
Che Nom atau Khairul Aming? Dua pempengaruh masakan hebat ini kesayangan rakyat Malaysia dan pernah bergelar jurutera.
Dalam dunia resipi serta masakan, dua nama gergasi iaitu Che Nom dan Khairul Aming tampil sebagai antara pencipta kandungan paling popular di Malaysia.
Kedua-dua figura ini memiliki kekuatan tersendiri dalam menghasilkan kandungan, malah resipi yang dikongsi juga kebanyakannya enak menjadi.
Datang daripada latar belakang pendidikan dan kerjaya yang hebat, baik Che Nom ataupun Khairul Aming masing-masing menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia yang suka kulinari.
Che Nom atau nama asalnya Normah Bakar, pernah bergelar jurutera sebelum meletakkan jawatan untuk memberi tumpuan membesarkan anak. Sementara Khairul Aming, juga pernah bergelar jurutera minyak dan gas sebelum berhenti untuk fokus berniaga.
Kejayaan Khairul Aming sebagai usahawan kulinari membuka mata banyak pihak tentang pentingnya menghasilkan produk yang baik dengan perancangan teliti. Anak Kelantan ini sekali lagi mencipta sejarah apabila nilai jualan Rendang Nyet terjual melebihi RM1 juta semalam di platform e-commerce.
PERJALANAN PERTAMA
Berkongsi dalam hantaran terbarunya, Che Nom terbuka bercerita perjalanan pertama menceburi bidang ini.
“Dari iResepi dot com ke Resepichenom.com. Ramai yang tak tahu, sebelum wujudnya Resepi Che Nom, Che Nom mulakan perkongsian resepi pada tahun 2013 di website iResepi dot com. Masa tu, Che Nom dan suami memang betul-betul fokus untuk jadikan laman tu sebagai rujukan masakan orang Malaysia.
Setiap hujung minggu, sementara orang lain keluar berjalan, Che Nom habiskan masa di rumah, sibuk test masak dan ambil gambar resepi, suami pula tekun buat coding guna PHP. Kami fokus habis-habisan pada Search Engine Optimization (SEO) dan kelajuan website, sebab nak pastikan resepi senang dicari di Google dan website laju dibuka.”
Tambah Che Nom lagi, cabaran awal dihadapinya adalah trafik yang perlahan.
“Bila resepi semakin banyak, alhamdulillah trafik pun mula naik… dan buat pertama kali Che Nom terima surat dari Google AdSense, tanda income online mula masuk. Masa tu belum cukup untuk buat full time, tapi harapan tu dah mula ada.
Jujurnya, waktu tu tak pernah terfikir pun nak jadi YouTuber. Tapi kadang-kadang, bila kita usaha di satu jalan, Allah akan buka pintu rezeki di jalan yang lain, kadang rezeki tu datang dari arah yang tak kita sangka.”
Tidak terlepas daripada perhatian netizen, wanita jelita itu mengakui pernah menerima komen-komen berbaur kebencian.
“Kadang-kadang bila Che Nom nampak ada komen yang nada bitter, bila trace back IG/FB/Threads mereka, rupanya mereka pun sedang cuba jadi content creator atau influencer.
Che Nom faham, memang susah. Tapi kalau kita ada sikap macam tu, akhirnya kita sendiri yang akan stress, kurang fokus, dan hilang kreativiti. Sebab bila hati dipenuhi rasa tak puas hati, kita akan sibuk fikir pasal orang lain sampai lupa nak perbaiki diri sendiri.
Cuba untuk inspired by others, bukan bitter.
Kita semua akan bandingkan diri dengan orang yang lebih berjaya, tapi cara kita hadap perasaan tu yang membezakan.
Che Nom sendiri ada setiap hak untuk rasa cemburu pada Khairul Aming sebab dia sangat berjaya, tapi Che Nom lebih pilih untuk inspired dan respect dia, sebab Che Nom tahu dia kerja keras lebih daripada yang orang boleh bayangkan. Dia memang layak dengan kejayaan tu,” ucap Che Nom dengan nada ikhlas.
Beliau turut berpesan bahawa kejayaan tak datang sekelip mata. Semua perkara perlukan masa, fokus, kerja keras, dan hati yang lapang untuk raikan kejayaan orang lain.
“Kalau kita boleh kekalkan sikap macam tu, inshaAllah rezeki akan sampai, mungkin bukan ikut jalan yang kita rancang, tapi tepat pada masa yang kita perlukan,” akhirinya.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/guru-al-quran-harumkan-nama-malaysia-ustazah-wan-sofea-aini-rangkul-gelaran-johan-qariah/
This website uses cookies.