Di Pejabat Andalah KETUA, Tapi Di Rumah Anda Adalah Seorang ISTERI! Ingat Tu

Budaya isteri bekerja telah menjadi lumrah hidup masyarakat kini. Sesungguhnya tenaga mereka adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara mahupun keluarga, setara dengan tenaga kaum lelaki. Sama ada bertujuan untuk membantu kewangan keluarga, membina keyakinan dan imej diri, mengejar cita-cita, keperluan tenaga wanita dalam sektor pekerjaan memang tidak dapat dinafikan.

Malah bukan setakat itu sahaja, wanita kini telah berjaya menempatkan diri mereka setanding dengan kedudukan kaum Adam di pejabat.

Wanita bergelar ketua pejabat, pengarah jabatan, pengurus besar, pengarah urusan, sebagai seorang menteri mahupun gabenor bukan sesuatu yang asing dan memeranjatkan kita kini. Pencapaian wanita sebagai pentadbir sesuatu organisasi cukup membanggakan.

Bekerja dengan staf lelaki tidak sedikit pun menjejaskan kredibiliti ketua-ketua wanita ini. Penerimaan masyarakat terhadap wanita sebagai ketua diterima baik di Malaysia.

Namun di sebalik penerimaan yang baik dalam organisasi pekerjaan, masih wujud masalah-masalah dalam kehidupan wanita ini sendiri yang melibatkan kehidupan rumah tangga mereka. Masalah ini akan lebih terasa apabila suami yang dikahwini menjawat jawatan yang lebih rendah daripada si isteri.

Berbagai-bagai isu boleh timbul, sama ada daripada suami, isteri, ibu bapa, adik-beradik mahupun ipar duai yang mampu menggugat keharmonian rumah tangga.

Antara punca yang mencetuskan konflik rumah tangga apabila seseorang wanita itu bergelar ketua adalah:

  1. Sikap wanita itu sendiri

Menjadi ketua memerlukan anda bersikap sebagai seorang pemimpin yang sering memberi arahan dan teguran terhadap pekerja anda. Namun, kadang kala sikap anda ini terbawa-bawa hingga di rumah. Anda seakan lupa bahawa suami anda adalah pemimpin rumah tangga dan anda perlu patuh terhadapnya. Sikap tegas yang tidak bertempat serta memberi arahan kepada suami akan hanya menyebabkan suami merasakan anda tidak menghormatinya dan memandang rendah terhadap haknya sebagai pemimpin keluarga.

  1. Sikap suami

Sikap ego suami yang melampau juga boleh mencetus konflik dalam hubungan rumah tangga. Ada sesetengah suami yang cuba menunjukkan “kuasa” di rumah kerana khuatir si isteri akan “memijak kepala” hanya semata-mata kerana isterinya seorang ketua di pejabat. Sikap takut akan bayang-bayang sendiri ini akan memberi tekanan terhadap diri sendiri dan keluarga.

  1. Sikap ibu bapa

Sikap prejudis sesetengah ibu bapa apabila anak perempuan mereka memegang jawatan tinggi juga menimbulkan ketegangan dalam rumah tangga. Mereka merasakan pasangan anaknya tidak setaraf dengan kedudukan si anak. Bagi mereka, menantu hanya ingin menumpang kesenangan anak mereka. Keikhlasan pasangan si anak begitu dicurigai, pelbagai tanggapan negatif dilemparkan terhadap menantu yang memberi kesan buruk terhadap rumah tangga.

  1. Sikap saudara mara dan ipar duai

Istilah “queen control” cukup sinonim dengan wanita yang menyandang jawatan tinggi. Persepsi bahawa ketua wanita ini suka mengongkong suami dan berkuasa terhadap setiap keputusan dalam rumah tangga adalah sesuatu yang cukup lumrah. Umpatan, sindiran serta hasutan di kalangan keluarga mahupun ipar duai akan menggoncangkan keharmonian rumah tangga.

Kecemerlangan seseorang wanita itu tidak hanya diukur dari pencapaiannya di pejabat, tetapi juga kejayaannya dalam menjadi isteri dan ibu yang cemerlang. Tidak semudah menuturkan, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai. Namun kebijaksanaan anda bertindak pasti dapat membentuk rumah tangga yang gemilang.

Berikut antara tip yang pasti dapat membantu para wanita yang bekerja untuk melayari rumah tangga dengan jayanya.

  1. Berubah untuk menikmati perubahan

Merubah ego lelaki bukanlah mudah tanpa kemahuannya. Anda hanya mampu memujuk dan mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlu berubah kepada yang lebih baik untuk membolehkan suami berubah memperbaiki dirinya.

  1. Menangkan suami untuk menang

Dalam rumah tangga hanya ada 2 kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa suami adalah memulai dan menyuarakan. Kuasa isteri adalah bersetuju atau tidak.  Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, maka porak perandalah rumah tangga. Sebagai seorang Islam, anda perlu halusi hak dan batas hak suami dan isteri dalam rumah tangga.

  1. Kritikan hanya akan membuahkan kritikan

Kritikan adalah sesuatu yang amat merbahaya dalam rumah tangga. Anda perlu bijak menyampaikan rasa tidak puas hati secara halus kepada suami anda. Jika tidak kena dengan gayanya, anda hanya akan melukai nilai diri seorang lelaki, menjejaskan rasa kepentingan dirinya, menimbulkan kekecewaan dalam dirinya yang akhirnya akan menyebabkan dia mengkritik anda pula.

  1. Bertanggungjawab akan menikmati kesan tanggungjawab

Tanggungjawab sebagai isteri tidak akan berubah walaupun dunia ini menjadi semakin maju. Begitu juga dengan tanggungjawab suami terhadap isterinya. Selagi tanggungjawab tidak diabaikan malah disempurnakan dengan cukup baik, anda tidak perlu risau. Keharmonian rumah tangga pastinya terjamin.

  1. Berikan suami apa yang dia inginkan

Biasanya dua perkara besar yang diingini oleh seseorang suami. Pertama adalah kehendak batinnya dan kedua kehendak untuk menjadi penting dalam keluarga. Berilah apa yang suami anda inginkan dan yang anda mampu berikan. Pastinya dia juga akan melakukan apa sahaja untuk anda dan memberi apa yang anda inginkan.

  1. Hormati suami anda sebagai lelaki

Jika anda berusaha untuk bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan perkara yang sama dengan anda. Wajib bagi wanita menghormati lelaki yang menjadi suaminya. Memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri anda, malah ia menjadikan diri anda lebih terhormat.

 

IKLAN
Share