“Bertahun-Tahun Tunggu Cahaya Mata” Pakar Ini Dedah Peratusan Punca Pasangan Lambat Dapat Zuriat

Percayakah anda, dianggarkan tidak kurang daripada 15% jumlah penduduk dunia susah mendapatkan zuriat?

Dalam temu bual Nona bersama Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Regency, Dr Thokha Muhammad, beliau mendedahkan bahawa 30% ketidaksuburan berpunca daripada suami, 30% daripada isteri, 30% daripada kombinasi suami dan isteri serta baki 10% adalah dari punca yang tidak diketahui.

Dr Thokha, Regency Specialist

PUNCA

  • Kualiti benih yang rendah (oligospermia) atau tiada (azoospermia).
  • Endometriosis.
  • Fibroid.
  • Tiub fallopian tersumbat.
  • Sindrom ovari polisistik.

“Ketika sesi pertama di klinik, beberapa perkara rutin akan dijalankan seperti mengetahui sejarah ringkas berkenaan sejarah zuriat, ujian analisis sperma, pemeriksaan ultrasound pelvis untuk memastikan tiada unsur-unsur seperti sista ovari, fibroid atau hydrosalphine (tiub yang bengkak/tersumbat yang boleh menjejaskan peluang hamil) serta ujian untuk hormon-hormon tertentu.

SYARAT HAMIL

  1. Suami mempunyai sperma dan hidup.
  2. Wanita mempunyai ovari yang mampu menghasilkan telur.
  3. Wanita mempunyai rahim yang mampu membesarkan janin.

Pasangan akan diterangkan bahawa terdapat tiga kaedah rawatan kesuburan dengan kos dan kadar kejayaan yang berbeza. Ketiga-tiga kaedah bermula daripada permulaan yang sama iaitu rangsangan ovari untuk membesar dan mematangkan telur. Setelah ia tercapai, pasangan yang dirawat boleh memilih kaedah rawatan yang diingini.

  1. Kaedah Natural (Peluang 5-10%)
  2. Kaedah Separa Natural atau Intrauterine Insemination (IUI) (Peluang 10-20%)
  3. Kaedah Artifisial atau Bayi Tabung Uji/Invitro Fertilisation (IVF) (Peluang 50-60%)

Benih pasangan disenyawakan di luar dan kemudian dimasukkan semula ke dalam rahim untuk dibesarkan. Keseluruhan proses natural sebelum proses implantasi akan dilangkau (bypass). Rawatan dimulakan pada hari ke-2 haid. Suntikan hormon setiap hari di lemak perut (seperti suntikan insulin) selama 10 hari.

Kaedah ini dilakukan dengan bius sepenuhnya. Ia akan disenyawakan di makmal dan diinkubasi pada suhu 37°C. 2 hari kemudian, 2-3 embrio yang terbentuk akan dimasukkan semula ke dalam rahim. Embrio yang selebihnya akan dibekukan untuk kegunaan akan datang.

PELUANG

Hakikatnya tanpa rawatan, terdapat 15 pasangan bagi setiap 100 pasangan yang tidak akan berpeluang mendapat zuriat. Ini adalah satu jumlah yang besar. Kita beruntung hidup pada zaman di mana rawatan kesuburan adalah serba canggih dan mampu memberi kejayaan yang tinggi. Pada suatu ketika dahulu, rawatan IVF tidak mungkin dapat dikecap oleh kebanyakan pasangan kerana kosnya yang terlalu tinggi.

Pada masa kini, dengan kos di antara RM15,000 ke RM20,000, kebanyakan pasangan berpeluang mendapat zuriat yang dinanti-nantikan. Secara logiknya, jika kos bukan menjadi penghalang, IVF sepatutnya menjadi pilihan utama bagi setiap pasangan. IVF yang dilakukan oleh pasangan muda akan memberikan kejayaan yang lebih tinggi kerana embrio yang terbentuk berkualiti tinggi berbanding dengan pasangan yang lebih lanjut usia. Embrio muda yang dibekukan boleh digunakan berulang kali dengan kejayaan yang tinggi dan dengan kos yang lebih rendah pada masa yang akan datang.

Untuk mengulangi prosedur IVF menggunakan embrio yang telah dibekukan, kos menjadi lebih murah (sekitar RM5,000). Dengan kejayaan 50-60%, setiap pasangan yang menggunakan kaedah ini kebanyakannya akan berjaya hamil. Diharap apabila kaedah IVF suatu ketika nanti sudah menjadi pilihan utama pasangan untuk mendapat zuriat, masalah ini dapat dirawat sepenuhnya dan hampir setiap pasangan akan berpeluang mendapat anak.

IKLAN
Share