Dari Bisnes Tudung Ke Kedai EMAS, Pemilik Fareha By Cik Fa Optimis Kembang Perniagaan

Kagum melihat wanita yang baharu sahaja menginjak usia 32 tahun ini. Memulakan perniagaan tudung hanya dengan modal RM500 kini pemilik nama sebenar Nurul Fareha Anuar ini mampu tersenyum bangga apabila telah melahirkan sebuah lagi perniagaan iaitu emas.

Foto: Instagram @cikfa.fareha

Pemilik jenama tudung Fareha by Cik Fa ini telah mengorak langkah menceburi bisnes emas dan melaburkan RM10 juta bagi membuka rangkaian kedai emas pertamanya, Emas Fareha. “Wanita sudah semestinya menjadi fokus utama saya dalam perniagaan. Seperti wanita lain saya juga menyukai emas sebab itu tagline

kami, Emas adalah Cinta Hati Wanita,” tutur wanita yang mesra disapa Cik Fa ini.
Foto: Koleksi Majalah Nona

Sudah pasti Emas Fareha ini mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga ramai peminat emas beratur panjang seawal lagi di hari pembukaan kedai emas ini. “Di Emas Fareha, kami begitu menitik-beratkan soal kualiti dan layanan yang terbaik.

Rekaan emas di sini juga memenuhi cita rasa pelanggan serta harga ditawarkan kepada pelanggan juga lebih rendah,” tutur isteri kepada Mohd Yusri Mohd Yusoff ini saat ditemui di kedai emas pertamanya di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor.

Foto: Instagram @cikfa.fareha

Menurut Cik Fa, sewaktu memulakan perniagaan dia langsung tidak mempunyai ilmu berniaga. Mujur suaminya ada di sisi untuk membantu dalam pengurusan kewangan dan perniagaan.

Foto: Koleksi Majalah Nona

Wanita kelahiran negeri Kelantan ini mengembangkan perniagaan tudungnya bersama ejen dan dropship. “Di Fareha, kami juga mempunyai sistem stokis, ejen dan dropship. Setiap dropship misalnya akan mendapat keuntungan sebanyak RM5 melalui setiap helaian yang dijual. Mereka juga diberikan bahan pemasaran untuk disebarkan di media sosial dan tidak perlu menyimpan stok,” ujarnya yang bakal membuka peluang kepada 250 orang ejen untuk Emas Fareha.

Foto: Instagram @cikfa.fareha

Apabila ditanya tentang rancangan masa depan, “Untk perancangan masa depan, saya berhasrat membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara selain mengekuarkan rekaan emas sendiri yang eksklusif dalam tempoh lima tahun ini. Saya juga berharap Emas Fareha akan maju seperti perniagaan tudung bahkan memberi keuntungan yang bergandaagar boleh diwarisi kepada anak-anak kelak,” ujar ibu kepada seorang anak ini.

Foto: Instagram @cikfa.fareha

Sempat meninggalkan pesan buat para wanita, Cik Fa menegaskan wanita perlu berdikari. “Sebagai wanita, kita jangan terlalu bergantung pada suami. Mulakan perniagaan dengan modal yang ada dalam tangan. Kalau sikit, sikitlah. Usaha adalah kunci untuk dapat ekstra. Andai kita naik terlalu mudah, maka kita juga akan jatuh dengan mudah. Potensi untuk jatuh sangat tinggi.” katanya penuh semangat.

IKLAN
Share