“Doakan Mereka Sembuh…” Dua Anaknya Parah Hidap ASMA KRONIK, Jangan Menangis Baca Luahan Ibu Malang Ini!

Bayangkan sedang ibunya meninggal dunia, dia terpaksa memendam kesedihan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana si anak sedang bertarung menarik nafas. Alangkah sedihnya hati, tak sempat dia pulang untuk meminta keampunan buat kali terakhir.

Pada saat kita mengeluh dengan kesulitan yang menimpa diri, ingatlah ada lagi manusia lain yang lebih susah perjuangannya.

Itulah yang dialami wanita malang bernama Wan Salmi Suhana Wan Majeed tatkala dua daripada lima orang anak-anak kesayangannya disahkan menderita penyakit asma kronik.

Selepas kisah Wan Salmi Suhana, 36 tahun, tersebar luas di media sosial, Nona cuba menghubungi empunya badan untuk bertanyakan keadaan terkini. Mujurlah surirumah itu sudi berkongsi, bercerita kebimbangan dan harapan seorang ibu yang selamanya tak pernah putus berharap.

Memang benar dia terpaksa merayu bantuan orang ramai yang bersimpati. Bukan tak pernah meminta ehsan dari keluarga dan rakan-rakan, tapi sampaikan dia terpaksa menebalkan muka merayu di media sosial.

Kata Wan Salmi Suhana, meskipun tergolong sebagai asnaf miskin yang menerima bantuan Zakat Selangor sejak 2016, namun ia masih belum cukup untuk menampung beban mereka sekeluarga.

“Saya ibu kepada 5 orang anak. Anak sulung dah berumur 17 tahun dan yang bongsu pula baru 1 tahun 7 bulan. Dua daripada 5 beradik ni adalah pesakit asma kronik yang terpaksa mendapatkan rawatan dan sering dimasukkan ke hospital.

Dengan keadaan anak-anak yang selalu keluar masuk wad, suami saya iaitu Mohd Irwan Amir Hashim, 36, hanya mampu bekerja sebagai pemandu GRAB. Dia tak dapat bekerja sepenuh masa memandangkan komitmen anak-anak kami yang selalu sakit. Kalau tak, siapalah yang nak uruskan anak-anak lain bila saya di hospital?

Sebenarnya 3 orang anak kami ni ada masalah asma. Anak ketiga saya, Akifa Naila, hidap asma sejak usianya setahun. Diikuti dengan anak keempat, Aqil Iman, dia ada asma sejak berusia sebulan lagi. Kakinya pula disahkan mengalami ‘flat foot’ iaitu panjang sebelah dengan tumit membengkok. Aqil tak boleh berjalan lama dan ototnya kian mengeras.

Manakala anak kelima, Danish Iman, mengalami masalah pernafasan sejak bayi. Lantaran masalah paru-paru kronik dan proximal tracheomalacia, doktor terpaksa memakaikan alat bantuan pernafasan CPAP sejak umurnya 9 bulan. Sekarang dia dah berumur 1 tahun 7 bulan dan Danish bergantung sepenuhnya pada alat tersebut untuk bernafas.

Saya sendiri tak tahu apakah punca penyakit asma menyerang anak-anak kami. Dalam keluarga kami tak pernah ada masalah ni. Asma yang mereka alami memang sangat teruk sampaikan anak bongsu pernah dimasukkan ke ICU sebanyak 3 kali,” ceritanya dalam nada sebak.

Tambah Wan Salmi Suhana lagi, sepanjang tempoh getir ini, dia melalui pelbagai episod duka seperti kehilangan ibu tercinta. Baginya, peristiwa paling sedih adalah apabila arwah ibu meninggal tapi dia tak dapat berjumpa, apalagi membantu menguruskan jenazah. Kebetulan serentak waktu yang sama, anaknya dikejarkan ke ICU dan dia terpaksa menjaga si kecil yang meronta kesakitan.

“Adat kita manusia dibenci dicaci tu biasalah. Saya selalu dilontar dengan pelbagai kata-kata yang menyakiti hati tapi selagi boleh sabar, sabarlah. Pujuk hati supaya bertenang dan tawakal pada Allah.

Dalam sebulan, kami ada temu janji sampai 4-5 kali untuk berjumpa pakar di PPUM. Dua beradik tu pula sentiasa dalam situasi berjaga-jaga, misalnya kalau mereka sakit terus saja kejarkan ke unit kecemasan.

Saya selalu minta ehsan orang ramai doakan anak-anak saya ni. Kata doktor, Aqil Iman mesti dipantau sampai usianya 5 tahun manakala adiknya, Danish Iman, perlukan perhatian rapi selama setahun sebelum mereka boleh beri keputusan untuk matikan mesin bantuan.

Sebagai ibu, harapan saya cuma satu. Saya mahu mereka sembuh dan jadi normal macam anak-anak lain.”

Menurut wanita yang merupakan anak jati Besut, Terengganu itu, mereka sekeluarga terhutang budi dengan Zakat Selangor kerana banyak menyalurkan bantuan yang diperlukan. Terutama sekali bantuan biaya perubatan anak-anaknya yang mencecah hampir RM40 ribu.

“Memang benar kami kesempitan. Suami cuma harapkan pendapatan sebagai pemandu GRAB dan saya pula bergantung dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan. Pihak Zakat Selangor pula salurkan RM500 sebulan. Saya sangat bersyukur dengan semua bantuan ni.

Mungkin segelintir orang merasakan, ah cukuplah dapat bantuan. Tapi sebenarnya dalam situasi ekonomi sekarang, saya terhimpit dari aspek emosi dan kewangan kerana ia sekadar cukup-cukup makan. Belum lagi keperluan 3 orang anak-anak lain yang kini bersekolah. Memang sempit sangat,” ujar Wan Salmi Suhana dalam nada perlahan.

Buat orang ramai yang prihatin dan berhasrat mahu meringankan beban keluarga ini, salurkan sumbangan anda melalui akaun Maybank Mohd Irwan bernombor 114179467056 atau akaun CIMB Wan Salmi Suhana bernombor 7602612700. Norzalina Mohd Alias

IKLAN
Share