Bernilai RM1Bilion, Ini Info Menarik Tentang Kapal Persiaran EQUANIMITY!

Kapal persiaran mewah ‘Equanimity’ milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low yang selamat berlabuh di perairan Malaysia hari ini menjadi topik hangat di Internet dan media sosial. Selain terpaku melihat struktur kapal mewah berkenaan, kemunculan Equanimity yang membawa maksud ketenangan turut menarik perhatian ramai dek kerana nilainya yang dianggarkan mencecah RM1, 000,000,000!

Tiba di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang sekitar pukul 12.25 tengah hari tadi, Equanimity akhirnya belayar pulang ke Malaysia selepas berlepas dari Pelabuhan Batam pada petang semalam bagi melancarkan penyiasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dipercayai menjadi sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB.

Jho Low

Kapal ini disita di Bali pada Februari atas permintaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) namun pada April Mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tak boleh bertindak demikian dan perlu mengembalikannya kepada pemilik kapal. Bagaimana pun, Julai lalu kerajaan Indonesia sekali lagi merampasnya sebelum dikembalikan kepada kerajaan Malaysia hari ini.

INFO MENARIK MENGENAI EQUANIMITY

  • Nilai: RM1, 000, 000, 000 (RM1bilion)
  • Pemilik : Low Taek Jho – Jho Low
  • Syarikat Pengeluar : Oceano / 2014
  • Jumlah kabin : 9 (1 Master, 4 VIP Suite & 4 Kabin Berkembar)
  • Panjang : 91.50 m (300.2 kaki)
  • Berat : 2, 999 tan
  • Kelajuan : 19.5 knots (anggaran 36km/jam)
  • Bilangan anak kapal : 28
  • Bilangan tetamu : 26
  • Reka bentuk dalaman: Andrew Winch
  • Kedudukan: Ke-54 terbesar di dunia
  • Kemudahan: Jakuzi, sauna, landasan helikopter, kolam renang, bilik kecantikan, ruang spa, gimnasium, pawagam, lif, penghawa dingin, dan bilik mandi gaya Turki berserta tab panas.

Turut dilaporkan hiasan dalaman kapal ini bertemakan kayu, buluh dan saduran emas di bahagian tertentu atas kapal.

Sementara itu, ada cadangan yang dikemukakan kepada pihak kerajaan Persekutuan agar kapal ini dibuka untuk tontonan dan lawatan orang ramai. Kalau cadangan ini diterima, mesti ramai yang tak sabar untuk meneroka dan melihat sendiri Equanimity dengan lebih dekat.

 

IKLAN
Share