Gaya Hidup

Bukan Lagi Rahsia, TUNKU HANIS Kongsi Tip Miliki Kulit Sihat Bermaya!

Walaupun Y.M. Tunku Hanis Y.M. Tunku Salman sibuk dengan jadual penggambaran namun tetap sama seperti gadis lain rutin menjaga kecantikan. Rejim kecantikan menjadi kewajipan buat Tunku Hanis bagi mengekalkan kejelitaan. Terang gadis yang aktif dalam sukan sejak zaman persekolahan ini, aktiviti luar banyak mempengaruhi rejim kecantikan dirinya. “Kalau hendak tahu kulit saya dahulu agak gelap kerana sering terdedah kepada cahaya matahari akibat aktif bersukan.

Saya sering diejek rakan-rakan kerana memiliki kulit yang sangat gelap. Ketika itu saya rasa rendah diri dan malu untuk bergaul dengan orang ramai. Kemudian saya nekad mahu mengubah diri untuk berubah. Ketika cuti sekolah hujung tahun saya keluar sendiri tanpa ditemani sesiapa mencari krim yang melindungi kulit. Produk yang telah berjaya mengubah penampilan saya dahulu adalah rangkaian penjagaan wajah Safi. Apabila cuti penggal telah berakhir dan saya memulakan sesi persekolahan ramai yang tidak mengenali diri saya kerana perubahan drastik itu.

Kini saya bersyukur kerana tidak mempunyai sebarang masalah kulit dan terus memastikan saya melakukan rutin penjagaan kulit wajah seperti membersihkan kulit, sapu penyegar dan pelembap. Produk yang menjadi pilihan saya adalah mampu membantu melembapkan kulit secara efektif agar kulit lebih lembut dan bermaya. Malah dapat melindungi kulit daripada sinaran UVA dan UVB agar wajah tampil cerah berseri,” terang Tunku Hanis panjang lebar.

KERABAT DIRAJA

Walaupun mempunyai darah kerabat diraja namun gadis yang mudah mesra ini sentiasa sangat merendah diri. Bagi Tunku Hanis gelaran kerabat yang disandangnya itu bukan suatu yang luar biasa, beliau tetap menjalani kehidupan normal seperti orang lain. “Cuma kadangkala saya diberikan sedikit kelebihan dan sering mendapat layanan istimewa. Pun begitu, berstatus kerabat atau tidak, kita semua manusia yang sama. Meskipun saya berdarah kerabat namun hati saya sama seperti orang lain.

Ketika diajukan tentang salasilah keturunan diraja, tutur Tunku Hanis lembut, “Bapa saya berketurunan kerabat Negeri Sembilan. Saya merupakan cicit kepada Yamtuan Antah. Ayahanda saya merupakan cucu kepada Yamtuan Antah, Yang Dipertua Negeri Sembilan yang berasal dari Seri Menanti,” ungkapnya yang turut mempunyai darah Arab, Pakistan dan Baba Nyonya ini.

Sebagai anak muda yang hidup dalam era globalisasi ini, Tunku Hanis berbeza dengan rakan seangkatan dengannya. “Walaupun saya masih muda tetapi saya tidak suka membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah. Saya tidak suka berpesta dan lebih gemar menghabiskan masa dengan melakukan perkara yang berfaedah.

Saya gemar menyertai acara yang melibatkan ramai orang untuk meningkatkan rangkaian. Antara acara yang saya sertai adalah larian marathon, mendaki bukit, badminton dan sebagainya. Saya mempunyai visi untuk membantu dan menaikkan golongan muda ke peringkat yang lebih tinggi dan dihargai oleh masyarakat.

Justeru, saya sangat mengagumi kepimpinan Menteri Belia Dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin. Beliau tahu apa yang dilakukan dan pandai mencari ruang untuk mendekati rakyat,” tegas Tunku Hanis tentang harapannya terhadap anak bangsa.

Tunku Hanis Y.M Tunku Salman bukan suatu nama yang asing di persada industri seni tanah air. 10 tahun bergelar anak seni, Tunku Hanis berjaya meletakkan dirinya dalam kelasnya yang tersendiri. Bakat semula jadi Tunku Hanis dalam seni lakonan sentiasa diterima oleh peminat drama tempatan dan tidak pernah putus menerima tawaran berlakon. Memberikan lakonan bersahaja dan mampu membawa apa sahaja watak yang diserahkan kepadanya. Malah gadis tinggi lampai ini sering diberikan watak antagonis kerana keberkesanan watak yang sering dilakonkan olehnya. HAMIZATUL MAIZAN MOHAMED

 

IKLAN
Share