Dari Sangat Pemalu, Tak Yakin Diri Cik B Sekarang Banyak Berubah & Dah Pandai Bersolek Tau!

Berkesempatan menemu bual sendiri anak gadis kepada Jutawan Kosmetik terkenal, Dato’ Seri Vida meninggalkan memori indah buat penulis. Gadis yang baru berusia 15 tahun ini nampak lebih matang daripada usia sebenar dan begitu berani menjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya.

Rasa kagum menyelinap dalam diri kerana gadis yang lebih mesra disapa Cik B ini sudah jauh berubah. Memiliki gelaran CEO Termuda, Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin sudah keluar dari kepompong ‘gadis pemalu’ dan lebih yakin dengan dirinya sendiri.

Jangan tak tahu, Cik B juga sudah pandai bergaya dan pandai bersolek. Bila ditanya adakah dia bersolek sebab dipaksa oleh ibunya, jawab Cik B, “Tak, ia datang daripada saya sendiri.

Dulu saya tak suka mekap sebab lepas mekap kulit muka saya berubah. Mungkin sebab saya pakai foundation mama. Lepas mekap tona muka saya berubah jadi kelabu. Saya baru tahu rupanya ada mekap yang sesuai dengan warna kulit saya. Itu pun mama yang tolong cari warna yang sesuai dengan kulit saya. Item solek pertama yang saya beli ialah foundation atau bedak asas,” kata Cik B jujur.

Bercerita pula tentang dunia perniagaan yang diceburinya, baik Cik B mahupun Dato’ Seri Vida langsung tak terkesan dengan kata-kata orang, menggunakan anak-anak untuk mencari nafkah walaupun masih bersekolah.

“Saya tak pernah rasa mama mempergunakan saya. Mama tak gunakan saya sebab mama tu dah lebih daripada saya. Apa yang saya lakukan sekarang adalah dengan kerelaan saya sendiri,” tutur Cik B sambil tersenyum memandang Dato’ Seri Vida.

Bercerita tentang Dato’ Seri Vida, jelas terpancar kasih sayang sebagai seorang anak yang mahu melindunginya ibunya. “Mama memang seorang wanita yang kuat kerja. Mama selalu balik rumah pukul 2.00 pagi atau 3.00 pagi dan kemudian esoknya kena keluar balik. Begitulah selalunya.

Mama terpaksa ulang-alik ke Kuala Lumpur lagi. Mama memang letih, tak cukup tidur, tak cukup rehat dan makan pun selalu lewat tak teratur. Bila melihat mama sedang tidur saya berazam nak balas jasa mama. Insyaallah saya yang akan sambung empayar mama nanti,” ujar anak muda ini penuh wawasan.

Menurut Cik B yang sepatutnya menduduki peperiksaan PT3 tahun ini namun terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19 ini, ibunya sering berkongsi kisah lalunya yang susah. “Kekuatan mama adalah inspirasi saya.

Kalau saya buat salah mama selalu kata, masa mama kecil dulu kan, mama kutip getah sebelum nak pergi sekolah. Sekarang ni Cik B dah boleh hidup senang. Itu yang mama selalu cakap dan nasihat kepada kami adik beradik,” ungkap Cik B.

Siapakah Cik B lima tahun akan datang? “Saya akan menjadi seorang business woman yang berjaya. Saya boleh jadi lebih hebat daripada mama. Apa yang saya belajar sekarang kalau nak jual barang kena banyak sabar. Kita jual kena ikut kehendak atau permintaan orang bukan untuk syok sendiri,” kata Cik B penuh semangat.

Dato’ Seri Vida mencelah, “Tahun 2020 ni saya nak menyaksikan kejayaan anak-anak pula. Saya akan sokong apa sahaja idea Cik B dalam perniagaan dan saya akan cuba bantu sebaik mungkin agar anak-anak terus cemerlang dan seterusnya mewarisi perniagaan saya kelak,” kata Dato’ Seri Vida sambil tersenyum.

IKLAN
Share