Didik Diri Jadi Individu Yang Sering ‘Dahagakan’ Ilmu, Kunci Sukses LINDA ABAS! Patut Tiru Kalau Nak Berjaya

Linda Abas, seorang wanita yang amat mementingkan kualiti dalam setiap apa yang dilakukan dalam kehidupan. Ternyata, sikap yang dimilikinya menjadi azimat untuk dirinya berjaya sebagai salah seorang kontraktor wanita yang bersaing di dalam bidang yang kebanyakannya didominasi oleh kaum lelaki.

Menjalankan perniagaan sejak 2006, wanita cekal ini menganggap setiap cabaran dan rintangan dalam dunia perniagaan yang didominasi oleh kaum lelaki sebagai satu cabaran untuk dirinya lebih berdaya saing dan berjalan seiring demi mengejar cita-citanya untuk berjaya di dalam dunia perniagaan.

“Tidak kira apa jenis perniagaan yang diceburi, pastinya ia mempunyai cabaran dan dugaan. Pada pandangan saya, cabaran utama yang perlu diharungi adalah untuk mendapatkan kepercayaan daripada pelanggan serta memberi kepercayaan kepada mereka tentang kemampuan dalam menguruskan sesuatu projek.

Mendapat kepercayaan untuk memenuhi kehendak klien daripada segi produk dan perkhidmatan yang perlu dibekalkan. Pada masa yang sama, saya perlu memberi kepercayaan kepada kakitangan untuk proses perlaksanaan pula. Perlaksanaan itulah yang menjadi kunci utama. Dalam dunia usahawan ini kepercayaan boleh mendatangkan keuntungan atau kerugian. Penumpuan terhadap soal costing,

 perancangan dan perlaksanaan amatlah penting dan bidang ini memerlukan kerja berpasukan yang baik.

Saya bersyukur mempunyai kakitangan yang berdedikasi serta rakan kongsi yang pintar dan baik.Setiap elemen ini bergabung menjadikan organisasi ini kuat dan mampu berdaya saing di pasaran. Apabila memegang sebuah organisasi sendiri saya mengadun perkembangan syarikat mengikut acuan yang telah saya semat sejak dahulu,” ujar Linda sambil wajah mulusnya ditata rias oleh juru solek terkemuka, Datin Saidatulnisa Aminuddin.

Tambah Linda lagi, kejayaan yang dikecapinya kini tidak lengkap tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga kerana mereka adalah tulang belakang terhadap kejayaannya kini. Jika tidak terikat dengan urusan kerjaya, Linda sering menghabiskan waktu bersama keluarga tersayang melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti bersenam di gimnasium ataupun bersenam di taman yang terletak berhampiran dengan kawasan kejiranannya. Bagi Linda, soal kesihatan perlu diberi perhatian yang khusus bagi membentuk minda yang cergas dan positif.

Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, Linda mempunyai visi serta pandangan yang jauh untuk memajukan dirinya. Walaupun sudah berjaya dalam dunia perniagaan, Linda masih sempat meluangkan masa untuk melanjutkan pelajaran di Deakin University Melbourne, Australia. Bagi Linda, ilmu adalah satu perkara penting yang boleh membuka mata dan ruang untuk setiap individu berjaya di dalam hidup.

“Saya merupakan seorang individu yang sentiasa dahagakan ilmu. Saya sentiasa belajar daripada orang yang lebih berpengalaman. Menimba ilmu boleh diperoleh melalui proses pembelajaran dan pengalaman. Saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan diri sebagai nilai tambah kepada diri dan perniagaan yang diusahakan. Dalam masa yang sama, kreatif dan tingkah laku yang positif perlu ada dalam diri jika mahu maju dalam setiap apa yang diceburi. Sesuai dengan aspirasi kerajaan untuk melihat kaum wanita terus maju dan berjaya seiring dalam mengecap kemakmuran unit keluarga serta masyarakat umumnya,” ujar wanita yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi ini.

Tambah Linda lagi, wanita seharusnya memiliki kemahiran untuk mencapai kejayaan di dalam apa jua bidang yang diceburi. Tanpa kemahuan serta kesungguhan ia tidak akan mengerakkan usaha dan keinginan untuk mencapai ke tahap maksima.

”Namun demikian, wanita harus melihat kepada bekalan dalam diri atau self equipment. Dalam erti kata knowledge, skill, and attitude inilah yang memberi seseorang kelebihan yang kompetitif dan sentiasa meningkatkan diri sebagai nilai tambah kepada diri dan perniagaan yang diusahakan,” ujar wanita yang mampu membakar semangat untuk wanita lain berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau yang menjadikan Allahyarhamah Dato Maznah Hamid sebagai wanita adi wira dan idolanya kerana kagum melihat bagaimana beliau mampu bersaing di dalam industri keselamatan yang sekian lama didominasi kaum lelaki.

“Bukan calang-calang wanita mampu melakukan apa yang beliau lakukan selama ini. Kejayaan beliau menjadi dorongan untuk saya menguatkan semangat dan mencuba sebaik mungkin dalam bidang yang saya ceburi. Tiada yang mustahil untuk dilakukan oleh kaum wanita jika mempunyai keazaman dan usaha tanpa jemu untuk terus maju. Wanita mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan kehebatan wanita terletak pada keazaman yang tinggi dalam diri mereka untuk mencapai kejayaan. Saya yakin berkat usaha dan tawakal pasti kejayaan bakal menyusul,” ujar Linda seraya mengakhiri perbualan.

 

IKLAN
Share