CEO Jenama Fesyen Mewah Bantu Perangi COVID-19, Keluarkan & Edar ‘Hand Sanitizer’ Secara Percuma!

Ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 di seluruh dunia yang mencecah sehingga ratusan ribu orang, beberapa ketua pegawai eksekutif (CEO) jenama fesyen mewah antarabangsa tampil menghulurkan bantuan. Bernard Arnault iaitu pengerusi yang juga CEO Louis Vuitton Moet Hennessy (LVMH), sebuah syarikat rangkaian barangan mewah di dunia ini yang berpangkalan di Perancis ini dilaporkan sudah memulakan usaha memerangi wabak Covid-19 di negara tersebut bermula semalam.

Menerusi laporan yang disiarkan The Hollywood Reporter semalam, syarikat fesyen konglomerat berkenaan yang memiliki label fesyen mewah Dior, Givenchy dan Louis Vuitton menyatakan hasrat untuk membantu pasukan perubatan di Perancis bagi membendung penularan coronavirus. Difahamkan semua fasiliti pembuatan minyak wangi dan kosmetik milik LVMH telah secara aktif mengeluarkan hand sanitizer

sejak Isnin (16 Mac 2020) dan menangguhkan sementara penghasilan minyak wangi mewah keluaran mereka.
CEO LVMH, Bernard Arnault

Kesemua bekalan sanitizer ini akan diberikan kepada perbadanan kesihatan Perancis dan Assistance Publique-Hospitaux de Paris iaitu sistem hospital terbesar di Eropah secara percuma. Ia juga adalah sebagai agihan bekalan sanitizer kepada 39 buah hospital terlibat. Sehingga kini, Perancis mencatatkan lebih 5,000 kes jangkitan coronavirus berbanding kira-kira 3,500 kes di Amerika Syarikat.

Selain mahu membekalkan keperluan gel sanitizer

yang semakin berkurangan di Perancis, usaha LVMH ini juga dibuat sebagai langkah untuk mengelak orang ramai khususnya pasukan perubatan daripada dijangkiti virus berbahaya berkenaan. Ahad lalu, kerajaan Perancis telah mengarahkan semua tempat awam termasuk pusat perniagaan, restoran dan pawagam ditutup. Menurut LVMH lagi, sebanyak 12 tan sanitizer akan dihasilkan menjelang minggu ini.
CEO Versace, Donatella Versace

Sementara itu di Itali yang merupakan negara kedua jangkitan Covid-19 tertinggi di dunia pula, CEO Versace iaitu Donatella Versace bersama anak perempuannya, Allegra menyumbang sebanyak USD222,000 kepada Milan’s San Raffaele Hospital untuk mengekang coronavirus.

Kongsi Donatella di Instagram, “In times like this, it is important to be united and support however we can to help all those who are in the front lines, fighting every day to save hundreds of lives.”

Patrizio Bertelli & Miuccia Prada

Usaha yang sama turut diambil CEO Prada, Patrizio Bertelli dan Miuccia Prada serta pengerusinya Carlo Mazzi yang dilaporkan telah menyumbang dua unit penjagaan rapi dan pemulihan masing-masing hospital Milan Vittore Buzzi, Sacco dan San Raffaele.

 

Sumber: The Hollywood Reporter

IKLAN
Share