#DudukRumah Main TikTok Semakin Menjadi-Jadi

Aplikasi TikTok kian popular di kalangan masyarakat  sekarang. Dalam keadaan kita menempuh hari-hari PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), TikTok semakin menjadi kegemaran ramai, termasuk di kalangan selebiriti.

Bagi yang tidak pernah menggunakan aplikasi ini, semenjak dikuarantin dalam rumah, aplikasi TikTok telah menjadi pilihan untuk dimuat turun dalam media sosial. Penggunaannya yang canggih dan sangat mudah digunakan sesuai oleh semua peringkat umur.

TikTok bukan sahaja popular di kalangan selebriti tetapi barisan hadapan kita seperti jururawat. Mereka dilihat memuat naik beberapa video dalam usaha menyampaikan mesej penggunaan sanitizer

yang betul, panduan bila batuk dan selesema serta video menyeru semua rakyat Malaysia #stayathome dan bijak menjaga kesihatan.

Dalam keadaan terlalu banyak masa lapang di rumah, pelbagai idea dan kreativiti dicurahkan dalam usaha menghasilkan video yang mendapat tontonan ramai. Jika kita berada dalam keadaan tegang atau stres, video-video TikTok yang dikongsi itu mampu menghiburkan hati. Namun ada juga pihak yang bimbang jika ia memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Antara sebab video TikTok menimbulkan rasa bimbang adalah apabila ia menghilangkan rasa malu dan nilai kemanusiaan dalam diri, meningkatkan ketagihan penggunaan gadget sehingga perkara lain terabai serta tidak mempedulikan kualiti hidup persekitaran.

Keadaan ini boleh mengakibatkan masalah psikologi dan masalah kesihatan diri. Benar dengan semua pendapat tersebut, namun penghujungnya bergantung kepada diri sendiri, bagaimana aplikasi ini mampu digunakan sebaik mungkin, tidak melalaikan dan memberi manfaat kepada kita semua.

Sebenarnya TikTok itu bukanlah sekadar menari terkinja-kinja sahaja, banyak yang boleh dibuat seperti menghasilkan drama berunsur nasihat atau menyampaikan unsur-unsur dakwah yang mampu menyentuh hati sanubari.

Semuanya bergantung, jika penyampaiannya positif dan mempunyai maksud baik yang ingin disampaikan, maka positiflah ia. Jika negatif yang ditampilkan, maka ia akan menjadi buruk dan nampak negatif.

Tetapi rata-rata melihat Tik Tok sekarang mampu mewarnai hari-hari kita sepanjang waktu PKP ini. Diri sendiri terasa ceria dan gembira kala berTikTok dan mereka yang menonton pun rasa terhibur, ketawa gembira. Ini aura positif yang mungkin kita boleh ambil kira dalam keadaan sekarang. Asalkan ada batasan, tidak menyentuh isu sensitif atau menjatuhkan maruah diri dan orang lain. Tepuk dada, tanya selera!

Apapun kita suka dan layan TikTok beberapa selebriti Malaysia,  antaranya Nora Danish, Zulin Aziz, Mawar Rashid, Tya Arifin dan sebenarnya ramai lagi yang memilih aplikasi ini sebagai hiburan bersama. Senyum dan berbahagialah, walaupun hanya berada di rumah. Kiffy Razak

IKLAN
Share