“Dalam Rumah Pun Bawa Beg Tangan” Tan Sri Rafidah Aziz

“Kalau boleh, bilik saya mahu macam bilik pengantin selama-lamanya. Itu saya punya aspirasi dan insyaAllah saya buat. Saya dan arwah suami telah kahwin selama 48 tahun dan kami memang pastikan bilik begitu keadaannya.

Malam perkahwinan kita tengok hiasan bilik cantik, kalau boleh selama-lamanya nak macam ni. Kita juga yang tidur atas tu, supaya hari-hari kita rasa seronok nak tidur.

Saya tengok bilik arwah mak saya, dulu-dulu punya cara dengan hiasan lace dan crochet sentiasa kemas. Kami adik-beradik tak berani nak duduk-duduk atas tilam mak, jangan buat pasal!” jelas Tan Sri Rafidah sambil menunjukkan gambar kamar beradunya dengan pilihan rona merah bersama sulaman tekad keemasan. Sangat kemas dan elegan.

Yang penting, bilik Tan Sri orang lain tidak boleh masuk. “Selama hidup tidak ada orang luar boleh masuk bilik saya, pembantu rumah pun tidak pernah. Saya sendiri mengemas bilik, susun baju, beg tangan dan cuci bilik air. Anak-anak pun hanya masuk untuk teman saya tidur sahaja. Masuk lepak atau santai di dalam bilik bukan budaya yang diamalkan.”

Penampilan Tan Sri sentiasa bergaya dan nampak elegan. Warna biasanya senada dan lengkap dengan aksesori. “Saya memang hari-hari pakai begini, lengkap penampilan sedondon dengan aksesori. Kadang-kadang ada kawan tanya, you kat rumah pun pakai macam ni juga, macam nak pi jalan! Jawab saya, ‘Ya.. apa salahnya!’

Barang yang nak dipakai itu adalah saya, nak tidur ke, pergi dapur atau ke bilik air adalah saya. Yang pakai itu saya, Rafidah Aziz. Bukan saya pakai hanya di luar untuk tunjuk pada orang. Cuma di rumah saya tidaklah memakai baju kurung, saya pakai seluar dan kasual yang penting sedondon.

Memang dari kecik saya begini, sentiasa kemas dan bersiap di rumah,“ jelas Tan Sri Rafidah yang turut bawa handbag dalam rumah supaya senang handphone disimpan dan senang di bawa ke sana, ke sini.

Turut menegaskan, “Kat rumah pakai baju ‘kelawar’, bila nak keluar berjalan baru berhias glamor nak tunjuk pada siapa. Orang lelaki pun sama, duduk kat rumah selekeh tetapi bila keluar bergaya sampai tak kenal. Yang melihat isteri kat rumah, tak mahu sedapkan mata isteri ke?

Dulu suami saya, tolonglah duduk di rumah jangan nak pakai kain pelekat dan singlet nampak bulu ketiak! Lama-kelamaan suami sendiri akan berasa selesa, pakai pakaian yang kemas dan selesa.”

Pandangan bila ramai yang jadikan Tan Sri sebagai inspirasi dan idola, “Saya selalu kata, jangan idolakan orang. Kita tengok diri sendiri dulu, kadang-kadang kita lebih baik daripada orang yang kita idola tu. Cuma mungkin kita tidak sedar kebolehan kita,” akhirinya.

IKLAN
Share