Gaya Hidup

DUA Kali Tolak Lamaran, Akhirnya ‘Gadis Kebanyakan’ Ke-3 Masuk Keluarga Diraja Jepun Bergelar Maharani

Sejurus selepas pertabalan Putera Naruhito sebagai Maharaja Jepun pada 1 Mei 2019 lalu berikutan penurunan takhta paduka ayahandanya, Maharaja Akihito, perhatian dunia tertumpu kepada Maharani Jepun, Puteri Mahkota Jepun, Masako Owada.

Foto: Instagram @world_almanac

Siapa sangka setelah dua kali Maharani Masako menolak lamaran putera sulung Maharaja Jepun ketika itu lantaran bercita-cita tinggi dalam kariernya sebagai seorang Pegawai Diplomatik, namun pada lamaran ketiga Maharani Masako tidak berupaya untuk menolak lagi.

Foto: Instagram @famiglie__reali

Ketika memutuskan untuk berkahwin dan seterusnya menjadi ahli keluarga diraja Jepun Maharani Masako terpaksa meninggalkan kerjayanya sebagai Pegawai Diplomatik dan kini sudah pun bergelar seorang Maharani. Maharani Masako merupakan ‘gadis biasa’ yang ketiga masuk dalam keluarga diraja Jepun selepas bonda mentuanya, Maharani Michiko dan adik iparnya, Puteri Kiko.

Melihat perwatakan Maharani Masako yang jelita dan bijak ternyata Maharaja Jepun ke-126 ini tidak salah dalam membuat pilihan. Masako merupakan anak perempuan keluarga diplomat dan mendapat pendidikan tertinggi di Universiti Harvard dan Universiti Oxford.

Walaupun begitu, ternyata bukan mudah hidup dalam keluarga diraja. Kisah keluarga diraja Jepun ini sentiasa menarik perhatian seluruh dunia lantaran kerana keluarga diraja ini merupakan dinasti diraja tertua memerintah di dunia.

Foto: Instagram @house_of_habsburger

Maharani Masako mengaku bergelut menyesuaikan diri dengan kehidupan terkurung keluarga diraja itu. Beliau juga menerima tekanan hebat memperoleh anak lelaki kerana penggantian takhta Jepun mengecualikan wanita. Tekanan itu hanya semakin hebat selepas melahirkan anak perempuan, Puteri Aiko pada tahun 2001, puteri tunggal pasangan diraja ini sehingga sekarang.

Foto: Instagram @europeanroyalty_

Namun, kasih seorang suami terserlah apabila Maharaja Naruhito telah berjanji ‘melindungi isterinya walau apa pun terjadi’ dan mahu pengorbanan isterinya meninggalkan kerjayanya dahulu berbaloi.

Foto: Instagram @royaltyconnection

“Bagi saya, Masako terlalu letih dalam usahanya menyesuaikan diri dengan kehidupan diraja sejak lebih 10 tahun lalu. Adalah benar ada sesuatu yang menyangkal kerjaya lama Masako,” kata Maharaja Naruhito.

Tekanan ke atas Masako berkurangan apabila adik iparnya melahirkan anak lelaki pada 2006, Putera Hisahito. Khabarnya Maharani Masako pernah menjalani rawatan untuk kemurungan akibat ‘gangguan penyesuaian’ untuk hampir keseluruhan tempoh perkahwinannya.

Foto: Instagram @t_yokomichi

Dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena hari lahir Maharani Masako yang ke-55 pada Disember 2018, Maharani ini berikrar akan menggalas tugas sebagai Maharani sebaik mungkin walaupun merasa ‘tidak yakin’ untuk menjadi seorang maharani demi kebahagiaan rakyat Jepun.

Sumber: Berita Harian

IKLAN
Share