Demi Negara, Ratu Cantik England 2019 Ini Sanggup Tanggalkan Mahkota & Sarung Baju PPE!

Ratu Cantik Miss England 2019 telah mengambil keputusan meninggalkan kerja amal yang dilaksanakan sekarang untuk kembali ke United Kingdom bagi meneruskan kerjayanya sebagai seorang doktor dalam usaha memantu pandemik COVID-19.

“Saya rasa bersalah memegang gelaran Ratu Cantik England ketika dunia berperang melawan virus termasuk rakan-rakan saya,” jelas Dr. Bhasha Mukherjee yang  mengambil cuti dari kerjayanya sebagai doktor junior bagi memberi fokus untuk bertanding dalam pertandingan Miss World pada Disember 2019.

Mukherjee, 24 tahun mewakili England telah dijemput menjadi duta untuk beberapa badan amal. Beliau merancang untuk memberi tumpuan kepada kerja kemanusiaan sehingga Ogos tahun ini.

“Saya dijemput ke Afrika, Turki, India, Pakistan dan beberapa negara Asia lain untuk menjadi duta kepada kerja-kerja kebajikan,” katanya kepada CNN.

Dalam serangan COVID-19 yang semakin teruk di United Kingdom, Mukherjee mendapat mesej daripada bekas rakan sekerja di hospital lamanya, Hospital Pilgrim di Boston, memberitahu betapa sukarnya keadaan mereka sekarang. Lantas, Mukherjee menghubungi pasukan pengurusan hospital untuk memberitahu mereka bahawa dia mahu kembali bekerja.

Beliau memberitahu CNN bahawa beliau merasa bersalah memakai mahkota Miss England, walaupun untuk kerja-kerja kemanusiaan, sementara orang di seluruh dunia mati akibat coronavirus.

“Apabila anda melakukan semua kerja kemanusiaan ini di luar negara, anda masih dianggap sebagai seorang ratu cantik yang memakai mahkota dan sentiasa bersiap untuk kelihatan cantik. Tetapi buat masa sekarang saya mahu pulang ke rumah dan terus bekerja.

Saya merasakan ini adalah masa terbaik untuk saya kembali dan menjadi sebahagian daripada rakan-rakan doktor lain dalam usaha membantu mereka dan rakyat England. Saya tahu, saya dapat membantu. Inilah masa yang tepat bagi saya untuk menjadi Miss England dan membantu England pada masa yang diperlukan,” katanya.

Mukherjee telah kuarantin diri selama satu hingga dua minggu, sebelum dia boleh kembali bekerja sebagai doktor di Hospital Pilgrim. Sehingga hari ini, United Kingdom telah mencatatkan lebih daripada 51,608 kes jangkitan dan hampir 5,373 kematian akibat COVID-19.

Sumber: CNN & Astro Awani

 

 

 

IKLAN
Share