi, Tapi Saling Melengkapi! Itulah Definisi Terima Pasangan Seadanya

Bohonglah jika ada siapa-siapa di atas dunia yang sekadar mahu hidup sendiri tanpa ada pasangan yang sentiasa di sisi. Namun bila ada si dia yang menemani banyak pula pertelingkahan yang terjadi.

Jika Tuhan jadikan keserasian itu berskala lapan, cuba congak berapakah nilai anda bersama pasangan anda?

Cinta dan kasih sayang juga tidak pernah cukup untuk membahagiakan. Apa yang perlu dipupuk sedari awal melangkah ke alam perkahwinan adalah toleransi. Itulah yang paling utama.

Buat anda yang bercita-cita untuk terus tinggal berasingan di rumah baharu ada baiknya anda tidak terlalu ghairah. Di balik keindahannya, ada beberapa hal yang perlu diwaspadai oleh pengantin baru.

Bersiap-siaplah untuk kompromi terhadap kebiasaan pasangan anda yang sebelum ini tidak pernah anda ketahui.

SUAMI SUKA DEKORASI COUNTRY ANDA SUKA GAYA KONTEMPORARI

Alih-alih anda merungut tentang kehendak yang tidak selari. Anda beranggapan yang paling berhak mengatur hal-hal domestik tentunya sang isteri. Namun, apakah pula hak suami di rumahnya sendiri? Bukankah dia juga seharusnya mendapat ketenangan yang sama.

Cubalah untuk berbagi ruang mana yang menjadi prioriti anda berdua. Di situ anda berdua masing-masing mampu mengekspresikan gaya sesuaka hati tetapi masih lagi berpadu menjayakan bersama-sama.

Berhentilah bertelingkah kononnya menuntut hak bahawa andalah yang paling layak mengatur segala seni penataan dan seluruh hal berkaitan persefahaman. Rumah tangga anda masih baru,  bukan?

GAYA HIDUP YANG BERBEZA

Semakin hari anda semakin mengenali pasangan anda. Inilah yang disebut-sebut oleh orang tua. Menikahi dengan pasangan kekasih itu jauh berbeza. Kalau sudah tinggal sebumbung baru terasa pahit manisnya.

Pernah dengar pasangan anda bertengkar hebat lantaran suami sering sahaja membiarkan TV sentiasa menyala hingga ke siang hari? Tak mustahil itu juga pasti terjadi terhadap alam rumah tangga anda.

Sebelum meledak marah, ingat ini… Mungkin anda juga mempunyai kebiasaan buruk yang membuatkan pasangan tidak selesa. Misalnya malas membersihkan sinki mahupun selalu membiarkan plastik sampah di dapur didatangi ulat.

Ambillah sedikit waktu untuk cuba mencari solusi. Latih diri untuk mencuba lari dari kebiasaan kerana anda kini hidup berdua bukan cuma untuk satu hari, tetapi selama-lamanya andai diizinkan Tuhan.

Masalah masalah kecil dalam rumah pula sebenarnya sangat mudah diatasi asalkan ada kesedaran dan kemahuan kuat daripada kedua belah pihak untuk mengubah diri. Anda berdua harusnya perlu faham, mulai saat ini tak ada lagi pembantu rumah atau ibu yang kerap kali menutupi kebiasaan buruk yang kamu berdua lakukan.

Tekankan ini pada pasangan. Jika masih berkeras kepala, berdiamlah buat sementara sebelum memulakan sekali lagi. Yakinlah suami akan mengerti kerana dia sudah dewasa. Hanya berilah sedikit waktu untuk menyesuaikan diri.

TAHAP KEBERSIHAN DAN KERAPIAN JUGA TAK SAMA

Sejak kecil, anda sudah terkenal sebagai Miss Clean & Neat, sementara dia, terbiasa hidup dengan tahap bersih apa adanya seperti kebanyakan lelaki. Berdebu sedikit tidak mengapa asalkan jangan sampai ada sarang labah-labah. Ya benar, hidup memang harus bersih. Untuk mengikut menjadi seperti anda, suami perlu diberikan waktu. Didiklah perlahan-lahan.

SUAMI LEBIH GEMAR MENGHABISKAN WAKTU DI DEPAN KOMPUTER, ISTERI PULA DENGAN TELEFON BIMBIT

Inilah kemuncak kepada tiap permasalahan yang melanda kebanyakan rumah tangga. Apalagi anda masih pengantin baru. Tapi bagaimana tuntutan pekerjaannya memang demikian?

Bagaimana sekiranya suami anda sebenarnya lebih senang menghabiskan kerjanya di rumah semata-mata untuk bersama anda dengan syarat pekerjaannya harus diselesaikan di rumah. Ada kemungkinan yang harus anda periksa. Apakah suami di depan komputer untuk bekerja ataupun sekadar untuk bermain Facebook?

Jika yang kedua, mudah saja. Sama ada anda protes dengan tindakannya atau tawarkan kegiatan lain yang mengasyikkan. Bercinta misalnya. Jika kerana alasan kerja, mahu atau tidak anda harus berbincang agar si dia mampu membagi waktu secara adil antara pekerjaan dan kemesraan. Ketika suami bekerja, anda juga boleh melakukan kegiatan yang anda gemari.

Paling utama, saat kedua-duanya punya waktu terluang untuk bermesra, tinggalkan segala gajet dan berilah perhatian yang cukup kepada pasangan anda. Bimbang sekiranya terlalu asyik dengan medium perantara moden yang jauh ke depan, hubungan anda berdua pula yang ke belakang.

TOLERANSI

Pasangan baru di rumah baru hakikatnya perlu bersiap-siap dengan budaya toleransi dan kompromi. Secara mentah hal ini mampu mengeruhkan hubungan anda.

Kenanglah kembali semua kelebihan si dia yang menjadi punca mengapa anda sering sahaja jatuh cinta pada dia. Tak ada manusia yang 100% sempurna. Tunjukkan rasa penghargaan ke atas segala kebaikan pasangan dengan mengucapkan terima kasih dan melontarkan pujian. Ini mampu menjadi ubat dalam menyejukkan di tengah segala perdebatan yang nyaris terjadi setiap hari.

Cari bahan perbicaraan yang lain selain masalah rumah tangga. Take a break. Lupakan dulu tentang kebiasaan membuang sampah. Berdiskusilah tentang hal-hal yang mampu menghangatkan asmara anda.

Ambillah waktu untuk bersiar-siar, rencanakan bulan madu kali kedua pada hujung minggu. Ini penting untuk menyegarkan kembali fikiran yang kusut. Jangan lupa sertakan pasangan dalam penyusunan rencana tersebut agar ia tidak merasa tersisih. KR

IKLAN
Share