Dari 10 Ekor Kini 100, FIFI Bangga Digelar USAHAWAN TERNAK & Cipta Legasi Ternakan

Apabila kebanyakan gadis muda menceburkan diri dalam keusahawanan kosmetik namun berbeza pula dengan gadis kelahiran Pahang ini. Tidak kisah berpanas dan berhujan demi membina kerjaya dalam bidang penternakan benar-benar menyuntik inspirasi. Nur Fatiha Fifi Sanif atau lebih mesra disapa Fifi tidak menoleh ke belakang lagi dan mahu mencipta nama dalam bidang yang dicintainya ini.

Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif
Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif

Demi membina kerjaya dalam bidang penternakan, usai pengajian di sekolah Fifi telah menyambung pelajaran di Institut Veterinar Malaysia, Kluang, Johor. Ketika ditanya kenapa memilih bidang ini, jawabnya lembut, “Saya menceburi bidang ini kerana tidak ramai wanita memilih bidang penternakan kerana bidang ini ramai dimonopoli oleh kaum lelaki.

PENCINTA HAIWAN
Namun begitu atas dasar minat dalam bidang penternakan membuatkan saya nekad memilih bidang ini. Saya juga seorang pencinta haiwan, jadi tak ada masalah untuk meneruskan kerjaya dalam bidang penternakan ini,” ujar Fifi yang mengusahakan perniagaan penternakan milik keluarganya.

Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif
Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif
Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif

Seronok berbual dengan gadis yang bersemangat waja dan pantang menyerah kalah. Walaupun pernah dihina kerana memilih kerjaya ini namun dia tetap bersemangat membina legasi penternakan lembu ini. “Memang benar, saya pernah dihina dan bermacam-macam rintangan yang dihadapi. Namun, saya abaikan sahaja dengan kata cacian tersebut dan tutup sahaja telinga.

Saya tidak kisah apa orang kata sebaliknya dengan hinaan tersebut buat saya makin bersemangat dan kuat untuk meneruskan bidang ini sebagai kerjaya kerana saya yakin boleh pergi jauh dalam bidang ini. Dulu masa mula-mula kami pelihara hanya dengan 10 ekor lembu dan kini sudah membiak lebih 100 ekor lembu,” ucap gadis yang berusia 20 tahun ini.

Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif
Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif

GADIS LEMBU
Digelar ‘Gadis Lembu’ apa perasaan Fifi dilabel dengan nama ini? “Sejujurnya saya rasa terharu dengan gelaran “Gadis Lembu” dan langsung tak ada perasaan malu dilabel sebegitu. Pada awalnya saya tak sangka dapat nama gelaran tersebut sehingga posting bersama lembu tersayang menjadi tular.

Aktiviti harian saya, bermula seawal jam 8.00 pagi apabila melepaskan lembu-lembu ternakan untuk meragut rumput. Saya akan memantau setiap pergerakkan lembu agar berada dalam keadaan baik. Seterusnya saya akan memberi makan serta membersihkan kandang kepada haiwan ternakan yang di dalam kandang. Pada sebelah petang pula saya bersama ibu akan menghalau lembu masuk ke dalam kandang untuk dikurung semula,” jelas Fifi tentang aktiviti hariannya.

Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif

HARAPAN
Kagum dengan gadis muda sepertinya yang sanggup bekerja di bawah terik mentari dan bakal merencana empayar perniagaan ternakan yang mampu membawa pulangan yang lumayan. “Impian saya ingin menjadi penternak berjaya untuk meneruskan legasi penternakan keluarga Sanif. Saya berharap akan lebih ramai kaum wanita yang akan menceburi bidang penternakan ini.

Pesanan saya kepada wanita lain tidak perlu berasa malu atau takut untuk menceburi bidang penternakan ini. Sebab ramai yang beranggapan bidang ni ‘kotor’. Saya juga menyimpan cita-cita untuk menjadi salah seorang anggota Jabatan Veterinar yang berjaya pada masa yang akan datang,” bicara Fifi yang mempunyai lembu kesayangan bernama Cinta.

Fifi bersama lembu istimewanya, Cinta. Foto: Koleksi Peribadi Nur Fatiha Fifi Sanif
IKLAN
Share