“Dulu Saya Jahil..”-DATIN SURINA. Niat Ke Tanah Suci Mekah Sebelum Usianya 40 Tahun Termakbul

Apabila berada di tanah suci Mekah tiada lagi perbezaan darjat mahupun pangkat. Semua yang ada sama di sisi Allah SWT.

Pengalaman kali pertama menunaikan umrah pada Mac lalu telah membawa perubahan besar dalam kehidupan Datin Surina Mohd Zain. Ia juga mengajar Datin Surina menjadi seorang yang redha dengan takdir Allah SWT.

Lebih membahagiakan Datin Surina apabila niatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah sebelum usia 40 tahun termakbul.

“Setiap kali selesai solat saya sering berdoa semoga suatu hari nanti saya dapat ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan apabila pada Mac lalu saya berpeluang menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada usia 39 tahun.

Sejak dulu saya memang dah berniat, sebelum umur 40 tahun mesti ada turning points ke arah kebaikan termasuk tujuan hidup. Objektif hidup saya ialah berjaya di dunia dan akhirat.

Saya ke tanah suci bersama suami, Dato’ Azhar Muhammad pada 20-30 Mac 2019 diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar iaitu Qalesya Travel & Services Sdn Bhd.”

PENGALAMAN DI TANAH SUCI

“Memandangkan ini pengalaman pertama saya, segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Sewaktu menjejakkan kaki ke tanah suci perasaan saya berlainan sekali, tidak seperti beberapa trip yang pernah saya pergi sebelum ini. Ia cukup membahagiakan dan menenangkan jiwa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Saya berpeluang menunaikan solat di Hijir Ismail selama 30 minit. Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad dengan pertolongan dua wanita dari Indonesia termasuk menjejakkan kaki ke Raudah. Saya dapat bersolat dan berdoa dengan selesa. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan atas izin-Nya.

Cuma saya tidak berkesempatan untuk melakukan tawaf wida’ kerana tiba-tiba datang haid. Selepas makan ubat, haid berhenti dan saya dapat meneruskan ibadah semula di Madinah.”

PERISTIWA MENAKJUBKAN

“Peristiwa ini terjadi ketika saya berniat hendak membawa kerusi wakaf masjid ke hotel memandangkan suami tidak dapat bersolat seperti biasa kerana kesihatannya yang tak mengizinkan. Niat saya hanyalah untuk memudahkan suami setiap kali dia nak ke masjid. Kadang-kadang suami terpaksa menggunakan kerusi agar dapat solat sambil duduk.

Nak dijadikan cerita ketika saya hendak mengambilnya di masjid, kerusi itu dah tiada di tempatnya. Lantas saya berniat untuk mencarinya semula esok selepas Subuh. Saya kembali ke hotel.

Namun apa yang berlaku amat menakjubkan. Pulang saja dari menunaikan solat isyak di masjid saya terkejut apabila melihat kerusi itu ada di depan pintu bilik hotel. Subhanallah!”

TERUS ISTIQAMAH

“Pengalaman ke tanah suci telah menjadikan saya seorang yang lebih redha dengan takdir Allah SWT. Saya percaya kita mesti berbuat baik dalam apa jua perkara mahupun keadaan demi mendapatkan ganjaran kebaikan dari Allah SWT. Semuanya kerana Dia.

Bagi saya segala yang dilakukan mahupuan kejayaan adalah untuk dunia dan akhirat. Ia perlu selari dan berpandukan ajaran serta undang-undang Islam. Secara tak langsung saya dapat menjaga penampilan dan kelakuan dengan baik. Saya akui sebelum ini saya jahil..

Impian saya selepas ini ialah untuk menunaikan ibadah haji pula. Never say good bye to Kaabah and Mecca. I will come back. Rindu sangat!”

Kredit Foto: Datin Surina Mohd Zain

 

 

IKLAN
Share