Cara DAKWAH Neelofa Sebagai Jurucakap & Duta Lancome Malaysia, Memang INSPIRING!

Bercerita tentang kisah kejayaan pengacara dan pelakon popular, Noor Neelofa Mohd Noor memang tak akan pernah habis. Terlalu banyak inspirasi yang diberikan anak gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini bukan saja dalam industri seni malah kehidupan sebagai seorang wanita atau lebih dekat lagi, wanita muslimah dan berkerjaya.

Satu per satu kejayaan ditempa Neelofa. Mungkin juga kerana berkat doa ibunda tersayang, Datin Noor Kartini yang merestui perjalanan usahawan cantik ini. Di samping sibuk memasarkan produk muslimah Naelofar Hijab, dia juga sering menjadi perhatian pengusaha produk lain untuk menjadi duta. Itu belum lagi dengan program belia dan keusahawanan yang disertainya. Aduh, macam manalah agaknya Neelofa bahagi masa.

Dan terbaru, dia sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai duta jenama kosmetik antabarangsa, Lancome! Satu lagi jenama antarabangsa yang diwakili Neelofa selepas Swarovski. Lebih manis, angan-angan untuk menjadi ikon wanita muslimah ketika memenangi Dewi Remaja 2010 ternyata bukan omong kosong apabila Neelofa membuktikan dia adalah wanita berhijab pertama di dunia yang diangkat menjadi duta Lancome Malaysia.

Berkesempatan menemu bual Neelofa sempena pelancaran koleksi hijab terbarunya, Helena baru-baru ini, aktres yang membintangi drama bersiri Red Velvet berkenaan amat berbesar hati berkongsi pengalamannya di Paris ketika mengikuti lawatan Lancome awal Oktober lalu.

“Layanan yang diberikan mereka kepada saya cukup istimewa sejak menjejakkan kaki ke bumi Paris sampai saya pulang ke Malaysia. Sepanjang pertemuan kami tidak kira ketika tea time, lawatan ke lab, ke muzium perfume dan sebagainya, mereka memang beri perhatian lebih kepada saya. Pada saya Lancome bukan saja brand tapi kini lebih daripada itu lagi. Appreciation saya terhadap produk ini juga semakin meningkat.

Jujurnya, saya happy to promote, to use the product and happy bila nama saya kini sinonim dengan Lancome Malaysia. Tambahan pula penerimaan mereka terhadap saya sangat baik sebagai seorang wanita yang berasal dari Malaysia, berhijab dan beragama Islam pula tu. Ia satu benda besar bagi saya kerana dapat bawakan bukan saja terhadap imej tetapi juga agama.”

Bertuah sungguh Neelofa. Bakat dan kemampuan dia diakui sampai ke luar negara. Selain memberi peluang kepadanya untuk menonjolkan kredibiliti diri kepada masyarakat luar, pastinya ini salah satu cara dan pendekatan Neelofa untuk mempromosikan budaya dan agama Islam di peringkat antarabangsa. Syabas Neelofa dan teruskan memberi inspirasi kepada para wanita di luar sana! SUZIANA ABU DAUD

IKLAN
Share