Bisnes

Dari Pengasas Kosmetik Ke Bisnes Restoran, Datin Isma Rohaiza Cekal Bina Empayar Kantan

Berbekalkan aura tenang namun penuh karisma, Datin Isma Rohaiza bukan sekadar figura media sosial yang lincah di dapur, tetapi seorang wanita yang memahami makna sebenar membina empayar. Dari pengasas kosmetik ke bisnes restoran, beliau kini cekal bina empayar baharu, Kantan.

Di mata hampir setengah juta pengikut setia Instagram @masakwithpassion, Datin Isma Rohaiza dikenali sebagai wanita yang memasak dengan jiwa. Masakan Pantai Timur yang dikongsikannya bukan sekadar hidangan, tetapi naratif tentang asal-usul, memori dan tradisi keluarga.

Hari ini, pengaruh itu diterjemahkan ke dunia nyata menerusi Restoran Kantan, jenama kulinari yang semakin kukuh mencipta tempatnya dalam landskap gaya hidup urban.

Instagram @datinismatia
Instagram @datinismatia
Instagram @datinismatia

Namun dunia makanan bukanlah gelanggang pertama Datin Isma Rohaiza. Jauh sebelum nama Kantan dikenali, beliau telah lebih dua dekad membina legasi dalam industri kecantikan sebagai pengasas jenama kosmetik popular, Tia Amelia. Pengalaman panjang ini mengajarnya bahawa kejayaan tidak pernah datang daripada populariti semata-mata.

Disiplin, kesabaran dan kejujuran menjaga kualiti menjadi teras utama dalam setiap keputusan perniagaan yang dibuat. Prinsip yang sama kemudiannya dibawa masuk ke dalam dunia kulinari, tanpa kompromi terhadap rasa dan keaslian.

Niat Bersara

Menariknya, langkah Datin Isma Rohaiza ke dunia restoran bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal. Wanita asal Kelantan yang kini dalam lingkungan usia 50-an ini sebenarnya menyimpan hasrat untuk memperlahankan rentak hidup, bersara daripada dunia bisnes dan menikmati masa bersama keluarga serta perjalanan yang tertangguh.

Beliau mengakui tidak pernah terfikir untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan walaupun berpengalaman luas dalam dunia keusahawanan. Namun, pujukan anak-anaknya, Nik Amelia dan Nik Edrus, mengubah segalanya. Bagi mereka, bakat, kredibiliti serta pengaruh yang dimiliki ibu mereka terlalu berharga untuk dibiarkan begitu sahaja.

Dengan sokongan anak-anak yang memiliki latar pendidikan perniagaan, Datin Isma Rohaiza akhirnya bersetuju membuka Kantan dengan satu syarat utama, segala urusan pengurusan diserahkan sepenuhnya kepada anak-anak, manakala peranan beliau tertumpu kepada penyediaan resipi, sukatan dan rasa.

Instagram @datinismatia
Instagram @datinismatia
Instagram @datinismatia

Selepas dua tahun membina jenama Kantan di Plaza Damas, Sri Hartamas, beliau melangkah lebih yakin dengan pembukaan cawangan kedua di Kota Damansara. Sambutan hangat pelanggan menjadi bukti bahawa masakan tradisi, apabila dijaga kualitinya, mampu berdiri megah walaupun di kawasan berprofil tinggi.

Masakan Pantai Timur

Restoran Kantan dikenali dengan sajian signature Pantai Timur seperti laksam Kelantan, nasi kerabu dan nasi dagang yang dihasilkan berasaskan resipi asli keluarga. Manisan lompat tikam pula menjadi tarikan istimewa, mengingatkan pelanggan kepada rasa air tangan orang lama di kampung yang semakin sukar ditemui di kota besar.

Instagram @datinismatia
Instagram @datinismatia
Instagram @datinismatia

Walaupun kedua-dua cawangan Kantan terletak di kawasan dengan taraf hidup tinggi, prinsip nilai untuk wang tetap menjadi pegangan. Bagi Datin Isma Rohaiza, makanan yang baik harus jujur pada rasa, tidak berkira bahan dan mengenyangkan. Kualiti sentiasa menjadi asas utama perniagaan.

Kini, Kantan dilihat sebagai legasi keluarga. Bersama suami, beliau memilih untuk berperanan sebagai penasihat, memberi ruang sepenuhnya kepada anak-anak mengemudi jenama ini. Impian beliau jelas—melihat Kantan berkembang di setiap negeri dan suatu hari nanti dikenali di peringkat antarabangsa sebagai simbol masakan tradisi Malaysia yang berkualiti.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/ibu-anak-3-mahir-baking-isteri-iskandar-ismail-sukses-jadi-pengurus-acara-di-singapura/

Share
Published by
Norzalina