Nama ratu rock negara, Ella Aminuddin yang terkenal dengan trademark manja “Ella Rasa” kini kekal unggul. Aura living legend yang manis bertudung dalam usia 50an ini ternyata masih berbisa walaupun dah 30 tahun dalam industri seni tanahair.
Rangkaian lagu-lagu terhebat Ella seperti Dua Insan Bercinta, Nuri, Gemilang, Pengemis Cinta, Layar Impian, Sembilu dan Kesal masih menjadi siulan sampai ke saat ini.
PENGUSAHA LADANG CILI
Ramai yang dah tahu Ella dan suaminya, Kapten Azhar Ghazali kini bergelar usahawan pertanian. Tak sangka, di sebalik kelincahan Ella menyanyi di pentas rupa-rupanya juga telah bergelar usahawan cili yang berjaya. Wah hebatnya!
Ella dan suami mengusahakan tanaman fertigasi cili ini sejak dua tahun lalu yang melibatkan tiga ladang berkeluasan 1.2 hektar. Benih cili yang dipilih pula pastinya yang berkualiti tinggi.
“Sebenarnya minat dalam bidang bisnes ni memang dah lama ada. Kebetulan pula saya gemar bercucuk tanam antaranya menanam cili.
Bermula dari situlah kami ambil keputusan untuk tukarkan minat itu menjadi satu perniagaan. Bukan saja mendatangkan keuntungan bahkan memberi inspirasi buat mereka yang berhasrat menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Ads
Hasil tanaman cili kami pasarkan ke kedai-kedai runcit, restoran, pasaraya dan pertubuhan pemasaran hasil tani. Sekarang saya berpeluang memberi tumpuan secara serius terhadap bisnes.
Saya harap lebih ramai lagi golongan muda melibatkan diri dalam bidang pertanian kerana ia menjanjikan masa depan yang baik dan jaminan simpanan keselamatan makanan untuk negara.
Saya juga yakin dengan potensi perniagaan pertanian yang dapat menjana pendapatan lumayan jika dibuat dengan betul dan bersungguh-sungguh.
Ads
Bagi saya, hikmah di sebalik COVID-19 ialah menyedarkan kita agar sentiasa bersyukur dan menghargai apa yang ada di sekeliling kita.”
Ella turut berkongsi dia bakal mengeluarkan beberapa rangkaian produk kesihatan pada tahun hadapan.
PENERIMA NONA LEGEND AWARD
Karier seni Ella sebagai penyanyi bermula sekitar tahun 1985 bersama kumpulan The Boys. Ella pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi tempatan pertama merakamkan album penuh di Amerika Syarikat.
Ads
Serta, bergelar penyanyi wanita pertama tempatan yang mencapai jualan album terbanyak dan sehingga kini masih tiada saingan.
“Alhamdulillah, sepanjang 30 tahun dalam industri ini banyak pengalaman yang saya perolehi. Syukur dan terima kasih atas penganugerahan ini. Satu penghargaan dan sokongan buat saya. Ini juga membuktikan segala usaha saya selama ini sentiasa menjadi perhatian.
Untuk terus kekal dalam industri dan bergelar legend sebenarnya bukan mudah. Bukan sehari dua untuk menggapainya kerana ia memerlukan masa untuk menjadi yang terbaik.
Sumber kekuatan dan inspirasi semestinya suami, ibu dan adik beradik saya. Selain itu saya juga menginspirasikan Neelofa, ratu squash negara iaitu Datuk Nicol Ann David serta Datuk Faridah Hanim (Ibu Hanim).”
Kredit Foto: Instagram @ellaaminuddins @azzharzzs
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Usahawan dan pemilik bersama salun ChezKamya Professional, Erna Elliyana Rosli tidak menyangka apabila video aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Selangor baru-baru ini tular di media sosial.
Lebih mengejutkan, video yang dimuat naik seorang pengguna Twitter meraih lebih 90,000 tontonan dan ratusan komen di platform terbabit.
Teruja dengan maklum balas positif yang diterima orang ramai, Erna yang juga penerima NONA Beauty & Health Brand Award NONA SUPERWOMAN 2022 memuat naik video di Instagram bagi berkongsi rasa terharunya.
“Tempoh hari saya ada berkongsi video ‘snippet’ Setia Hingga Akhir Hayat yang mengandungi klip temu bual bersama penghuni di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.
“Apa khabar agaknya pakcik Omar, pakcik Ayud, cikgu Maimunah, makcik Kiah dan seluruh penghuni-pengguna berkenaan? Saya doakan semoga semua dalam keadaan sihat.
“Tanpa disangka video yang dikongsi itu mendapat perhatian warganet di mana video tersebut dikongsikan oleh pengguna Twitter. Terima kasih banyak saya ucapkan. Semoga video itu menyebarkan kebaikan kepada pengikut-pengikut anda.
“Pelbagai reaksi diberikan, rata-rata meluahkan rasa sayu dan sedih. Saya juga merasakan hal yang sama. Namun saya sembunyikan perasaan sedih kerana tujuan saya bersama rakan kongsi Chez Hamdan dan pasukan ke sana untuk bertanya khabar dan menghiburkan hati mereka,” katanya.
Menurut Erna, kali ini dia dan pasukan ChezKamya Professional tampil dengan idea baharu iaitu menyantuni dan memberi pengalaman baru kepada warga emas di rumah kebajikan itu.
“Objektif kami adalah untuk memberi pengalaman baharu kepada mereka untuk merasai sentuhan dandanan rambut dari ChezKamya Professional.
“Selalunya Chez Hamdan menata rias rambut selebriti seperti Nad Zainal, Norman Hakim, Hairul Azreen, Shiha Zikir dan ramai lagi, tapi kali ini kita makeover warga emas pula. Sekurang-kurangya ada kelainan berbanding kebiasaan aktiviti yang kita dilakukan di ChezKamya Professional,”katanya.
Mengaku kehadirannya di pusat kebajikan itu menjentik emosi dan hampir mengalirkan air mata, namun Erna cuba mengawal perasaan dan bersikap profesional.
“Kalau ikutkan saya seorang yang mudah tersentuh. Orang kata hati tisu kerana saya sudah kehilangan ibu sewaktu berusia enam tahun. Ketika itu saya berlakon dalam filem Suami Isteri dan … . Pertengahan penggambaran filem itu, ibu saya meninggal dunia iaitu Allahyarham Hasnah Ibrahim.
“Saya selalu merindui ibu saya kerana dah lama (meninggal dunia). Sekarang usia saya 34 tahun. Sewaktu kehilangan ibu, saya baru nak memasuki darjah satu, tapi apa yang saya lakukan adalah selalu positif kerana saya selalu mengingatkan diri setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah.
“Saya kini menjadi seorang yang dewasa, matang dan goal-oriented selain selalu doakan Allahyarham ibu sentiasa di dalam rahmat dan di sisi Allah SWT. Justeru apabila saya melihat keadaan mereka di pusat jagaan itu, ada antara meraka yang ditinggalkan anak sedangkan mereka sepatutnya berada bersama keluarga untuk bergembira, selalu berkongsi masalah, sebaliknya pula yang berlaku dan ia sangat meruntum jiwa saya.
“Namun begitu, tidaklah semua kisah itu kisah yang menyedihkan seperti yang dikongsikan oleh pakcik Omar yang tidak pernah berkahwin dan pilihan menetap di rumah jagaan orang tua adalah sangat menyeronokkan sebab boleh melakukan macam-macam aktiviti dengan rakan-rakan,”katanya.
Berkat berkongsi rezeki dengan insan yang memerlukan, Erna turut menerima berita gembira di awal tahun apabila menerima pengiktirafan NONA Beauty & Health Brand Award di majlis NONA SUPERWOMAN 2022 baru-baru ini.
Dalam masa sama, Erna turut berkongsi beberapa pengalaman menarik ketika bertemu dengan beberapa warga emas yang sangat positif dan bersikap terbuka.
“Selain itu, saya berjumpa dengan Cikgu Maimunah yang merupakan seorang balu tapi tidak mempunyai anak. Masa dia dihantar oleh anak saudaranya, dia berada dalam keadaan lumpuh dan perlu dapatkan terapi serta makan ubat. Alhamdulillah dengan kuasa Allah dan berkat usahanya serta tawakal kepada Allah dia sihat.
“Di Rumah Jagaan Dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas ini selain ada bekalan perubatan yang di subsidari dari kerajaan dan ada kakitangan terlatih untuk menjaga mereka, mungkin itu salah satu sebab saya rasa ada segelintir anak-anak menghantar ibu bapa mereka ke sini suapaya kesihatan dan aktivti seharian dapat dipantau.
“Itu dari sudut positif yang diceritakan namun saya percaya ada juga kisah sebaliknya di mana segelintir penghuni yang dibuang anak-anak oleh kerana faktor keuzuran, harta atau kisah itu tidak diceritakan kepada kami kerana sebahagian besar mereka mengalami masalah Alzheimer .
“Walau apapun saya sama sekali tidak menyokong tindakan anak-anak muda menghantar ibu bapa ke rumah orang tua kerana kita harus sedar tiada ibu bapa tiada lah kita. Mereka sejak kecil sudah bersusah payah untuk menjaga, hantar sekolah dan beri makan. Tak wajar kalau kita tidak bersusah payah untuk menjaga mereka sekarang. Adakah ini pengakhiran yang kita mahukan bila kita sudah tua? Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak melakukan sedemikian kepada kita,”katanya.
Dalam video berdurasi sembilan minit yang dikongsikan, Erna turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa.
“Ibu bapa kita adalah raja dan permaisuri dalam hidup. Saya selalu ingat pesan ustaz saya iaitu dalam dunia ini ada beberapa rahmat percuma yang kita harus manfaatkan. Pertama melihat kaabah, kedua laut, ketiga Al-quran dan terakhir wajah kedua-dua ibu bapa. Kita perlu manfaatkan momen selagi ibu bapa kita masih hidup. Ingt doa ibu bapa tiada hijab.
“Dalam Al-Quran selalu sebut kalau nk buat apa-apa kebajikan terutama sekali buat kepada ibu bapa, kaum kerabat, diikuti dengan anak yatim. Kemudian baru kepada orang lain. Itu yang selalu saya tanamkan. Macam saya walaupun tiada ibu, tapi saya dikurniakan ibu mentua yang sangat penyayang dan menyayangi saya sama seperti anak-anak perempuannya yang lain. Syukur kepada Allah.
“Saya harap masa akan datang kita dapat melakukan program CSR sebegini untuk ChezKamya Professional supaya banyak lagi manfaat kita boleh kongsi bersama dengan orang di sekeliling kita. Akhir kata, hargailah orang tua kita sementara mereka masih ada. Sayang itu siapa… siapa ibu bapa kita,”katanya.
Terdahulu video program CSR yang dimuat naik Erna di Instagram tular di media sosial apabila terdapat beberapa pengguna media sosial yang berkongsi momen hiba itu di platform media sosial mereka.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Buat kaum wanita yang disayangi, anda semua wanita hebat. Anda hebat kerana anda adalah penyumbang kepada ekonomi negara. Ramai usahawan wanita yang hebat-hebat bermula dari asal sejarah lampau yang meninggalkan kesan luka teramat dalam.
Namun begitu, kerana sakit aku bangkit, kerana hinaan aku bangkit, terima kasih kesakitan kerana dengannya aku belajar berjuang, sehingga kita tidak pernah rasa menyerah kerana aku mempunyai impian dan mimpi-mimpi yang pasti menjadi kenyataan. InsyaAllah.”
Nur Hati Amran, terus mengorak langkah menggapai cita-cita. “Bermulalah perniagaan pertama saya di utara, Ai Florist menjual pelbagai jenis tudung bawal ciptaan saya sendiri mengikut design yang dilakar dengan gabungan pelbagai warna.
Pada mulanya perniagaan maju sehingga diuji sekali lagi dengan isu tudung diciplak. Tudung rekaan saya ditiru kerana saya tak trademark branding. Kedai terpaksa ditutup dan banyak sekali ujian lain yang menimpa, orang mungkin tak nampak semua itu.
Saya mula merasakan perniagaan bagai di hujung tanduk sewaktu saya menghidupkan lesen SSM. Waktu itu baki dalam beg duit saya hanya ada RM5 sahaja. Terduduk sejenak di kerusi SSM dengan memegang duit RM5. Tak sedar menitik air mata lalu saya berkata pada diri sendiri, ‘Ini sahaja duit yang tinggal. Macam mana aku nak teruskan perniagaan ni?’
Tiba-tiba terlintas di fikiran untuk buat event. Saya beli topup RM5 dan post gambar kuih dan tudung saya dekat Facebook. Alhamdulillah saya peroleh RM50 pada hari tu. Saya tersenyum kerana dapat beli beras untuk rumah.
Waktu itu bibik saya 3 bulan tidak bergaji dan dia masih setia. Dia selalu beri semangat pada saya, ‘Puan mesti berjaya! Puan mesti bangkit!’ Tanpa membuang masa, saya buat kertas kerja event pengantin dan fesyen. Idea itu saya bentangkan ke Amanjaya Mall, Alor Setar Kedah.
Dengan pengalaman saya dalam dunia bridal, saya berjaya meyakinkan pihak Mall hanya berbekalkan air liur dan kertas kerja. Setelah persetujuan dibuat, saya mula buat marketing menjual lot-lot tapak event kepada butik-butik pengantin dan vendor makanan dengan harga lot RM2800. Alhamdulillah, akhirnya semua lot laku dan duit-duit tersebutlah saya dapat bayar kepada pihak Mall untuk mengadakan event.
Pengajaran di sini, TIADA yang TIDAK! Ibarat ulat yang dalam batu pun boleh hidup. Selain daripada kita minta pertolongan dari Allah SWT, kita perlu sertakan dengan tindakan dan usaha dengan cara yang betul.
Keuntungan daripada event ini juga saya bernafas kembali. Saya mula buat marketing dan masukkan design baju dan tudung saya dalam Majalah Nur. Sewaktu itu juga saya terpilih sebagai salah seorang peserta rancangan Ratu Rania di Astro wakil utara, namun bukan rezeki saya dalam rancangan tersebut dan berhenti sampai di situ sahaja.
Saya terus bangkit dengan membuat event bazar Ramadan, alhamdulilah lot bazar tersebut penuh. Di sini saya belajar berdepan dengan peniaga bazar Ramadan dengan macam-macam kerenah dan kehendak.
Dari situ saya yakin bahawa setiap perniagaan pasti mempunyai risiko dan tiada satu perniagaan yang tiada jatuh bangunnya. Dan tiada satu perniagaan yang sentiasa manis tanpa pahitnya kerana inilah dunia perniagaan. Pendek kata, jatuh bangun berkali-kali adalah satu hal yang amat terkesan sehingga kini,” bicara Nur Hati.
Tanpa kenal erti putus asa, Nur Hati mencuba pelbagai perniagaan sebenarnya. “Saya pernah keluarkan madu jenama sendiri tetapi gagal. Saya juga pernah keluarkan produk pencuci wanita dan jamu pun gagal. Saya gagal dua kali dalam perkahwinan, biarpun saya tak pernah tuntut harta sepencarian bersama. Saya diam kerana saya perlu bangkit dan berusaha untuk jadi seorang jutawan.
Permulaan Popiah Mini Mama udang bersira di utara tidak diterima di mulut pelanggan kerana manis di luar mereka tak pernah cuba. Kesilapan saya ketika itu tidak membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum keluarkan produk. Sehingga 100 botol baki yang tak habis dijual di event bazar Ramadan di Amanjaya Mall, saya berikan kepada Masjid.
Di sini mungkin ‘doa’ hamba Allah yang terima 100 botol popiah udang bersira dimakbulkan. Sehingga kini Eijaz Food berkembang melahirkan lebih 50 produk makanan tanpa bantuan mana-mana pinjaman. Keuntungan yang diterima, saya tak beli kereta mewah dan sebagainya. Hanya tambah produk, perbaiki dari aspek pembungkusan dan sebagainya,” ujar Nur Hati.
Memegang impian untuk jadi usahawan berjaya dan contoh pada ramai wanita, Nur Hati terus memberi kata semangat. “Orang yang lahir dari keluarga sederhana buktikan bahawa bukan status membezakan kita tapi semangat, usaha, tindakan dan kesungguhan yang membentuk siapa diri kita hari ini. Bagi saya pengalaman lampau yang pedih adalah pelajaran yang amat bermakna.
Saya masih berjuang untuk produk saya, diharapkan satu hari nanti boleh naik di papan tanda highway dan dipasarkan ke serata pasar raya. Masih panjang perjalanan ini, selagi dinamakan hidup jangan pernah putus asa.
Saya menyimpan harapan untuk bina pusat tahfiz sebagai saham akhirat saya dan membantu lebih ramai ibu tunggal kerana saya pernah rasa betapa sakitnya berjuang sebagai ibu tunggal. Saya juga nak bagi peluang kerja kepada ramai anak yatim kerana saya anak yatim.
Saya tidak mahu lahir di dunia sekadar lahir dan pergi sekadar pergi tanpa tinggalkan kebaikan yang boleh diguna pakai dalam perjalanan sebagai hamba Allah di bumi ini… InsyaAllah,” akhiri Nur Hati dengan tenang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap kegigihan dan ketekunan itu pasti akan berbayar. Selagi kita punya usaha yang tinggi untuk memperbaiki diri, InsyaAllah akan berhasil dengan rezeki sempurna. Namun setelah sukses digenggam, fokus kita cuma satu untuk menjadi seorang yang bernilai di dunia serta akhirat.
Roslinda binti Muhamad Yusof, 34 tahun, seorang ibu tunggal yang gigih mencari rezeki untuk membesarkan dua orang anaknya, Lisa Amanda, 9 tahun dan Rayyan Isaac, 8 tahun. Impiannya kini tercapai bila berjaya membuka spa kecantikan.
“Saya akui dalam keadaan pandemik sebelum ini, bisnes banyak terjejas terutamanya dalam bidang spa facial. Sepanjang COVID melanda, kami diarahkan tutup sehingga kes menurun. Namun sewa kedai tetap berjalan dan perlu dibayar seperti biasa. Banyak benda yang terpaksa dikawal termasuk perbelanjaan harian untuk menyara kedua-dua anak saya serta komitmen yang lain,” jelas Roslinda tenang.
Terus bercerita tentang pengalaman berniaga, Roslinda senang berkongsi kisah yang dilaluinya, “Pada tahun 2015 saya mula berniaga dengan membuka jualan carboot di pasar raya. Saya menjual pelbagai pakaian fesyen wanita selama 2 tahun. Inilah cara saya mula bertapak berniaga secara kecil-kecilan, demi mencari rezeki yang halal. Untung tak banyak tapi cukup untuk kami anak-beranak.
Sehinggalah pada tahun 2017, saya diperkenalkan dengan perniagaan mobile spa networking oleh seorang rakan. Kerana minat yang mendalam terhadap bidang kecantikan, saya belajar ilmu tentang penjagaan kulit dan wajah.
Maka bermulalah perjalanan saya membuat rawatan wajah dari rumah ke rumah, alhamdulillah permintaan sentiasa ada dan ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Sehinggalah saya mencipta kejayaan dalam bidang tersebut sehingga diberi peluang melancong ke luar negara secara percuma oleh pihak syarikat produk kecantikan yang saya gunakan.
Saya sering dilantik menjadi speaker tentang ilmu kecantikan dan berjaya membimbing hampir 100 orang pemilik spa Malaysia di bawah saya.
Pada tahun 2019, saya pernah cuba untuk membuat produk sendiri, tetapi sayangnya bukan rezeki saya. Perniagaan tersebut mampu bertahan selama setahun sahaja. Mungkin disebabkan kekurangan ilmu dalam menguruskan perniagaan yang betul menyebabkan saya gagal.
Namun, saya tidak sama sekali berputus asa. Dengan pengalaman dan rintangan kehidupan peribadi yang saya lalui, kini saya telah memiliki spa kecantikan sendiri atas hasil usaha saya selama ini. Setiap kali memandang kedua-dua wajah anak saya, mereka adalah sumber kekuatan untuk saya bangkit dan terus berusaha tanpa berputus-asa,” ujar Roslinda.
Kala mengimbas kenangan lalu, terlalu banyak pengalaman air mata yang dilalui untuk diceritakan. “Saya teringat suatu ketika dulu sewaktu mengumpul modal untuk berniaga, setiap hari saya menabung demi mengambil stok pakaian untuk dijual di carboot.
Ada satu ketika dalam keadaan cuaca yang tidak baik, hujat lebat-selebatnya. Saya tak sempat untuk menyimpan pakaian tersebut dengan selamat, lalu semua pakaian itu telah rosak dan tidak dapat dijual.
Saya mengalami kerugian dan terpaksa berhenti niaga kerana telah kehabisan modal untuk membeli stok baru. Namun apa yang menyuntik kembali semangat buat saya apabila melihat kedua-dua anak yang menaruh harapan besar kepada saya sebagai seorang ibu untuk membesarkan mereka dengan sempurna. Saya terus bangkit berusaha tanpa menoleh ke belakang lagi.”
Dugaan itu adalah proses untuk mencapai kejayaan, “Bagi saya setiap ujian yang datang pasti ada hikmahnya. Apa yang perlu dan seharusnya kita lakukan adalah bersabar dan tetap berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan.
Kita perlu berada dalam circle kawan-kawan yang positif supaya mereka dapat memberi aura yang positif dan selalu meniup rasa semangat untuk majukan diri kita sendiri. Yang membezakan kegagalan dan kejayaan adalah TINDAKAN. Tindakan yang tidak pernah habis dan sentiasa menggali ilmu baru, insyaAllah akan ada sinar menanti,” ujar Roslinda.
Harapan Roslinda kini untuk menjadi seorang ibu dan individu yang lebih baik daripada dulu dan hasratnya untuk memperluaskan lagi cawangan spa yang dimiliki ke Kuantan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.