“Bila Bosan, Saya BERTARANNUM… Rasa Puas!” Dedah Johan Qariah Termuda NOR FARHATUL FAIRUZAH

Kemenangan qariah Malaysia, Nor Farhatul Fairuzah Panut dalam pertandingan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) pada Sabtu lalu nyata satu kejayaan membanggakan bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencapaian luar biasa yang diraih Farha itu bukan saja mencipta sejarah selaku peserta termuda yang menyertai majlis berkenaan… bahkan dia juga merupakan qariah termuda yang memenangi pertandingan berkelas antarabangsa tersebut pada usia 19 tahun.

Memungut kutipan markah tertinggi 87.05 peratus dalam MTHQA, Farha tidak sekadar berjaya mengatasi markah 86.67 peratus ketika menjuarai Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan, Mac lalu. Sebaliknya, pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu ini juga menewaskan peserta dari Indonesia dan Thailand dengan catatan markah masing-masing 84.88 peratus dan 80.46 peratus.

Kejayaan Farha dikongsi bersama ahli keluarga

Berpeluang menemu bual Farha sebelum pertandingan berlangsung, anak bongsu ini mengakui dirinya cukup dekat dengan Al-Quran dan gemar bertarannum. Ada saja masa terluang, dia pasti akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci sepuas-puasnya. “Kalau saya rasa bosan, perkara pertama yang saya buat ialah bertarannum. Tarannum ni dah jadi minat saya sejak dulu. Kiranya macam menyanyilah… cuma saya ‘nyanyi’ dengan cara saya sendiri iaitu dengan bertarannum,” ujarnya sambil tersenyum.

Mendengar pengakuan anak tersayang, Hajah Jaliah Haji Simin yang juga ibu kepada Farha lantas membongkar rahsia tentang kelakuan anak kesayangannya. “Dekat sekolah dia selalu telefon saya dan beritahu nak balik rumah sebab nak tarannum. Bila saya minta dia tarannum je dekat sekolah, dia tak mahu. Katanya rasa macam tak puas… tak lepas. Memang dia nak balik rumah juga.

Jadi, dah sampai je rumah dia akan tarannum puas-puas. Sambil buat kerja pun dia akan tarannum dan hafal surah dengan lenggok lagu yang dia suka. Sampai sekarang, bila semua adik-beradik balik rumah… mereka akan berkumpul dan mengaji bersama-sama.”

Farha Bersama kakaknya ketika memenangi MTHQK pada Mac lalu

MashaAllah, bagusnya didikan Hajah Jaliah dan Allahyarham Haji Panut Haji Markum! Kelima-lima anak mereka bagai sudah sebati dengan Al-Quran dan telah diasuh mencintai kitab suci sejak kecil. Hasilnya, kesemua adik-beradik Farha aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah Al-Quran dan salah seorang kakaknya, Nor Faizah Panut merupakan naib juara Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Kebangsaan yang lalu.

Kongsi Farha, “Sejak umur lima tahun lagi saya dah mula belajar tarannum. Bila masuk darjah satu pula, saya dah didedahkan menyertai pertandingan tilawah. Mak dan ayah yang banyak mendidik saya sejak kecil lagi sebab mereka berdua bekas Qari dan Qariah.

Ayah jadi Qari sekitar tahun 1990an dan kali terakhir mak bergelar Qariah pula pada tahun 2004 di Perlis dan dapat tempat ketiga peringkat kebangsaan.

Kalau diikutkan, selain suka dengar lagu-lagu Arab, tilawah juga salah satu hobi saya. Tapi buat masa ini, tujuan saya masuk tilawah adalah untuk menilai sejauh mana kualiti bacaaan. Belum terfikir lagi untuk jadikannya sebagai kerjaya.

Semua adik-beradik saya pernah wakil negeri dan ke peringkat kebangsaan dalam pelbagai anjuran. Memang ini adalah impian arwah ayah dan mak. Lagipun, mak adalah guru mengajar Al-Quran.”

Hasil kemenangan itu, Farhatul membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70, 000, piala iringan dan wang tunai RM40, 000. Turut mencipta rekod cemerlang ialah Qari Malaysia iaitu Abdul Khair Jalil yang menjadi Johan Qari dalam pertandingan sama. Moga kejayaan mereka berdua dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda mendalami Al-Quran.

 

 

 

IKLAN
Share