Digelar ‘Ibu Mengandung Paling Cantik’, FAZURA Selamat Lahir Anak Sulung!

MashaAllah, memang cantik sangat ibu ini! Pastinya saat ini Nur Fazura Sharifuddin dan Fattah Amin sedang diulit bahagia menyambut kehadiran cahaya mata sulung mereka.
Sekian lama berahsia mengenai jantina anak yang dikandung, akhirnya hari ini tanggal 2 Oktober… Fazura dilaporkan selamat melahirkan anak perempuan. Alhamdulillah!

Kongsi Fazura, “Assalamualaikum. Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT. Kiriman agung pertama kami telah selamat dilahirkan pada hari Jumaat yang mulia ini, 14 Safar 1442 Hijrah bersamaan dengan 2 Oktober 2020. Cahaya mata perempuan yang sihat dan sempurna ini sangat membahagiakan kami berdua dan keluarga.

Di sini juga kami ingin memohon sedikit masa bagi merahsiakan nama dan wajah anakanda tersayang sehingga selepas tujuh hari selaras dengan sunnah Rasulullah SAW. In shaa Allah. Terima kasih kami ucapkan buat anda semua dikasihi, yang tidak henti-henti mendoakan kami bertiga sejak awal sehingga Fazura selamat melahirkan. Salam sayang dari kami bertiga.”

Mengimbas kembali detik awal kehamilan aktres cantik berkenaan, Fazura dan Fattah sepakat mengumumkan berita gembira berkenaan kepada peminat pada 17 April lepas. Waktu itu, usia kandungan Fazura baru mencecah empat bulan.

Kongsi Fazura, “Setelah melayari perkahwinan kami selama dua tahun, saya dan suami Fattah Amin ingin berkongsi berita yang amat mengembirakan. InsyaAllah dengan izin Allah SWT kami bakal menimang cahaya mata kami yang pertama. Kandungan saya kini dalam bulan keempat, alhamdulillah.

Kami sentiasa yakin akan peraturan Allah dan sesungguhnya ini merupakan waktu yang paling tepat bagi kami dikurniakan zuriat yang amat membahagiakan ini. Tiada yang lebih diutamakan dalam hidup kami sekarang melainkan yang tersayang. Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan memberikan ucap selamat kepada kami selama ini. Kami amat mensyukuri setiap detik dalam fasa ini dan hari-hari indah yang akan datang. InsyaAllah. Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi dari hati kami berdua.”

Diakui sepanjang kehamilan, setiap gerak-geri dan kelibat Fazura amat dinanti-nantikan serta mencuri perhatian ramai. Apa sahaja posting yang dimuatnaik Fazura di media sosial pasti meraih ratusan ribu likes dan komen. Rata-rata peminat dan rakan artis turut berkongsi rasa gembira selain memuji penampilan jelitawan ini yang tampil lebih berseri-seri sejak mengandung. Malah, pemakaian Fazura sepanjang hamil juga disedari ramai dan disifatkan cukup sopan.

Biarpun sarat hamil Fazura tetap ligat merencana perniagaan. Pada hujung Ogos lalu Fazura sekali lagi tampil mempersona dalam persalinan rona merah jambu ketika melancarkan produk penjagaan kulit miliknya, Fazura Skincare. Ia merangkumi set pembersih muka, skrub, serum, krim siang dan malam. Hari ini, tanggal 2 Oktober juga ‘buah tangan’ terbaharu iaitu Fazura Beauty iaitu rangkaian lip matte turut memasuki pasaran. Khabar gembira berganda buat Fazura bulan ini.

Tahniah buat Fattah dan Fazura! Moga ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat serta dipermudahkan segalanya.

IKLAN
Share