Bila Makeup Artist Tersohor Ini Komen Tentang Lambakan ‘Jurusolek Segera’, Jawapan DATIN SAIDATULNISA Memang Win!

Siapa yang tidak kenal dengan jurusolek tersohor Datin Saidatulnisa Aminuddin yang sering menjadi pilihan golongan ternama mahupun kerabat Diraja. Berpengalaman selama 35 tahun dalam dunia solekan meletakkan wanita berusia 54 tahun ini pada kedudukannya yang tersendiri.

APA PERKEMBANGAN TERKINI DATIN SAIDATULNISA?

Saya bakal mengeluarkan kosmetik berjenama sendiri iaitu The Cosmetic Company. Produk ini merupakan inspirasi dan pengalaman saya buat mereka yang menunggu kosmetik tempatan berkualiti, berpatutan serta sesuai untuk pengguna di Malaysia.

PANDANGAN TERHADAP TRANSFORMASI SOLEKAN TERKINI. ADAKAH IA MENGUBAH PRINSIP SOLEKAN DATIN SAIDATULNISA?

Saya masih berpegang teguh kepada solekan yang tidak keterlaluan, tidak makan dek zaman atau evergreen (malar segar). Lebih-lebih lagi solekan untuk perkahwinan yang akan terpahat pada gambar kenangan sampai bila-bila. Jadi, solekan yang viral ini selalunya bersifat unik dan hanyalah trend pada saat itu sahaja.

SEBAGAI SENIOR DALAM BIDANG SOLEKAN, APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG LAMBAKAN ‘JURUSOLEK SEGERA’ TERUTAMA DI MEDIA SOSIAL YANG RATA-RATA KURANG ILMU MAHUPUN KEPAKARAN DALAM BIDANG SOLEKAN?

Masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Mungkin kita perlu memberi ruang kepada semua orang untuk berkarya.  Saya percaya masing-masing ada rezeki yang telah ditetapkan oleh-Nya, namun saya juga berpendapat pelanggan di luar sana tahu kelebihan solekan serta jurusolek yang mereka pilih.

BAGAIMANA DATIN SAIDATULNISA MENJAGA NILAI EKSKLUSIF SEBAGAI JURUSOLEK PROFESIONAL YANG SERING MENJADI PILIHAN GOLONGAN TERNAMA TERMASUK KERABAT, VVIP DAN SELEBRITI TERNAMA? ADAKAH DATIN SEORANG YANG MEMILIH?

Saya tidak memilih cuma mengekalkan polisi confidentiality sesama pelanggan lebih-lebih lagi selebriti, VVIP dan golongan ternama. Saya menghormati pelanggan dan tidak akan melangkaui batas antara saya dan pelanggan. Saya turut menghormati dan berpengalaman dalam protokol istana. Oleh itu, VVIP dan golongan ternama mudah berasa selesa dengan saya.

DARI MANAKAH BAKAT DAN ILMU SOLEKAN YANG DATIN SAIDATULNISA PEROLEHI?

Saya belajar sendiri tanpa sesiapa tunjuk ajar. Mungkin juga saya memperolehi bakat ini dari Nenda yang pakar dalam solekan pengantin dan golongan Diraja dahulu.

APAKAH RAHSIA ATAU TIP YANG DIAMALKAN OLEH DATIN SAIDATULNISA BAGI MENYERLAHKAN SOLEKAN?

Tiada sebarang rahsia mahupun pantang cuma saya masih mengekalkan tip daripada Nenda saya. Selalunya sebelum menyolek saya terlebih dahulu akan berselawat ke atas junjungan Nabi SAW sambil berpegang teguh kepada prinsip saya sendiri iaitu ‘Less is more

’.

APA PANDANGAN DATIN SAIDATULNISA TENTANG REVOLUSI AKAN DATANG?

Dunia solekan akan sentiasa berevolusi tetapi bagi saya kita tetap perlukan solekan yang evergreen (malar segar) kerana sejauh mana transformasi itu berlaku saya percaya bahawa adat, budaya dan agama kita tidak sesuai untuk terikut-ikut solekan yang terlalu berlebihan dan bertentangan dengan adat, budaya dan agama kita. AMY MOHD

 

 

IKLAN
Share