Gaya Hidup

Bersolat Tapi Fikiran Jauh Menerawang, Amalkan 4 CARA KHUSYUK SOLAT Ini Agar Lebih Fokus

Dari awal lagi niatkan yang baik-baik, fikir bahawa Allah itu Maha Melihat serta mengawasi gerak-geri kita sewaktu bersolat.

Sesaat berdiri di atas tikar sejadah, kita sudah selangkah menggagalkan hasutan syaitan dengan menunaikan solat. Tapi usaha syaitanirrojim tak berakhir lagi. Dipujuknya kita supaya berfikir hal-hal duniawi hingga hilang kekhusyukan solat.

Sedang Fatihah dibaca, tiba-tiba masa itulah teringat masakan di dapur, kain jemuran yang belum diangkat, anak-anak yang belum mandi, urusan di pejabat yang belum selesai atau macam-macam lagi.

Lupa sudah bacaan di mana, entah itu saat takbir, atau sujud, atau rukuk… Gara-gara hilang fokus semasa bersolat.

Ya, begitulah manusia. Bukan mudah untuk menetapkan fikiran agar fokus terhadap ibadah. Kerana itu juga kita disarankan agar solat pada awal waktu agar tidak terburu-buru.

Sempena bulan baru dan tahun baru 1439 Hijrah ini, jom kita sama-sama perbetulkan solat demi cinta kepada Maha Pencipta. Ikuti 4 cara praktikal ini untuk menambah kekhusyukan sewaktu bertemu-Nya.

(1) Pastikan tubuh badan, tempat solat, pakaian dan telekung bersih

Sekiranya kita bersolat dalam keadaan yang bersih, rapi dan berbau segar, jiwa pasti terasa lebih nyaman, selesa serta tenang. Elakkan memakai pewangi atau bersolat di kawasan yang mempunyai bau terlalu kuat. Jauhi juga tempat yang bising dan panas.

(2) Sebut setiap ayat yang dibaca dengan perlahan-lahan

Bacalah setiap ayat dan surah dengan perlahan agar kita lebih tenang. Kawal alunannya mengikut keselesaan. Di sini juga dapat dibezakan antara orang yang sabar dengan orang yang terburu-buru.

(3) Dengar dan hayati bacaan yang disebut

Nikmatilah setiap bacaan yang keluar dari bibir kita dengan telinga. Sepertimana kita menikmati muzik yang dirasakan mengalir ke seluruh tubuh, demikian juga rasanya sewaktu menikmati solat.

(4) Lupakan hal dunia, fokus pada ibadat

Ini mungkin yang paling sukar tapi berlatihlah meningkatkan konsentrasi dengan sedaya upaya. Apabila fikiran mulai beralih, kembali pada poin pertama dan kedua. Seimbangkan fikiran kita agar fokus pada Tuhan. Norzalina Mohd Alias

IKLAN
Share