Cecah Usia 6 Bulan, Wajah Comel FATIMA Tarik Perhatian Peminat FAZURA!

2 April lalu genap 6 bulan usia anak perempuan selebriti popular, Nur Fazura dan Fattah Amin! Makin meningkat usia, makin comel dan terserlah wajah Nur Fatima Aisyah yang mewarisi rupa paras ibu dan bapanya. Alahai, cair tengok kecomelan anak kecil ini!

Sejak beberapa hari lepas wajah comel Fatima menjadi tular di laman media sosial. Meskipun belum mencecah usia setahun namun populariti Fatima semakin mendapat tempat peminat seni tanah air. Apatah lagi dalam kalangan peminat setia Fazura dan Fattah yang tertarik dengan telatah manja Fatima.

Semalam, Fazura memuat naik video memaparkan aksi puteri kesayangan mengenakan dres merah jambu jenama Fendi tertawa riang sebaik melihat wajahnya di sebuah pusat beli-belah terkemuka. Beserta kapsyen, ‘Fatima’s first day of shoot’ … video tersebut meraih hampir sejuta tontonan dan dibanjiri dengan ribuan komen.

Sementara itu, menerusi perkongsian di Instagram @fattzuralovelife pelbagai gaya dan ragam Fatima menjadi tatapan warga net. Tak keruan dibuatnya melihat kehidupan bahagia pelakon Hero Seorang Cinderella ini di samping cahaya mata mereka!

Fazura sebelum ini pernah menyuarakan dilema yang ditanggungnya apabila terpaksa meninggalkan anak dek kerana tuntutan kerjaya. Menyedari lumrah dan naluri seorang ibu, rakan artis dan peminat tampil memberi kata perangsang dan nasihat. Hanya kaum ibu memahami situasi tersebut.

Mengimbas kembali detik kelahiran Nur Fatima Aisya Abdul Fattah, pasangan romantis ini menyambut kehadiran anak sulung mereka pada hari Jumaat, 14 Safar 1442 Hijrah bersamaan 2 Oktober 2020.

Menariknya, pada kelahiran Fatima juga Fazura melancarkan dengan koleksi produk kosmetik Fazura Beauty lip matte. Usahawan kosmetik ini juga memiliki produk penjagaan kulit jenama sendiri iaitu Fazura Skincare.

Selain kecomelan Fatima yang semakin menarik perhatian ramai, penampilan Fazura yang diundang sebagai juri tetap bagi Muzikal Lawak Superstar 2 turut menjadi bualan hangat peminat. Mana tidaknya, makin cantik berseri-seri dan anggun ibu jelita ini!

Di samping ligat mengusahakan perniagaan dan kerjaya seni, Fazura dan Fattah merupakan duta produk Bata Malaysia.

 

 

Kredit foto: Instagram Fazura & Fattzura Love Life

IKLAN
Share