Erra Fazira Berhasrat Dalami Ilmu Agama Dengan Lebih Sempurna

Mempunyai pakej lengkap sebagai seorang wanita sempurna membuatkan kehidupan wanita yang berusia 44 tahun ini tidak pernah tersasar jauh daripada pandangan peminatnya. Apabila Erra Fazira yang merupakan pelakon utama Drama Gerak Khas ini diminta untuk mengulas tentang kerap dilihat menghadiri kelas mengaji atau cenderung ke arah program spiritual, jelasnya, “Sebenarnya aktiviti ini sudah lama saya aplikasikan dalam kehidupan seharian. Namun, kewujudan platform media sosial ini semakin memudahkan saya untuk berkongsi dengan peminat setiap aktiviti yang dilakukan.

Seperti belajar mengaji Al-Quran saya lebih seronok mengajak teman-teman rapat untuk bersama-sama memperbaiki bacaan dan memperbetulkan tajwid. Kadang-kadang timbul juga rasa malas untuk meneruskan pembelajaran tetapi kawan-kawan akan menjadi pemangkin menaikkan semangat untuk terus belajar. Namun, saya tetap menyimpan hasrat untuk mendalami ilmu agama dengan lebih sempurna seperti yang tersemat dalam hati setiap insan yang bergelar Muslimat.

Tutur wanita yang mempunyai semangat kental ini buat masa ini fokus kehidupannya ketika ini adalah untuk membesarkan anak tunggal kesayangannya, Engku Aleesya Engku Imran yang sekarang sudah berusia 9 tahun. “As much as possible saya akan habiskan masa, berdua bersama Aleesya dalam masa dua hari dua malam dalam seminggu. Agak mencabar juga dalam masa yang begitu terhad saya melakukan pelbagai aktiviti bersama dan dalam masa yang sama mendidik Aleeysa menjadi manusia yang berguna suatu hari kelak. Saya menerapkan elemen keseimbangan dalam mendidik Aleesya dengan memberi pendidikan akademik dan juga agama.

Saya boleh dikategorikan seorang ibu yang garang. Tapi garang saya bukan tidak kena pada tempat. Jika Aleesya membuat salah saya tegur dan berterus-terang tentang kesalahan yang dilakukannya. Sebagai ibu zaman moden ini, kita perlu berterus terang dengan anak-anak agar mereka tidak membelakangkan kita atau melakukan sesuatu di luar pengetahuan ibu dan bapa,” tutur Erra Fazira sambil tersenyum merenung Aleesya yang menemaninya sepanjang sesi penggambaran kami.

Tergambar riak ceria di wajah pelantun lagu Yang Terindah Hanya Lah Sementara ini apabila bercerita tentang perkembangan terkininya. “Kerjaya seni dan perniagaan saya buat masa ini berjalan seiring. Daripada segi karier seni, walaupun saya sudah tidak seaktif macam dahulu tetapi saya merencanakan perjalanan hidup mengikut keselesaan diri. Tawaran yang datang saya tapis dahulu dan lebih mementingkan Aleesya. Mempunyai anak yang sedang membesar, mana mungkin saya akan meninggalkan Aleesya dalam masa yang begitu lama.

Daripada segi perniagaan pula, saya bersyukur apabila perjalanan perniagaan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dan begitu positif. Walaupun bukan macam orang lain setiap hari perlu masuk ke pejabat tetapi saya mengaturkan dengan teliti. Saya mempunyai masalah lebih pus hati kalau buat sendiri. Oleh itu, saya bergerak mengikut keselesaan dan tidak memaksa jika sesuatu itu berada di luar kemampuan diri.

Jika di tanya apa siapa saya dalam masa lima tahun akan datang, sudah tentu saya mengharapkan menjadi seorang usahawan berjaya. Saya mengharapkan perniagaan saya akan lebih berkembang dan fokus saya lebih tertumpu pada perniagaan,” jelasnya.

 

 

 

 

 

IKLAN
Share