“Bukan Setakat Berebut Malah Kadang Kecil Hati Mama Duduk Rumah Adik-Beradik Lain,” – Che Ta

Cemburu melihat keakraban yang terjalin di antara adik-beradik glamor ini. Gurau-senda dan gelak ketawa mereka jelas mempamerkan kasih sayang yang bersimpul mati dalam hati nurani masing-masing. Pasti ibu yang mengandungkan adik-beradik jelita selama 9 bulan ini bahagia melihat anak-anaknya bersatu hati dan saling memerlukan. Tidak kurang juga bangga melihat pencapaian anak-anaknya dalam kehidupan masing-masing. Bak kata orang ‘sejuk perut ibu mengandung’.

 

Memang benar mempunyai anak-anak yang ramai nampak ‘sukar’ hanya ketika mereka masih kecil dan sedang membesar. Namun apabila sudah meningkat dewasa, hilang segala jerit-perit ketika membesarkan apatah lagi melihat anak-anak meraih kebahagiaan hidup masing-masing. Namun, di sebalik kebahagiaan yang dikecap oleh ibu kepada 5 adik-beradik bergaya ini, tersimpan sebuah sejarah yang sukar dikikis dalam memori hidupnya.

“Memang benar, mama paling banyak berjasa kepada kami 7 adik-beradik. Selepas arwah bapa meninggal dunia, mama terpaksa menjadi tunggak keluarga kami. Dengan tak pernah ada pengalaman kerja tetapi terpaksa mencari rezeki demi membesarkan anak seramai 7 orang. Tapi dalam keadaan sebegitu, mama tidak lemah dan  sanggup berhijrah keluar dari Kedah untuk mencari rezeki demi nak besarkan kami, anak-anaknya. Kami, adik-beradik masih ingat susah payah mama membesarkan kami dahulu sehingga sekarang.

Alhamdulillah, bila kami adik-beradik dah besar tak pernah lupa untuk balas balik segala jasa dan pengorbanan mama membesarkan kami adik-beradik dahulu. Syukur kerana kami adik-beradik punya kesedaran nak jaga mama balik. Kami berebut nak jaga mama. Bukan setakat berebut malah kadang-kadang kecil hati kenapa mama duduk rumah adik-beradik lain lebih lama dan tak datang ke rumah kita,” tutur Cheta lembut.

Menggalas tugas sebagai ibu dan dalam masa yang sama memegang peranan sebagai bapa memang bukan suatu tugas yang mudah. Kekuatan fizikal dan juga mental usah digambarkan. Kecekalan hati ibu kepada adik-beradik ini sering dijadikan inspirasi dalam meniti kehidupan berumah tangga mereka.

Ayu Raudhah yang masih kecil lagi ketika bapanya meninggal dunia pula mencelah, “Walaupun ketika itu saya masih kecil dan tak pernah mengecap kasih sayang seorang ayah namun, saya tak pernah rasa kekurangan ketika membesar dahulu. Sebab mama merupakan ibu dan bapa yang terbaik. Even

sampai sekarang saya sudah bergelar ibu, namun saya tak dapat nak buat yang terbaik macam mana mama membesarkan kami dahulu,” bicara Ayu yang memberitahu ketika bapanya meninggal dunia adik bongsu masa itu masih berusia 6 bulan dan semua adik-beradik masih bersekolah.

Pasti hati seorang ibu berbunga apabila anak-anak bakal pulang berhari raya di terataknya. Tahun ini semua anak-anak kepada Zabedah Saad ini bakal berkumpul di pagi raya dan sudah pasti riuh rendah kediamannya yang terletak di Alor Setar ini.

 

 

IKLAN
Share