Gaya Hidup

Betul Ke Intimasi Boleh Tergugat Kerana Stres? Sebenarnya 3 PUNCA LAIN Ini Pun Bahaya Juga, Cuba Semak!

Hubungan intim boleh mengeratkan hubungan silaturahim antara pasangan. Maka mustahak untuk kedua-dua pasangan memainkan peranan untuk menceriakan lagi hubungan itu.

Mungkin perkara utama pasangan perlu lakukan ialah mengekalkan komunikasi yang telah bermula sebelum mereka berhijrah ke jenjang pelamin. Malah pasangan perlu memperluaskan lagi komunikasi mereka dengan komunikasi secara terbuka, termasuk juga perbicaraan tentang hubungan intim, termasuk tentang keseronokan dan kepuasan serta keruncingan.

Keceriaan dalam hubungan intim seksual akan tergendala apabila pemikiran dan kefahaman pasangan tidak sehala dan mereka sukar untuk bertolak-ansur. Tanpa komunikasi yang terbuka memang sukar untuk bersemuka apatah lagi untuk berbicara tentang isu dan perihal hubungan intim seksual.

Kesihatan dan kesejahteraan ialah tunjang keharmonian rumah tangga. Kedua-dua pasangan perlu amal gaya hidup sihat dan peka tentang penjagaan kesihatan masing-masing. Memandangkan hubungan intim seksual suatu aktiviti lasak, maka mustahak untuk pasangan mengekalkan kecergasan tubuh badan dengan mengamalkan senaman yang berkala.

Tanpa stamina dan kecergasan tubuh badan memang sukar untuk menjayakan apa-apa aktiviti berdaya lasak dan ini termasuk hubungan intim seksual.

Senaman secara berkumpulan atau yang dilakukan secara bersama lebih menceriakan kerana tidak membosankan dan jika dilakukan bersama, sudah tentu dapat meningkatkan lagi keseronokan dan keceriaan.

Pendek kata, mustahak untuk pasangan mengamalkan gaya hidup sihat. Kawal berat badan ke peringkat unggul. Pastikan makan makanan yang seimbang termasuk cukup serat dan air kerana kedua-dua elemen ini dapat mengeluarkan bahan toksik dalam badan.

Amalan makan suplemen seperti vitamin dan zat galian membantu menstabilkan metabolisme pemakanan dalam badan dan mencergaskan sistem reproduktif dan fungsinya.

Amalan tidak sihat seperti merokok, menghisap shisha dan minum minuman keras dan pengambilan najis dadah seperti ganja perlu dielakkan.

Punca Kedinginan

(a) Rokok

Rokok mengakibatkan anggota kelamin lelaki cepat kecut dan kecil dan tidak bertahan lama atau mati pucuk begitu juga dengan shisha.

(b) Minuman beralkohol

Manakala minuman beralkohol pula melemahkan minda dan mengakibatkan individu hilang daya kawalan diri dan ini termasuk kawalan fungsi syahwat lelaki.

(c) Dadah

Pengambilan dadah seperti ganja dan pelbagai menekan sistem kawalan syahwat dan membuatkan pengamalnya rasa hebat dalam hubungan seks, yang secara langsung membuatkan sistem kawalan syahwat menjadi lemah.

(d) Stres

Stres atau tekanan mengancam hubungan intim seksual jika tidak dapat dikawal. Stres mengakibatkan perasaan gemuruh dan berderau (debaran jantung yang luar biasa) dan ini membuatkan perjalanan darah dalam anggota kelamin tergendala dan mengganggu pencapaian ereksi untuk lelaki.

Pengurusan rumah tangga, kehamilan, kelahiran, penjagaan anak dan kerjaya memberi tekanan yang khusus. Keletihan, kelesuan boleh menimbulkan keresahan dan tekanan dalam keharmonian rumah tangga dan mengancam suasana intimasi yang telah terjalin. Ini tidak bererti yang intimasi sudah hilang. Jika pasangan dapat menguruskan semua cabaran itu dengan permuafakatan, keadaan yang tegang akan menjadi tenang dan keceriaan intimasi akan kembali dengan bergelora.

Keresahan, tekanan dan kemurungan boleh ditangani dengan pasangan bekerjasama. Sentuhan, pelukan, kucup dan belaian membantu melegakan minda dan tekanan fizikal serta menghidupkan kembali suasana intimasi.

Bimbingan dan rawatan

Dengan amalan pemeriksaan kesihatan secara tahunan, mereka akan dapat mengetahui kedudukan kesihatan mereka dan mendapat nasihat, bimbingan dan rawatan daripada doktor di peringkat awal lagi. Sebelum penyakit itu mengganggu kesejahteraan kesihatan seksual mereka. Penyakit kronik seperti peningkatan kolesterol, peningkatan gula dalam darah (diabetes) dan peningkatan tekanan darah mengancam fungsi seksual lelaki.

Bagi lelaki, penyakit tersebut boleh menyebabkan kelemahan daya kawalan ejakulasi (ejakulasi pramatang) atau mati pucuk. Apabila fungsi anggota syahwat mula menunjukkan disfungsi, hubungan intim tergendala akibat hilang upaya atau kurang daya seperti gangguan ereksi.

Sebenarnya hubungan intim seksual kekal selama-lamanya. Ia tiada batasan atau sempadan. Pelukan, kucup, urutan dan belaian ialah sebahagian daripada pendekatan intimasi.

Intimasi bukan seks penetratif sahaja. Intimasi seksual boleh dibentuk mengikut keselesaan, kemampuan kesihatan dan kemampuan fizikal kedua-dua pasangan. Sedangkan pasangan yang kurang upaya juga perlukan intimasi. Yang mustahak ialah kedua-dua pasangan kekal ceriakan selalu hubungan intim untuk selama-lamanya. Hamizatul Maizan Mohamed

IKLAN
Share