“Di balik senyumannya, ada doa yang tak pernah putus,” ucapan Fazura sempena birthday mama ke-65 undang sebak!
Di belakang kesedihan seorang anak perempuan yang melalui fasa perceraian, pastinya ada seorang ibu yang setia menemani dan menggenggam erat tangan puterinya.
Memahami jalur hidup dan takdir jodoh yang tidak berpanjangan, sifat keibuan Fadhillah Nasir yang juga merupakan seorang ibu tunggal mengalir ke jiwa satu-satunya anak perempuan, Nur Fazura.
Sempena hari ulang tahun kelahiran ke-65 ibu tersayang, usahawan dan selebriti popular ini tidak lupa untuk menitipkan doa dan ucapan istimewa kepada insan hebat tersebut di media sosial.
Meskipun Fazura dikenali antara selebriti yang kurang gemar berkongsi kisah peribadi kepada umum namun sebagai public figure, ucapan yang dititip menjelang hari istimewa ibunya pada 11 Julai 2025 meraih perhatian.
Ads
“Hari paling istimewa dalam setahun ini milik seorang wanita yang paling agung dalam hidupku. Ratu hatiku yang mengajar aku makna empati, kemurahan hati dan kasih sayang yang tak pernah bertepi.
Sembilan bulan yang lalu, hidupku diuji dengan fasa paling mencabar. Tapi mama… dia berdiri teguh, tanpa ragu. Memikul segalanya dalam diam. Menjadi benteng saat aku hampir runtuh. Wajahnya tenang, walau aku tahu hatinya luka.
Dalam kelembutanmu, tersimpan kekuatan luar biasa. Mama, kaulah yang menanam dalam diriku kekuatan untuk terus melangkah, keanggunan dalam setiap bicara, dan kejujuran dalam setiap niat. Nilai yang kini kuharap dapat aku wariskan buat Fatima.
Ads
Bukan pangkat, bukan nama. Tapi kasih sayang mama yang menjadikan dunia ini tempat yang lebih indah. Di balik senyumannya, ada doa yang tak pernah putus. Dialah wira sebenar dalam hidupku dan Fatima.
Di hari lahirmu ini, aku mohon pada Tuhan Yang Maha Kuasa… agar diberi mama kesihatan yang berpanjangan, perlindungan dari segala musibah, rezeki yang melimpah, dan hidup yang sentiasa diberkati dunia akhirat.
Kata-kata tak cukup menampung cinta ini. I love you beyond words, my mama. Selamat hari lahir, dari anak yang paling bersyukur punya dirimu.”
Daripada gambar yang dikongsikan jelas terserlah sisi anggun dan penyayang ibu Fazura yang juga ratu hati kepada empat orang anak.
Penampilan ibu jelita ini juga disenangi kerana gayanya yang bersederhana. Pun begitu, tetap kelihatan anggun dan elegan walau sudah melewati usia 60-an.
Tujuh tahun membina empayar perniagaan kosmetik kini Afzalizah Nizam Azizan mampu tersenyum bangga apabila impian untuk bantu keluarga dan menjadi wanita berjaya dimakbulkan Allah. Meskipun memiliki segala kesenangan hari ini namun kejayaan itu tidak datang dalam tempoh yang singkat tanpa usaha gigih.
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, Afzalizah atau mesra disapa Liza tanpa berselindung mengakui dia dahulu seorang suri rumah yang tiada pendapatan tapi nasib hidupnya berubah sejak mengasaskan Cubre Mi.
Bermodalkan RM10,000 hasil wang pencen arwah bapa sebagai pesara polis yang dipinjam daripada ibu tersayang menjadi titik permulaan empayar kosmetik Cubre Mi.
Menyedari nilai wang berkenaan cukup bermakna bagi ibunya yang hilang tempat bergantung, anak sulung daripada empat beradik ini nekad mengemudi perniagaan dengan sepenuh hati.
“Sebelum mengusahakan Cubre Mi saya tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Tapi demi mahu membantu suami dan jana duit sendiri, saya berusaha mempelajari cara pengurusan perniagaan dan kewangan.”
Tambahnya lagi, “Untuk Cubre Mi dikenali dalam industri, saya boleh katakan ia tak terlalu cepat dan juga tak terlalu lambat. Namun dalam masa setahun kami berjaya raih pulangan tujuh angka.”
Berkat kerja keras dan doa dari ibu tersayang, Afzalizah dikurniakan rezeki melimpah ruah dan ‘memanjakan’ ratu hatinya itu dengan bermacam-macam pemberian. Misalnya sempena ulang tahun kelahiran ke-57 ibu kesayangan yang lalu, Afzalizah menghadiahkan sejumlah wang.
“Dulu aku selalu berangan nak bagi ibu macam-macam. Nak beri ibu rasa itu dan ini. Sampai satu tahap Allah bagi aku rasa sampai aku dah tak tahu nak bagi ibu apa birthday tahun ini.
Satu saya yakin dan pegang dari dulu, takkan berkurang harta dan rezeki bilamana bahagiakan keramat hidup.
And satu aku sangat berterima kasih dalam hidup, punya suami yang tak pernah berkira dengan siapa dan berapa aku nak beri.
Tak terbalas dengan wang ringgit mahupun harta setiap titik peluh yang ibu berikan. Tak terbalas segala kebaikan yang ibu sajikan. Tak terbalas kasih sayang yang ibu curahkan.”
Afzalizah merupakan isteri kepada Rahman Anong ni dikurniakan tiga orang cahaya mata. Moga kejayaan wanita cekal dan bersemangat tinggi ubah nasib keluarga ini menjadi inspirasi buat golongan wanita agar terus kuat mengejar impian hidup.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Orangnya masih bertenaga dan kekal jelita walaupun di usia 54 tahun. Terkenal, sukses serta tidak pernah kalah dalam berfesyen itu antara kelebihan yang ada pada wanita berdarah campuran Melayu-Pakistan ini.
Datin Dr. Kamsiah G. Haider atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Kam merupakan pemilik kepada Klinik Pergigian Dr Kam yang terletak di Taman Tun Dr Ismail.
Beliau seorang yang sangat menitikberatkan soal kecantikan dan kesihatan. Bagi Dr. Kam apabila tubuh kekal sihat dan cergas secara tidak langsung dapat menyerlahkan kecantikan asli seorang wanita.
“Semasa usia mencecah 30 tahun, saya sudah mula menjaga makan. Saya sudah mula memilih makanan yang lebih seimbang serta menyihatkan. Antara menu sihat kegemaran saya ialah sup, steak serta buah-buahan.
Sebagai motivasi diri agar tidak makan sewenang-wenangnya saya mengamalkan cara ini. Selalunya saya akan ambil gambar-gambar makanan yang menarik. Saya akan tatap sampai puas hati.
Secara tidak langsung saya akan merasa kenyang dengan sendirinya. Suami turut menggalakkan pengambilan makanan sihat kerana beliau seorang yang mementingkan kesihatan. Saya juga mengamalkan meminum air kosong secukupnya setiap hari.
Dari segi penjagaan kecantikan pula, cukup sekadar saya konsisten dengan rutin mencuci wajah dan pemakaian krim mata setiap hari. Sejujurnya, saya tidak pernah memakai krim malam. Sebagai seorang doktor, perlu cukup tidur sekurang-kurangnya tujuh ke lapan jam sehari. Jika tidak ia akan menjejaskan prestasi kerja.
Begitu juga dengan soal penampilan yang sangat penting buat saya antaranya sentiasa mengikuti perkembangan fesyen terkini. Sekurang-kurangnya dapatlah saya mengetahui trend terkini sesuai dengan usia dan imej. Saya juga seorang pencinta beg tangan berjenama Chanel,” bual Dr. Kam yang juga meminati seni dekorasi kediaman.
Dr. Kam merupakan pengamal klinikal prostodontik selama 29 tahun. Beliau merupakan graduan Bachelor of Dental Surgery (BDS) dari Universiti Malaya, dan Master of Dental Science (MDSc) dari University of Dundee, UK.
Selain prostodontik, Dr. Kam turut mempunyai perakuan kelayakan ortodontik di samping mengendalikan pelbagai prosedur pergigian estetik.
“Bukan mudah sebenarnya apabila bergelar isteri dan ibu pada masa yang sama harus memikul tanggungjawab yang besar kepada masyarakat. Suami dan anak-anak menjadi kekuatan buat saya. Untuk berjaya dalam lapangan kerjaya perlu ada minat yang tinggi di samping berusaha untuk melakukan yang terbaik.
Sebolehnya jauhkan daripada rasa tertekan kerana ia boleh menjejaskan prestasi. Kerjaya saya sentiasa bertemu dengan masyarakat yang pelbagai karenah. Saya perlu sentiasa tenang, tersenyum dan tidak mudah mengikut emosi,” kongsi Dr. Kam yang turut berkebolehan dalam sukan lasak. Beliau pernah meraih kemenangan dalam sukan berkuda dan tersenarai dalam The Malaysia Book of Records. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Sempena sambutan Hari Bapa dan Hari Raya Aidiladha pada Jun ini, Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul, yang ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
Makin terserlah cantik Kasih Iris Leona. Nama anak kepada pelakon Azhar Sulaiman ini bukan lagi asing dalam industri hiburan. Meskipun tidak terlibat dalam bidang seni secara serius namun Leona dikenali ramai generasi muda hari ini. Bukan hanya kerana statusnya sebagai anak selebriti tetapi juga kerana pengaruhnya di media sosial.