
Comelnya anak perempuan pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir! Terhibur tengok telatah bayi comel ini setiap kali ibu bapa mereka berkongsi gambar dan video anak tersayang di media sosial. Memiliki sepasang mata bulat dan suka senyum, gelagat Ana Nayla sering jadi perhatian peminat Ayda dan Nabil!
Sejak kehadiran Ana Nayla pada 21 September 2021, rumah tangga pelantun lagu Pencuri Hati ini kian bahagia dan lebih bermakna. Bukan saja kerjaya Ayda dan Nabil semakin melonjak.
Bahkan rezeki Ana Nayla juga melimpah ruah apabila mereka seisi keluarga menerima tawaran menjadi duta Chicco iaitu jenama barangan bayi dan kanak-kanak terkemuka Itali pada Mac lepas.
Alhamdulillah, rezeki anak!



Meniti usia setahun sembilan bulan, Ana seorang bayi yang sihat dan ceria. Sebelum ini pasangan romantis tersebut mendedahkan kepada umum maksud di sebalik pemilihan nama anak tersayang.
Difahamkan, Ana dipilih berdasarkan nama ibu Ayda dan Nabil. Manakala Nayla pula bermaksud ‘achiever and successful one.’




Ibu Ayda bernama Rohana sementara ibu Nabil pula ialah Diana. Kesimpulannya, mereka mengambil nama akhir kedua-dua ibu dan diberikan untuk nama cahaya mata sulung mereka.
Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021. Dia menginjak usia 31 tahun dan Nabil berumur 35 tahun.
Ana Nayla juga mempunyai akaun media sosial sendiri yang kini mempunyai lebih 100 ribu followers.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/besarnya-rumah-berkat-kerja-keras-bertahun-tahun-ayda-jebat-miliki-mahligai-idaman/
Usah Abai Penjagaan Diri Ketika Berpantang, RAHIM Boleh Membengkak & Bawa Kemudaratan!

Semasa dalam tempoh mengandung ramai wanita sibuk memikirkan proses berpantang yang bakal dilalui selepas melahirkan anak. Membaca semua pantang larang ketika berpantang dan mula mencari jamu atau tukang urut untuk membuang segala jenis angin selepas menjalani proses bersalin sama ada secara pembedahan mahupun normal. Tetapi, ramai wanita yang tidak endah tentang penjagaan selepas keguguran.
Mengikut perbidanan Melayu rawatan selepas bersalin lebih mudah berbanding rawatan selepas keguguran. Ini kerana ketika menjalani proses bersalin uri dan segala yang menjadi teman bayi turut keluar bersama-sama. Namun, keguguran adalah proses janin dikeluarkan secara semula jadi atau secara pembersihan. Jika tidak dirawat dengan betul wanita yang keguguran mudah diserang angin dalam badan.
Jika keguguran tidak dijaga dengan betul akan membawa masalah seperti angin meroyan yang berpunca daripada keracunan darah. Apabila rahim tidak dicuci dengan bersih toksik akan menyerap masuk ke seluruh sistem badan. Justeru ibu yang baru keguguran sering diserang demam panas atau sejuk dan kadang-kala diserang kancing gigi kerana mengambil makanan yang ditegah ketika dalam proses berpantang.
Jenis keguguran mengikut perbidanan Melayu
- Gugur Ugut
Keguguran jenis ini sering berlaku pada rahim yang lemah. Dinding rahim tidak mantap dan sering berlaku kerana suhu badan tidak sekata, muntah yang kronik atau ibu terjatuh. Keguguran terjadi apabila keluar tompokan darah tanpa rasa sakit.
- Gugur Bentan
Keguguran jenis ini digelar jika berlaku keguguran pada kehamilan tiga bulan ke atas. Ibu akan merasa seperti kontraksi atau senggugut yang serius. Kesakitan yang diikuti dengan tumpah darah menyebabkan ibu lemah atau boleh pengsan.
- Gugur Sangkut
Keguguran jenis ini berlaku apabila janin atau keguguran tidak berlaku sepenuhnya. Ibu masih mengalami tumpah darah tetapi ada lebihan tisu janin atau tisu uri yang tertinggal di dalam rahim. Biasanya rahim akan membengkak dan sakit apabila disentuh.
- Gugur Sawan atau Keracunan
Keguguran ini berlaku apabila ibu mengeluarkan darah berbau busuk dan mengandungi nanah. Ibu akan mengalami demam panas berserta rahim yang membengkak dan mengeras.
- Gugur akibat kecacatan
Apabila kandungan berhenti membesar dan janin tidak bernadi bermakna berlaku kecacatan janin. Janin yang telah berhenti membesar itu akan disaluti pendarahan dalam rahim dan membentuk seperti gumpalan darah. Gumpalan darah ini akan keluar diikuti dengan cebisan isi.
- Gugur Berulang
Wanita yang mengalami keguguran berulang mempunyai rahim yang lemah. Rahim tidak dapat memegang kehamilan yang kukuh. Apabila kerap berlaku keguguran ibu perlu mendapat rawatan yang secukupnya agar tubuh lebih bermaya.
Rawatan Selepas Keguguran
Rawatan selepas keguguran ini perlu dilakukan sama sahaja seperti rawatan selepas bersalin. Malah ibu yang baru menjalani proses keguguran perlu lebih berhati-hati dalam penjagaan makanan dan aktiviti seharian. Melihat diri seperti tidak sakit selalu menjadi tanggapan ibu yang baru keguguran.
Oleh itu, rawatan khas dengan adunan herba-herba yang terpilih untuk ibu yang baru keguguran. Ramuan yang istimewa ini diadun untuk membantu mereka membuang segala angin yang tertinggal dan membuang lebihan lendir dan segala yang tidak diperlukan di dalam rahim.
- Sauna
Langkah pertama yang disediakan adalah bersauna. Tujuan sauna ini adalah untuk melembutkan liang roma dan membuang segala sel kulit yang mati di kulit.
- Berurut
Campuran minyak dan herba yang terpilih pelanggan akan diurut untuk melancarkan peredaran darah. Urutan ini mampu menegangkan segala urat yang kendur dan menekan poin-poin yang tertentu di bahagian yang bermasalah.
- Bertungku
Kemudian pelanggan akan menjalani proses bertungku. Sebuah beg yang diisi dengan rempah ratus istimewa digunakan untuk membuang segala angin dalam badan, melegakan urat dan memberi kelegaan selepas diurut.
- Bertangas
Proses bertangas menggunakan bahan semula jadi yang terpilih dapat membantu memperbaiki dalaman rahim dan melancarkan peredaran darah dalam rahim dan membuang darah yang kotor.
- Lulur
Kulit kayu manis adalah ramuan istimewa dalam proses lulur. Kulit kayu manis berfungsi membuang angin dalam dan memberi aroma yang istimewa di tubuh.
- Mandi rempah
Jika bertangas membantu membaik-pulih dalaman, mandi rempah pula membantu memperbaiki tubuh dari luar. Rempah yang terpilih membantu membuang angin, toksik, legakan tubuh dan menaikkan aroma tubuh secara semula jadi.
- Berparam
Setelah tubuh dibersihkan pelanggan akan di param perut dengan ramuan rempah terpilih. Rempah ini berupaya membuang angin dalam badan yang tidak diperlukan.
- Bengkung
Bengkung diikat dari bawah payudara ke punggung dengan bengkung istimewa. Bengkung berupaya membuang angin dan mengembalikan bentuk badan yang lebih menawan. HAMIZATUL MAIZAN MOHAMED
‘Balas Hinaan Dengan Kebaikan..’ Miss Supranational Malaysia 2022 Melisha Lin Bangkit Bila Diri Dikritik Sertai Pageant

Tahniah NONA ucapkan kepada wakil Malaysia, Melisha Lin yang menyertai pertandingan ratu cantik Miss Supranational 2022, yang melabuhkan tirainya pada Jumaat lepas. Miss Supranational yang memasuki edisi ke 13 ini diadakan di Malopolska Poland. Walaupun tidak membawa pulang sebarang gelaran mahupun mahkota yang diidamkan, Melisha berjaya menjadi peserta pilihan TOP 24. Way to go Mel!!

Kali terakhir Malaysia menghantar wakil untuk menyertai pertandingan ini adalah pada tahun 2008, di mana negara ketika itu diwakili oleh gadis India, Sanjna Suri yang berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok 25 terbaik. Dan pada kali ini, Melisha dah membuktikan dirinya juga tidak kurang hebatnya!
Penulis NONA berkesempatan untuk menghubungi dan bertanyakan persiapan Melisha hanya beberapa jam sebelum pentas final, dan ternyata Mel sangat mudah didekati dan punya auranya yang tersendiri.
ANGGUN, JELITA & ‘INSPIRING’
Bagi yang masih belum mengenali dirinya, gadis jelita yang berumur 24 tahun dan graduan dari University of Greenwich dalam jurusan Pengurusan Seni dan Pemasaran ini memang tidak asing lagi dalam dunia ratu cantik.

Gadis berketinggian 177 cm dan lahir di Kuala Lumpur ini merupakan pengacara, model dan juga seorang pengurus pemasaran di syarikat Double Event Management & Consultancy di Cyberjaya.
Melisha juga merupakan TDEX speaker pada usia 22 tahun. Mel juga mempunyai yayasan kesihatan mentalnya yang tersendiri, diberi nama You Are Not Alone: Southeast Asia Mental Health Initiative.
Ditanya kenapa menyertai pertandingan ratu cantik ini, jelas Mel pada penulis, “Saya tertarik dengan gelaran Supranational itu sendiri, yang membawa maksud ‘Kuasa Untuk Mempengaruhi’. Sepanjang hidup saya, saya sentiasa mahu menjadi seorang model peranan yang positif dan memberikan inspirasi kepada orang lain”.
Sempat juga penulis bertanya tentang apa yang ingin Mel ubah dalam dunia ratu cantik yang sering kali dipandang enteng dan lesu berbanding pertandingan mahupun kejohanan lain, ini pendapat Mel.
“Bagi Mel, setiap peserta yang mewakili dan membawa nama Malaysia perlu diberikan perhatian dan lebih sokongan, terutama sekali dari kerajaan, organisasi-organisasi besar seperti Kementerian Pelancongan & Kebudayaan dan juga media itu sendiri, apatah lagi kami juga bertanding di peringkat antarabangsa dan membawa nama Malaysia di peta dunia. Jadi kenapa ia tidak penting dan adakah pageant tidak memberikan impak sama seperti pertandingan lain? I totally disagree!”

Dan sepanjang tempoh beberapa minggu saya di sana, saya dipanggil dengan gelaran “Malaysia” instead of Mel or Melisha. Saya amat tersentuh dan terharu sekali, menjadi simbol kebanggaan perpaduan rakyat Malaysia!”.
Mel juga berpendapat konsep dan definsi perkataan ‘beauty’ atau kecantikan itu sendiri perlu diubah sepenuhnya. “Ada beranggapan kecantikan merujuk kepada luaran dan dalaman, tetapi bagi Mel ianya lebih dari itu. Beauty is not about how you look. Kecantikan seseorang adalah apabila dapat mempengaruhi dan membuatkan seseorang berasa senang dan selesa dengan anda. That’s the real beauty”.
RATU CANTIK JUGA TIDAK LARI DARI KECAMAN
Namun di kala kejayaannya membawa nama negara serta pelbagai usaha yang dilakukan bagi meningkat mutu kehidupan diri dan orang sekeliling, Melisha tidak terkecuali menjadi sasaran subjek hinaan dan rasa tidak puas warga netizen yang merasakan dirinya tidak layak menyertai pertandingan ratu cantik.
“Not preety enough, tak layak masuk pageant dan macam-macam lagi antara hate comments yang dilemparkan pada Mel.

Jelas Mel secara eksklusif kepada penulis, “Perkara sebegitu memang tidak dapat dielakkan. Kami juga manusia biasa dan tiada siapa yang sempurna. Setiap kali saya mendapat komen-komen jelik dari netizen, saya akan balasnya dengan kebaikan.
Saya akan respon dengan nada yang tenang dan mengucapkan terima kasih atas komen yang diberikan. Sentiasa berfikiran positif, dan anggap semuanya satu motivasi untuk teruskan. Apabila anda dikelilingi tenaga yang baik, semua akan okay!”
Ditanya siapakah inspirasi Mel dalam kehidupan, ini respon Mel. “Sejujurnya, tiada sesiapa yang spesifik. Sesiapa saja yang muncul dalam hidup Mel, mereka semua adalah inspirasi Mel, walaupun mereka hanya berkata sesuatu yang ringkas seperti…jangan biarkan sesiapa mendefinisikan kamu..ia sudah cukup memberikan inspirasi kepada Mel”.
Bahana Penyakit Kardiovaskular. Bagaikan Nyawa Di Hujung Tanduk!

Pernahkah anda terbayang saat anda meluangkan masa bersama keluarga tersayang,tiba-tiba sahaja jantung bagai disentap dan dipaksa-paksa berhenti dari terus berdegup. Nazaknya menghela nafas seperit direntap seluruh urat. Sesaat lagi, wajah-wajah yang disayangi mula mengerumuni. Tanpa sempat mengucupi selamat tinggal, mata ini semakin kabur dan silau, sebelum ia gelap-gelita buat selamanya…
Pada kebiasaannya, penyakit kardiovaskular berlaku akibat kerosakan sistem pembuluh darah, jantung atau kedua-duanya sekali. Ia merupakan sebuah penyakit berbilang faktor, lazimnya berpunca daripada tekanan darah tinggi, diabetes yang tidak terkawal, merokok dan tahap kolestrol yang tinggi. Kerosakan yang dimaksudkan akan menjadi lebih parah apabila berlaku penyempitan pada pembuluh darah nadi seterusnya menyukarkan laluan darah untuk mengangkut oksigen.
Di alangan pelbagai faktor risiko ini, umumnya rakyat Malaysia terdedah kepada hipertensi atau tekanan darah tinggi. Menurut maklumat yang diperolehi melalui kempen Are You At Risk? di ibu negara, sekurang-kurangnya 42% dewasa Malaysia berusia lebih 30 tahun menghidapi hipertensi.
Angka tersebut semakin membimbangkan kerana daripada 4.8 juta rakyat Malaysia yang menghidap penyakit ini, hanya 8% daripada mereka dapat mengawal tekanan darah mereka supaya berada dalam julat yang boleh diterima.Berdasarkan bukti yang menunjukkan bahawa penyakit kardiovaskular mampu dikawal, kempen sebegini cukup penting untuk menyuntik pengetahuan kepada pesakit dan golongan berisiko agar menguruskan penyakit dengan sewajarnya.
Pembunuh Dalam Sunyi
Tanpa kesedaran awal, pesakit yang menghidap penyakit kardiovaskular dalam diam berdepan risiko serangan jantung, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan strok. Terdapat tiga jenis penyakit kardiovasular iaitu
- Penyakit jantung koroner
Penyakit pembuluh darah berkaitan dengan pembekalan darah ke jantung hingga mengakibatkan serangan jantung, sakit dada dan degupan jantung yang tidak stabil.
- Penyakit serebrovaskular
Penyakit pembuluh darah berkaitan dengan pembekalan darah ke otak hingga mengakibatkan strok dan kerosakan sementara pada penglihatan, kemampuan untuk bercakap, rasa atau gerakan.
- Penyakit vaskular perifer
Penyakit pembuluh darah berkaitan dengan pembekalan darah ke tangan dan kaki hingga mengakibatkan rasa sakit yang sementara seperti kekejangan otot.
Gejala Penyakit
Perlu diingatkan bahawa penghidap penyakit kardiovaskular ini tidak akan mengalami simptom-simptom awal yang kecil kecuali serangan jantung atau strok. Namun begitu tanda-tanda awal seperti sakit dada, tangan, bahu kiri, siku, rahang atau punggung memberi amaran awal kepada kita untuk mengambil langkah berjaga dalam hal kesihatan jantung.
Punca-punca penyakit:
- Merokok
- Tekanan darah tinggi
- Tabiat pemakanan yang tidak sihat
- Berat badan yang berlebihan
- Kurang bersenam
Punca-punca lain seperti faktor umur, keturunan dan jantina dikategorikan sebagai di luar kawalan kita yang turut menyumbang kepada penyakit kardiovaskular.
Amalan Pencegahan
- Berhenti merokok
Nikotin, karbon monoksida (CO) dan bahan-bahan lain yang terkandung dalam rokok berpotensi menimbulkan kerosakan dinding pada pembuluh darah. Hal ini akan memudahkan kolesterol untuk melekat pada dinding pembuluh darah yang mengalami kerosakan tersebut sehinga membentuk plak. Risiko terkena serangan jantung akan meningkat 50% jika menghisap 4 batang setiap hari.
- Bersenam dengan betul
Jantung akan berdenyut lebih cepat untuk meningkatkan jumlah darah yang mengandungi oksigen ke seluruh tubuh ketika menjalani aktiviti fizikal sehingga meningkatkan kadar HDL/kolesterol baik dan menurunkan LDL/kolesterol jahat.
- Diet yang seimbang
Menghadkan pengambilan daging dan ikan sebanyak 150 gram sehari. Tingkatkan juga pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti, sayuran dan buah-buahan.
- Hindari stres yang berlebihan
Stres menyebabkan peningkatan kadar hormon epinefrin yang mengakibatkan tekanan darah dan denyutan jantung meningkat sehingga mengakibatkan kerosakan dinding pembuluh darah.ROSMAHIDAYUABUSAMAH