Dulu Lincah Di Pentas, Kini Ratu Rock ELLA Ligat ‘Bermain’ Tanah Di Ladang Cili

Nama ratu rock negara, Ella Aminuddin yang terkenal dengan trademark manja “Ella Rasa” kini kekal unggul. Aura living legend yang manis bertudung dalam usia 50an ini ternyata masih berbisa walaupun dah 30 tahun dalam industri seni tanahair.

Rangkaian lagu-lagu terhebat Ella seperti Dua Insan Bercinta, Nuri, Gemilang, Pengemis Cinta, Layar Impian, Sembilu dan Kesal masih menjadi siulan sampai ke saat ini.

PENGUSAHA LADANG CILI
Ramai yang dah tahu Ella dan suaminya, Kapten Azhar Ghazali kini bergelar usahawan pertanian. Tak sangka, di sebalik kelincahan Ella menyanyi di pentas rupa-rupanya juga telah bergelar usahawan cili yang berjaya. Wah hebatnya!

Ella dan suami mengusahakan tanaman fertigasi cili ini sejak dua tahun lalu yang melibatkan tiga ladang berkeluasan 1.2 hektar. Benih cili yang dipilih pula pastinya yang berkualiti tinggi.

“Sebenarnya minat dalam bidang bisnes ni memang dah lama ada. Kebetulan pula saya gemar bercucuk tanam antaranya menanam cili.

Bermula dari situlah kami ambil keputusan untuk tukarkan minat itu menjadi satu perniagaan. Bukan saja mendatangkan keuntungan bahkan memberi inspirasi buat mereka yang berhasrat menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Hasil tanaman cili kami pasarkan ke kedai-kedai runcit, restoran, pasaraya dan pertubuhan pemasaran hasil tani. Sekarang saya berpeluang memberi tumpuan secara serius terhadap bisnes.

Saya harap lebih ramai lagi golongan muda melibatkan diri dalam bidang pertanian kerana ia menjanjikan masa depan yang baik dan jaminan simpanan keselamatan makanan untuk negara.

Saya juga yakin dengan potensi perniagaan pertanian yang dapat menjana pendapatan lumayan jika dibuat dengan betul dan bersungguh-sungguh.

Bagi saya, hikmah di sebalik COVID-19 ialah menyedarkan kita agar sentiasa bersyukur dan menghargai apa yang ada di sekeliling kita.”

Ella turut berkongsi dia bakal mengeluarkan beberapa rangkaian produk kesihatan pada tahun hadapan.

PENERIMA NONA LEGEND AWARD
Karier seni Ella sebagai penyanyi bermula sekitar tahun 1985 bersama kumpulan The Boys. Ella pernah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi penyanyi tempatan pertama merakamkan album penuh di Amerika Syarikat.

Serta, bergelar penyanyi wanita pertama tempatan yang mencapai jualan album terbanyak dan sehingga kini masih tiada saingan.

“Alhamdulillah, sepanjang 30 tahun dalam industri ini banyak pengalaman yang saya perolehi. Syukur dan terima kasih atas penganugerahan ini. Satu penghargaan dan sokongan buat saya. Ini juga membuktikan segala usaha saya selama ini sentiasa menjadi perhatian.

Untuk terus kekal dalam industri dan bergelar legend sebenarnya bukan mudah. Bukan sehari dua untuk menggapainya kerana ia memerlukan masa untuk menjadi yang terbaik.

Sumber kekuatan dan inspirasi semestinya suami, ibu dan adik beradik saya. Selain itu saya juga menginspirasikan Neelofa, ratu squash negara iaitu Datuk Nicol Ann David serta Datuk Faridah Hanim (Ibu Hanim).”

Kredit Foto: Instagram @ellaaminuddins @azzharzzs

IKLAN
Share