Duduk Bersimpuh Ziarah Bayi Kembar Kematian Ibu, Penampilan CHE PUAN SOFIE Tarik Perhatian!

Hujung minggu lalu, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra dan isteri, Yang Bahagia Che Puan Sofie Louise Johansson berkenan berangkat ke Jajahan Tumpat, Kelantan.

Anggun dan segak mengenakan persalinan sedondon rona krim, keberangkatan tiba baginda dimulai di Kediaman Rasmi Ketua Jajahan Tumpat dan disambut Ketua Jajahan dan isteri, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II dan isteri, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO Kelantan, Dato’ Kaya Setia Setiausaha Kerajaan Kelantan dan isteri, Pengelola Istana D’Raja Kelantan dan isteri, pegawai-pegawai serta kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Sebelum membuat lawatan seterusnya, baginda tuanku dan isteri turut diberi taklimat ringkas berkaitan perkembangan dan situasi semasa di Jajahan Tumpat oleh Ketua Jajahan, Timbalan Ketua Polis Tumpat dan Timbalan Pengarah Hospital Tumpat. Dalam pada itu, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra juga diraikan dengan Santapan Tengahari.

Usai bersantap, baginda tuanku berkenan berangkat ke kediaman Syazwan Najmi iaitu salah seorang rakyat Kelantan berusia 23 tahun yang menetap di Kampung Pak Keral, Tumpat. Kehidupan pemuda ini telah menarik perhatian baginda selepas kisah kematian isteri tercinta, Siti Nur Nasuha Safie kira-kira lima bulan lalu kerana mengalami komplikasi jangkitan kuman ketika melahirkan anak perempuan kembar pada 31 Mac lepas.

Difahamkan Syazwan menamakan bayi kembar mereka Medina Safiya dan Medina Sofiya sempena menunaikan hasrat arwah isterinya yang mahukan nama tersebut.

Namun, paling menarik perhatian rakyat adalah penampilan Che Puan Sofie yang sopan berbaju tradisi sambil duduk bersimpuh di atas lantai. Meskipun baru mendalami budaya masyarakat Melayu tetapi Che Puan Sofie yang dilahirkan di Sweden kelihatan tidak kekok berbuat demikian dan manis berselendang.

Berpeluang mendukung kedua-dua bayi comel ini, Dr Tengku Muhammad Fa-iz dan Che Puan Sofie turut menzahirkan kesedihan atas pemergian Siti Nur Nasuha di samping menyampaikan ucapan takziah dan mendoakan agar roh isteri Syazwan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beramal soleh. Sebelum berangkat pulang, baginda berdua berkenan meneruskan lawatan ke kilang memproses serunding di Tumpat.

IKLAN
Share