NORFARRAH SYAHIRAH Yang Pernah Tular Dek Kudung Sejak Dilahirkan Akhirnya Temui Cinta Sejati

Dilahirkan dalam keadaan kudung tanpa kedua belah tangan sejak dilahirnya ibarat satu ujian yang perit untuk dilalui oleh mana-mana insan sekalipun, namun ia bukan penghalang bagi individu hebat ini yang menerima qada dan qadar dengan hati terbuka, malah tidak sekalipun mengeluh dengan keadaan fizikalnya.

Suatu ketika dahulu, kisah inspirasi Norfarrah Syahirah pernah mendapat liputan meluas di media sosial mahupun dada akhbar di mana gambarnya memandu menggunakan kaki tular membuatkan ramai yang kagum melihat kecekapannya. Malah Farah juga kerap kali berkongsi rutin dan aktiviti harian yang dilaluinya walaupun berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Mesra dengan panggilan Farah dan berasal dari Bagan Datuk, Perak ini telah berjaya membuktikan  kekurangan fizikal bukanlah pengakhiran hidup. “Ibu pernah bercerita sejak dirinya dalam kandungan lagi, ibu dapat rasakan ada perbezaan ketika mengandungkan saya berbanding adik-beradik yang lain. Yang paling ketara kurangnya pergerakan,” jelas Farah yang kini Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan malah seringkali dijemput untuk memberikan motivasi.

Farah bersama ibunya.

Jelas Farah, disebabkan dirinya hanya bergantung kepada kekuatan kaki untuk melakukan semua perkara, oleh itu dia mula berlatih untuk menulis menggunakan kaki.

Dan baru-baru ini, Farah mengumumkan yang dia sudah selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka yang dikenali sebagai Zul Roy di kediamannya di Bagan Datuk, Perak. Menerusi perkongsian foto di laman Instagram, wanita berusia 34 tahun itu meluahkan kesyukuran semuanya berjalan lancar dan tidak sabar untuk melangkah ke alam perkahwinan tidak lama lagi.

Turut dikongsikan foto bakal ibu mentuanya yang memakaikan gelang kaki sebagai simbolik mengikat tali pertunangan. Mengenakan persalinan sedondon berwarna hijau lembut dengan kapsyen ‘One step closer’ di ruangan komen rata-rata ramai yang mendoakan pasangan ini dipermudahkan segala urusan, malah ramai yang memuji bakal suaminya yang menerima keadaan fizikal Farah dengan hati yang terbuka.

NONA mendoakan semoga ikatan pertunangan ini akan berakhir di jinjang pelamin, dan semoga perkahwinan yang dibina nanti berkekalan ke Jannah hendaknya.

Kredit foto: @norfarrahsyahirahshaari

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

IKLAN
Share