Dr Zaliha Mustafa Kongsi Detik Kunjungan Hormat Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa telah menerima kunjungan hormat daripada Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral iaitu YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Dr Zaliha berkongsi detik kunjungan itu di akaun Facebook peribadinya pada semalam (17/1/2023).

“Hari ini saya menerima kunjungan daripada YB Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Ibu Pejabat KKM.

“YB Senator mengutarakan agar kerajaan hari ini mewujudkan Dasar Penyakit Jarang Jumpa bagi penjanaan kesihatan komuniti penyakit jarang jumpa yang merangkumi sokongan kerajaan, penyelidikan jujukan jenom, jumlah pakar genetik dan penyediaan fasiliti rawatan di hospital/klinik pakar.”

Dalam pertemuan itu, mereka turut membincangkan tentang penubuhan Majlis Autisme Kebangsaan. Antara perkara yang dibangkitkan ialah menambah Pusat Mentari dan peruntukan bagi mengatasi masalah kesihatan mental yang berlarutan.

Selain itu, perbinacngan turut menyentuh pengubahsuaian prasana fasiliti kesihatan di Malaysia agar mematuhi Keperluan Reka Bentuk Sejagat Dan Malaysia Standard (MS1184).

“Perbincangan kami turut berkisar tentang menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat di hospital dan klinik bagi membantu OKU Pendengaran serta kemudahan kesihatan golongan OKU.

“Saya hargai cadangan dan saranan yang diberikan kerana isu ini signifikan dan membawa manfaat kepada semua terutamanya rakan golongan OKU.”

Menurut Dr Zaliha, beliau bersama KKM akan melakukan yang terbaik demi membantu golongan OKU terutama yang melibatkan fasiliti kesihatan.

Memetik ldaaporan Bernama pula, Datuk Ras Adiba menyarankan agar KKM mewujudkan ‘Dasar Penyakit Jarang Jumpa’ bagi menjaga kebajikan dan penjagaan kesihatan komuniti penghidap penyakit itu.

Ia merangkumi dana sokongan kerajaan, penyelidikan jujukan genom, jumlah pakar genetik dan penyediaan fasiliti rawatan di hospital atau klinik pakar.

“Kita harus memimpin dunia dalam penggunaan data dan teknologi bagi mencegah penyakit bukan hanya merawatnya. Ianya telah dilakukan dengan jayanya oleh United Kingdom,” jelas Datuk Ras Adiba.

Beliau turut menggesa Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) ditambah sekurang-kurangnya satu pusat di setiap daerah bagi mengatasi masalah mental yang kian membimbangkan.

Beberapa lagi cadangan termasuk memperluas dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan reproduktif kepada golongan OKU, khusus wanita kurang upaya serta menyediakan lebih ramai pengamal perubatan serta anggota kesihatan terlatih dalam bidang ketidakupayaan.

Kredit Foto: Facebook Dr Zaliha Mustafa

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona

IKLAN
Share