Perkahwinan adalah sebuah ikatan yang unik apabila berlakunya pertemuan dua budaya di antara pasangan suami dan isteri. Che Puan Sarimah seorang wanita pan-asian gembira dan teruja mempelajari adat dan budaya belah suaminya, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, seorang kerabat diraja dari Negeri Sembilan.
“Jika ditanya perasaan saya sewaktu melangsungkan adat Jejak Tanah untuk YM Tunku Sofia Najihah Binti Tunku Nadzimuddin memang gembira dan teruja. Saya sendiri tak pernah menyaksikan majlis sebegini melainkan majlis cukur jambul yang biasa diadakan. Saya gembira meneruskan tradisi keluarga suami kerana beliau sendiri pernah melalui majlis Jejak Tanah seperti ini 48 tahun yang lalu,” tutur Che Puan Sarimah memulakan bicara.
Menurut Che Puan Sarimah, majlis Jejak Tanah yang telah berlangsung itu sebenarnya pernah tertangguh. “Majlis untuk Tunku Sofia ini sepatutnya berlangsung pada bulan Mac tetapi tertangguh akibat penularan pandemik COVID-19 dan kerajaan kita telah mengisytiharkan PKP.
Waktu itu segala persiapan sudah tersedia termasuk pakaian kami satu keluarga,” ujar Che Puan Sarimah yang memilih warna off-yellow cream bagi mengikut tema puterinya yang perlu memakai warna kuning diraja untuk majlis tersebut.
Walaupun tertangguh tetapi perasaan gembira tidak dapat disembunyikan oleh Che Puan Sarimah ketika bercerita tentang majlis buat puteri sulungnya itu. “Majlis ini telah dilangsungkan di Istana Nurul Jannah, Bukit Tunku iaitu kediaman YMM Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin yang merupakan moyang kepada Tunku Sofia.
Majlis ini berlangsung hanya untuk keluarga dan rakan terdekat sahaja dan paling penting mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan seperti memeriksa suhu badan.
Saya juga bersyukur apabila Tunku Sofia tidak meragam sepanjang majlis tersebut berlangsung. Sejak mula majlis sehingga ke akhirnya, Tunku Sofia ceria dan tersenyum saja. Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar. Ibu saya turut teruja untuk menghadiri majlis ini kerana tidak pernah menyaksikan majlis sebegini sepanjang hidupnya,” jelas Che Puan Sarimah mengakhiri perbualan kami.