Calon Popular & Aktif Di Media Sosial Berpeluang Tinggi Pikat Pengundi Muda

Calon pilihan raya yang aktif dan ‘popular’ di media sosial mempunyai peluang tinggi untuk menambat hati pengundi, terutamanya golongan muda yang pertama kali menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed berkata ia berikutan realiti pada zaman Internet ketika ini membuatkan platform media sosial mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pendirian politik pengundi.

“Lebih-lebih lagi apabila calon memainkan isu-isu yang dianggap sensasi dan menarik perhatian pengundi. Soal benar atau salah, tulen atau palsu kelihatannya tidak menjadi perkiraan utama kebanyakan pengguna media sosial,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, beliau berkata pengundi muda secara umumnya mengutamakan calon yang dianggap serta dipercayai berupaya memberi faedah secara langsung kepada golongan itu.

Katanya pengundi muda mengutamakan isu yang dianggap ‘sensasi’ antaranya peluang pendidikan tinggi, peluang perniagaan yang disokong dengan bantuan modal dan insentif lain serta peluang pekerjaan yang menjanjikan insentif terbaik dan segera.

“Usia calon – lebih muda lebih dianggap ideal – memberi kelebihan kepada calon namun ia juga bergantung kepada beberapa sifat luaran calon muda seperti perawakan, latar belakang teknikal calon, lokaliti dan juga idealisme politik yang ditunjukkan,” katanya.

Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu jumlah pengundi yang berdaftar setakat Mei 2022 adalah 21,113,234 orang, dengan 1,141,749 orang atau 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 hingga 20 tahun.

Sumber: Bernama

IKLAN
Share