Cantik & Berjiwa Murni, DR JEZAMINE Masak 1,200 Pek Makanan Untuk Golongan Terjejas Covid-19!

Sememangnya rakyat Malaysia penuh dengan sikap prihatin. Tidak kira para pemimpin, ahli korporat, selebriti mahupun orang kebanyakan, semuanya turun padang membantu golongan yang terjejas akibat wabak Covid-19. Terbaru, Dr Jezamine Lim yang merupakan isteri kepada Harith Iskander tidak ketinggalan memerah keringat meringankan beban golongan yang tidak bernasib baik dalam menghadapi situasi pandemik hari ini. Bagi menjayakan usaha murni itu, Dr Jezamine dan suami telah mengadakan Covid-19 Support Fund Raising melalui badan amal mereka The Hope Branch.

Mula aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, pada awalnya mereka enggan mengumpul dana sehinggalah sudah menemui pihak berkepentingan yang betul-betul dapat melancarkan lagi usaha mereka agar segala keperluan sampai dengan selamat. Selain bekerjasama rapat dengan pelbagai hospital antaranya Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Sungai Buloh, Dr Jezamine dan suami juga bertemu Ketua Polis Daerah Selangor dan Ipoh, soup kitchen dan hampir 10 rumah perlindungan.

Sasaran utama Dr Jezamine adalah untuk membekalkan 100,000 peralatan perlindungan diri (PPE) dan face mask untuk kegunaan petugas kesihatan di samping memberi sumbangan berbentuk makanan sebanyak 1,200 pek kepada keluarga yang memerlukan di rumah perlindungan dan soup kitchen.

Paling mengagumkan, Dr Jezamine menggunakan segala keringat yang ada untuk memasak dan menyediakan bantuan makanan sebelum diagihkan kepada mereka yang terlibat. Kongsinya, “Absolute stretch for me. Cooked for 1,200 paxs will be distributed to those most in need and most affected by the MCO, specifically the vulnerable members of our community in shelter homes, transit home Pertiwi, soup kitchen and this batch for The Lost Food Project.”

Ujar isteri pelawak popular ini lagi, dia turut mendapat pertolongan Cantin Malaysia untuk menyiapkan dan membungkus makanan yang telah siap dimasak.

Antara menu yang disediakan ialah ayam goreng, claypot tofu dan stir fried cauliflower. Selain Harith Iskander, ketiga-tiga anak mereka juga didedahkan dengan kerja amal ini dan rajin membantu terutamanya urusan membungkus makanan. Pendek kata, satu keluarga terlibat membantu menjayakan kempen berkenaan.

Terharu dan kagum dengan usaha murni Dr Jezamine. Walau sibuk menguruskan keluarga dan tiga anak namun dia tetap mempunyai masa untuk membuat kerja amal seperti ini. Satu tindakan yang patut diberi pujian dan menjadi pencetus inspirasi kepada masyarakat. Beruntung Harith Iskander dikurniakan seorang isteri yang bukan hanya cantik, berpendidikan tinggi dan bekerjaya malah memiliki hati yang cukup penyayang!

Dr Jezamine sah bergelar isteri kepada Harith Iskander pada tanggal 12 Jun 2010. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zander Xayne Iskander, Alessandrea Jayne Iskander dan Zydane Xayne Iskander. Dr Jezamine juga merupakan pemegang ijazah doktor falsafah (Phd) in Stem Cell and Tissue Engineering dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

IKLAN
Share