
Tiada lagi jodoh. Walau dah lebih sedekad hidup bersama sebagai suami isteri namun itu bukan jaminan Perdana Menteri Kanada ini terus bahagia dalam perkahwinan. Desas-desus kemelut rumah tangga pemimpin utama Kanada ini mula dihidu rakyat di sana sehinggalah Justin Trudeau mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai rumah tangganya di media sosial baru-baru ini.
Ujar Perdana Menteri berusia 51 tahun itu, dia dah bekas isteri iaitu Sophie Gregoire Trudeau sepakat mengakhiri perkahwinan dan menjaga hubungan baik demi anak-anak.
Justin dan Sophie berusia 48 tahun umum penceraian selepas 18 tahun hidup bersama. Mereka terbuka mendedahkan kesukaran dalam hubungan sejak beberapa tahun kebelakangan ini selain jarang bersama di khalayak ramai.




Pasangan ini berkahwin pada Mei 2005 dan dikurniakan tiga anak iaitu Xavier James Trudeau dilahirkan pada Oktober 2007, anak perempuan Elle-Grace Margaret Trudeau dilahirkan pada Februari 2009 sementara anak bongsu, Hadrien Trudeau pula lahir pada Mac 2014.
Sophie memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang perdagangan di McGill University dan mahu mengikut jejak langkah bapanya sebagai stockbroker.
Namun selepas menyedari ia bukan impian yang didambakan selama ini, Sophie memilih melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi di l’Universite de Montreal.




Mereka dikatakan mula mengenali satu sama lain ketika zaman kanak-kanak lagi dan dipertemukan semula dalam satu majlis amal yang menyaksikan pasangan sejoli ini menjadi pengacara bersama sebuah program pada tahun 2003.
Justin memberitahu dia terpaksa melalui kenangan menyakitkan apabila bapanya yang juga bekas Perdana Menteri, Pierre Trudeau berpisah dengan isteri, Margaret pada tahun 1977 ketika memegang jawatan pemimpin nombor satu itu.
Artikel lain https://www.nona.my/ada-rm6-9-bilion-tapi-tak-pakai-pun-barang-mewah-bilionair-muda-ini-diajar-tak-boros/
Anak Bongsu 14 Beradik, CELINE DION Bukan Berasal Keluarga Kaya & Berjaya Atas Kaki Sendiri!

Sebut sahaja nama Celine Dion pasti ramai yang terkenangkan lagu ikoniknya dalam filem Titanic, My Heart Will Go On. Bakal mencecah usia 54 tahun pada 30 Mac nanti, aura dan suara penyanyi kelahiran Kanada ini masih ‘laku’ dan berbisa. Buktinya, nilai kekayaan Celine hingga ke hari ini dianggarkan mencecah USD 800 juta!
Dari zaman kanak-kanaknya yang tidak semeriah rakan sebaya lain, hingga kehilangan suami tersayang, Rene Angelil, Celine Dion telah melalui pelbagai cabaran hidup yang seterusnya membuktikan dia bukan sekadar penyanyi hebat di pentas malah seorang pejuang!
Megastar ini merupakan anak bongsu daripada 14 beradik. Dia mempunyai lapan kakak iaitu Claudette, Ghislaine, Linda, Liette, Louise, Pauline, Manon dan Denise. Manakala lima orang abang bernama Clement Dion, Paul, Jacques, Michel Dondalinger dan Daniel. Celine tidak berasal dari keluarga kaya namun dia berbangga kerana dibesarkan dengan penuh kasih sayang.





Dengan ahli keluarga yang ramai, rumah mereka di Quebec menjadi terlalu padat. Berdasarkan laporan portal The List, biarpun mengalami kekangan dari segi kewangan, Celine memberitahu mereka sekeluarga tetap bahagia dengan cara sendiri.
“Kami tiga ke empat orang tidur atas katil yang sama dan saya tak ada bilik tidur sendiri. Kami diberi sepenuh kasih sayang, sokongan dan perhatian yang secukupnya. Apa lagi yang kami mahukan?”
Celine dilahirkan di Quebec, Kanada dan seluruh ahli keluarga meminati bidang muzik. Ketika dia masih bayi, kedua-dua ibu bapanya, Adhemar-Charles dan Therese Tanguay Dion sudah mula mendedahkannya kepada dunia muzik.
Memetik laporan People, Celine menjadikan ibunya sebagai inspirasi kerana kagum dengan bakat dan semangat ibu tersayang dalam bidang berkenaan. Dia memulakan karier nyanyian ketika baru berusia 12 tahun dan menghantar demo nyanyiannya kepada Rene Angelil yang waktu itu merupakan penerbit muzik dan mengurus kerjaya penyanyi Perancis, Ginette Reno.






Kesemua adik-beradik Celine berbakat dalam bidang seni namun bakatnya lebih menyerlah. Sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi, Celine berjaya meraih pelbagai penganugerahan termasuk anugerah Grammy dan Academy Award.
Album pertamanya dalam Bahasa Inggeris diterbitkan pada tahun 1990 yang melonjakkan namanya ke persada muzik antarabangsa.
Meskipun kisah rumah tangga Celine dan suaminya bukan lagi rahsia, mereka berdua sebenarnya mula bertemu ketika penyanyi tersebut berusia 12 tahun. Walau berbeza usia 26 tahun, pasangan ini sangat bahagia.
Rene bagaimana pun meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2016 dan Celine dikatakan melalui detik sukar selepas kehilangan insan tersayang. Biarpun sudah enam tahun mendiang suaminya meninggal dunia, namun cinta Celine terhadap Rene masih segar hingga ke hari ini.



“Saya mungkin akan bersedih (kematian suami) sepanjang hidup saya. Saya masih mencintainya dan saya juga mempunyai kasih sayang daripada anak-anak, peminat dan mereka yang pernah bekerja dengan saya. Hidup saya tidak pernah kosong dengan cinta dan kasih sayang.”
Sepanjang perkahwinan bersama Rene, Celine mengalami masalah kesuburan dan sukar untuk hamil. Setelah berkali-kali menjalani prosedur in vitro fertilization (IVF) dia akhirnya memiliki tiga orang anak.
Selepas melahirkan anak pertama, Rene-Charles, Celine menjalani enam kali prosedur IVF sebelum hamil anak kembar, Nelson dan Eddy.
Keazaman Celine untuk menimang anak sangat tinggi sampai dia sanggup ‘mempertaruhkan’ kerjaya seninya yang sedang berada di puncak demi seorang zuriat. Buktinya, Celine sanggup menangguhkan persembahan selepas menandatangani kontrak dengan Caesars Palace semata-mata kerana mahu menjalani rawatan kesuburan.





Jika kebanyakan selebriti lebih privasi mengenai kehidupan mereka, Celine pula berbeza. Dia selesa berkongsi perjalanan dan kisah hidupnya kepada umum dan kerana itu juga dia disayangi ramai peminat.
Pada Januari 2020, ibu Celine Dion dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan meninggal dunia ketika berusia 92 tahun. Pemergian Terese nyata memberi kesan besar dalam diri Celine.
Dalam pada itu, Celine pernah mendedahkan salah satu rahsianya mengekalkan tubuh badan ideal ialah dengan mengamalkan pemakanan sihat dan mempunyai tidur yang cukup. Tidak ketinggalan, dia juga gemar menari terutamanya tarian balet.
5 Tip Mengubat Rindu Cinta Jarak Jauh, No. 3 Tu Sangat Perlu!

Hubungan cinta jarak jauh pasti membebankan bagi sesetengah pasangan. Tidak kiralah yang sudah bertunag, berkahwin atau masih dalam fasa percintaan. Lagi-lagi dalam keadaan sekarang ini. Perintah Kawalan Pergerakan yang disarankan kerajaan pasti menghalang anda untuk terus berjumpa dengan pasangan dalam tempoh yang agak lama.
Rasa rindu yang cukup mendalam antara satu sama lain amat mendalam kerana jarang sekali untuk bertemu atas urusan yang tidak dapat dielakkan. Perasaan jadi tidak menentu dan ada kalanya menimbulkan persoalan adakah si dia disana setia dan masih mencintai.
Mungkin anda sendiri pernah mengalami perasaan ini hingga menjadi tidak keruan akibat rindu yang berlebihan. Jom Nona kongsikan 5 tip pengubat rindu bagi anda yang menjalinkan hubughan cinta jarak jauh!
1. TERUS BERHUBUNG
Biar hanya seketika pastikan anda berdua akan terus berhubung setiap kali sebelum menamatkan hari-hari anda. Skype, Google Talk atau panggilan sekadar lima minit pun memadai mahupun hanya ucapan selamat malam. Ini bukti cinta anda masih utuh buatnya.
Namun usah lakukan kerana terpaksa dan pastikan anda sentiasa ada setiap kali si dia mahu berkongsi cerita. Selagi pasangan anda masih mahu berhubung maknanya si dia masih lagi serius untuk meneruskan hubungan yang dijalin walau jarak waktu dan masa memisahkan anda berdua.
2. EKSPRESIKAN PERASAAN BUAT SI DIA
Sedangkan pasangan yang sering bersama pun kadang sukar untuk menyatakan perasaan sebenar apatah lagi mereka yang bercinta jarak jauh. Namun ada cara bagaimana anda boleh memperbetulkan situasi ini. Dr. Gary Chapman menerusi artikelnya The Five Love Languages for Singles, menyatakan cara terbaik meluahkan perasaan adalah dengan pemilihan kata dan ayat yang betul kepada pasangan anda.
Usah mudah terlarut emosi ketika menyatakan sayang atau rindu kerana itu belum tentu akan membuat pasangan anda selesa malah lebih teruk merimaskan. Apa yang boleh dilakukan, hantarkan kiriman kata-kata pujangga cinta melalui e-mel berserta lagu yang tepat dengan perasaan anda ketika itu. Hal ini merupakan salah satu saluran yang boleh anda lakukan untuk mengekspresikan perasaan kepada si dia.
3. TULUS DAN SETIA
Syarat pertama harus jujur dan telus. Tiada apa yang boleh kekal lama tanpa ketulusan juga ketelusan dalam mengukuhkan sesuatu perhubungan. Jika syarat ini tidak berjaya dipegang kedua-dua belah pihak maka kasih dijalin hanya sekadar di permukaan, sama ada kerana takut putus atau sekadar bermain tarik tali.
Dr. Greg Guldner, pengarang Long Distance Relationship : The Complete Guide menyatakan 70% daripada pasangan yang mengalami epidemik cinta sebegini selalunya gagal dalam mempertahankan perhubungan kerana tidak mampu membiasakan diri dengan perubahan yang berlaku bila berhadapan dengan situasi baru ini.
4. BERIKAN KEJUTAN
Kejutan manis buat si dia adalah perkara yang sentiasa boleh anda fikirkan. Tidak salah wang yang anda laburkan setiap kali keluar bersama dulu dikumpul dan gunakan untuk memberi kejutan dengan mengunjungi si dia yang jauh. Hal ini pasti saja akan memberi keterujaan kepada pasangan selain menjadi bukti sayang kepada si dia.
Jika masih belum mampu untuk melakukan perkara tersebut banyak kejutan lain boleh diberi seperti mengirimkan CD band tempatan kegemarannya atau membuat kolaj memori, kompilasi komunikasi anda berdua di media sosial seperti Yahoo Messenger dan jadikannya satu himpunan seakan cerpen. Pasti akan membuat si dia tersenyum kembali ketika membacanya.
5. RAIKAN MASA SENDIRI
Cipta hobi serta minat baru agar masa lapang yang selalunya anda habiskan bersama si dia terisi. Dekatkan diri dengan aktiviti kesukaan anda seperti membeli-belah, bersukan atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan anda.
Aktiviti begini mampu menukar duka sendiri anda selain memberi pengalaman berbeza ia juga pasti akan membikin si dia ingin tahu lebih lagi tentang aktiviti yang anda lakukan. Elakkan dari bersendirian dan ia boleh menyebabkan anda sentiasa teringatkan si dia. Penuhi hari demi hari anda dengan aktiviti berfaedah dan boleh menceriakan hari anda!
Uruskan Keluarga Tanpa Pembantu, DATIN ANNE NGASRI Amalkan Zikir & Istighfar Sebagai Terapi Jiwa

Sejak dulu sampai kini suka tengok raut wajah Datin Anne Ngasri yang sentiasa nampak baby face walaupun dah berusia 35 tahun. Kalau kata belasan tahun pun orang akan percaya, lebih-lebih lagi kalau Datin Anne Ngasri bergambar bersama anak-anaknya. Comel sangat!

Saat ditanya apa rahsianya, ini jawapan Datin muda ini. “Petua saya mudah saja. Saya amalkan banyak minum air suam termasuk ambil vitamin C serta buah-buahan. Kalau dalam seminggu tak dapat makan buah, saya rasa macam ada sesuatu yang tak lengkap.

Ramai juga yang tanya saya pakai apa untuk kulit, nampak cantik dan sentiasa muda remaja. Semestinya saya menggunakan produk ‘Glopink Beauty Skin by Anne Ngasri’ secara konsisten selama empat tahun. Alhamdulillah ia membantu dalam merawat masalah jerawat dan jeragat.
Bagi saya apa jua produk skincare yang kita guna, selain mesti sesuai dengan kulit pastikan juga kita konsisten menggunakannya,” kongsi Datin Anne Ngasri yang turut memiliki jenama tudung sendiri iaitu ‘AnneNgasri Exclusive’.

URUS KELUARGA TANPA PEMBANTU
“Tahun ini sudah masuk dua tahun saya menguruskan keluarga dan menjaga sendiri 6 orang anak tanpa pembantu. Sepanjang tempoh ini saya banyak habiskan masa di rumah. Walaupun penat namun saya gembira dan enjoy melakukannya demi keluarga.

Ramadan baru-baru ini mencabarlah juga kerana saya perlu memasak mengikut selera anak-anak sahaja. Namun alhamdulillah suami dan anak-anak yang sudah besar banyak membantu saya di rumah. Terawih tahun ini pun meriah sebab semua dapat solat berjemaah bersama-sama. Alhamdulillah.
Saya kurangkan aktiviti-aktiviti seni, sebab itulah saya jarang muncul di kaca televisyen. Kalau keluar pun kadang-kadang sahaja, itupun hanya untuk membeli barangan keperluan.”
Datin Anne Ngasri bercerai secara rasmi dengan suami pertama, Abdul Wafi Hassan pada 25 Mac 2010. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak. Kemudian Datin Anne Ngasri bernikah dengan Datuk Mohd Sumali Reduan, 48, pada 22 Disember 2012 dan dikurniakan dua orang anak.

Anak-anak Datin Anne ialah Suffian Hakim (anak Datuk Mohd Sumali Reduan hasil perkahwinannya yang terdahulu) kini berusia 15 tahun. Anak-anak Datin Anne yang lain ialah Abdul Warits Abdul Wafi (14), Abdul Wafri Abdul Wafi (12), Nazharah Afroza Abdul Wafi (8), Sufi Harraz (7) Mohd Sumali, dan Nefa Naura Mohd Sumali (2).
KONGSI TIP JAGA ANAK RAMAI
“Menguruskan anak yang ramai kadangkala membuatkan ibu-ibu mudah penat dan stres. Itu saya tak nafikan. Saya faham kerana kita sebagai manusia memang tak boleh lari daripada ujian. Apa yang saya amalkan ialah sentiasa berzikir dan beristighfar setiap kali melakukan kerja-kerja rumah. InshaAllah akan berkurang stres.
Secara tak langsung jiwa pun akan terasa lebih tenang kerana apa jua yang kita lakukan adalah ibadah. Atas pertolongan Allah SWT jugalah segala urusan kita dipermudahkan.

Allah SWT menjadikan wanita sebagai seorang yang lembut jiwanya walaupun luaran nampak kasar atau lasak. Wanita juga seorang yang cukup teliti. Jadi, jangan terlalu memaksa diri kita untuk melakukan semua kerja dalam satu masa. Lakukan secara perlahan-lahan, InshaAllah semuanya akan selesai dengan baik.
RINDU KELUARGA MENTUA
Kalau keadaan kembali pulih, perkara pertama yang akan saya lakukan ialah pulang ke Kampung Benut. Rindu sangat pada mak mentua dan ipar duai di sana. Selalunya dua kali sebulan kami pasti akan pulang ke Kampung Benut. Dalam keadaan sekarang memang terasa sangatlah bila tak dapat buat perkara yang sama. Tak mengapalah, pasti ada hikmahnya bila kita bersabar.

Saya tetap bersyukur kerana kami masih dapat berhubung. Teknologi sekarang pun sudah maju, dapatlah menatap wajah-wajah yang dirindui melalui panggilan video. Manakala rumah ibu saya pula memang dah dekat dengan rumah kami, jadi tiada masalah untuk kami berjumpa. Lagipun, setiap hari biasa anak-anak saya akan transit di rumah ibu untuk ke kelas agama.
PERKONGSIAN
Memandangkan ekonomi kita sekarang terjejas teruk dek kerana pandemik COVID-19 ramai yang terjejas sumber pendapatan. Baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin. Nasihat saya khususnya buat wanita-wanita yang terjejas dari segi sumber pendapatan keluarga, bersabarlah dan sentiasa percaya bahawa semua rezeki kita datang dariNya. Yakinlah kepadaNya.

Saya tahu ramai ibu dan wanita di luar sana yang hebat memasak. Bukan sekadar dapat menggembirakan hati seluruh ahli keluarga dengan air tangan sendiri bahkan kemahiran memasak itu juga boleh dimanfaatkan sebagai satu sumber ekonomi keluarga. Sekarang ni segalanya mudah, hanya di hujung jari (online). Ia boleh dijadikan inisiatif untuk membantu suami dalam menjana ekonomi keluarga bersama-sama.


Selain mengusahakan perniagaan tudung dan produk kecantikan, Datin Anne Ngasri juga masih aktif berlakon tetapi agak terhad. Datin Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri merupakan adik kepada pelakon dan penerbit NS Star Sdn Bhd, Darling Ngasri.
Kredit Foto: IG @annengasri_official @annengasri.exclusive