Jalan hidup kita, suka atau duka, semuanya telah disusun cantik oleh Allah. Sejak berkahwin pada tahun 2018, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang usahawanita terkenal tanah air.
Jika dahulu, Fazura sekadar mengusahakan butik fesyen House of Doll, kini beliau berjaya melahirkan lebih banyak rangkaian jenama gaya hidup dan Muslimah seperti Fazbulous, Fazura Skincare, Fazura Beauty, Tudung Fazura, Trudolly (jenama yang diusahakan bersama Puteri Zarith) serta yang terbaharu, Fazura Beauty Water.
Ads
Fazura Sebak Kenang Kisah Penghijrahanya!
Penghijrahan bagi Fazura sememangnya sudah diduga sejak awal lagi. Bermula dari sekadar berhijab hanya pada bulan Ramadan, Fazura dilihat perlahan-lahan menyenangi helaian yang lebih longgar dan sopan.
Pertama kali melangkah keluar dengan transformasi hijab sepenuhnya pada 4 tahun lalu, Fazura akui dirinya berasa sungguh tenang. Malah, Fattah Amin dan ahli keluarga Fazura merupakan antara orang terawal, yang gembira melihat perubahan aktress berusia 40 tahun itu.
“MasyaAllah, Dia permudahkan semua yang Faz buat. Apa saja yang terdetik di hati, tiba-tiba jadi mudah. Now I respect myself more!” Fazura
Sambil mengiyakan pendapat bahawa untuk bertudung itu mudah tapi untuk beristiqamah itu yang susah, Fazura tegas berpegang pada niat sebenarnya, iaitu menjadi wanita Muslimah yang sejati.
“Of course everyone has their own struggle. Macam saya semasa baru berhijrah pun, hati selalu berbolak-balik. Saya selalu berdoa dan mohon juga doa semua kepada Allah agar kebaikan ini berterusan buat selama-lamanya.” Fazura.
Bersyukur Perniagaan Tudung Beri Pengaruh Wanita Lain Bersama Tutup Aurat
Paling menyentuh hati, Fazura sangat bersyukur kerana perniagaan tudung yang dijalankan sedikit sebanyak membuka hati segelintir kaum wanita untuk mula belajar menutup aurat.
Sebagai salah seorang selebriti popular yang pernah menerima banyak anugerah, laluan Fazura dalam dunia keusahawanan terbentang luas menggunakan platform peminatnya yang ramai. Terkini, jumlah pengikut beliau mencapai 5.7 juta di Instagram dan 460,000 di TikTok!
Ibu kepada si comel Nur Fatima Aisya itu juga menolak sangkaan klise tentang fenomena artis bertudung semata-mata untuk berniaga. Bersangka baik dengan takdir Allah, pasti hikmah di sebaliknya besar sekali.
Ads
Pun begitu, sebagai wanita yang sering diangkat sebagai ikon fesyen, adakah jiwa Fazura terhadap seni fesyen telah benar-benar berubah?
Sejak Berhijab Makin Gemar Gayakan Busana Fesyen Patuh Syariah
“Sekarang Faz lebih seronok dan suka berfesyen, malah makin suka explore macam-macam gaya hijabi. Mujurlah sejak dulu Faz seorang yang ringkas dan suka tudung bawal.
Koleksi wardrobe pun banyak seluar jeans dan oversized shirt yang sesuai dengan diri Faz yang baru. Cuma itulah, Faz nak cuba lebih banyak stail hijab yang berbeza.”
Ads
Bersyukur kerana bukan sahaja dapat membantu membuka pintu hati para wanita untuk berhijab, perniagaan Tudung Fazura juga turut membantu orang lain, khususnya stokis dan ejen menjana pendapatan semula.
“Kebanyakan ‘besties’ saya ialah golongan suri rumah yang ingin membantu suami menjana pendapatan. Saya bangga dengan kejayaan mereka yang sama-sama mendukung jenama Tudung Fazura serta produk-produk saya yang lain.
Ini membakar semangat saya untuk terus menghasilkan produk pada harga mampu milik yang sesuai untuk semua.”
Untuk rekod, tudung Fazura antara jenama hijab Malaysia yang mencipta fenomena, menjadi rebutan dan koleksi ramai, sekaligus menjemput lebih ramai Muslimat menutup aurat. Melalui bisnes yang dibangunkan itu juga, Fazura berjaya membantu ramai wanita lain.
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Ketika manusia terpaut pada dunia, segalanya tak akan pernah cukup. Harus lebih lagi… Lebih kaya, lebih cantik, lebih berkuasa. Yang lemah terus ditindas, umpamanya sifat berat sebelah terhadap wanita. Inilah yang diperjuangkan oleh Amal Clooney serta 11 wanita lain yang diiktiraf Time’s Women of the Year.
Nama peguamcara berketurunan British-Lubnan, Amal Clooney cukup dikenali dengan perjuangannya menegakkan keadilan undang-undang am dan jenayah antarabangsa serta memperjuangkan hak asasi manusia.
Cantik, bijak dan seorang aktivis yang prihatin, Amal sebelum ini pernah bertugas sebagai penasihat bagi Setiausaha PBB Kofi Annan untuk isu konflik di Syria serta pensyarah undang-undang jenayah di Universiti London.
Wanita berusia 44 tahun dan isteri kepada aktor George Clooney itu lahir di Beirut sebelum keluarganya berpindah ke Eropah gara-gara perang saudara di Lubnan pada tahun 1982. Beliau mempunyai sepasang anak kembar iaitu Alexander dan Ella, 5 tahun.
Amal, atau nama sebenarnya Amal Ramzi Alamuddin merupakan seorang peguam hak asasi dan undang-undang antarabangsa tersohor di Britain. Beliau mahir berbahasa Inggeris, Perancis dan Arab.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Oxford, Amal meneruskan program Master di Universiti New York, sekaligus melayakkan beliau mempraktikkan undang-undang di United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Di antara kes berprofil tinggi yang dikendalikan adalah berkaitan pemenang Hadiah Nobel, Nadia Murad serta mewakili wartawan Al-Jazeera yang ditahan di Mesir. Pengasas Wikileaks, Julian Assange dan bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko juga pernah menjadi anak guam Amal Clooney.
Beliau juga adalah Presiden dan Pengasas Bersama Clooney Foundation for Justice.
Barisan penerbitan Time menyifatkan bahawa pandemik bukan saja menjejaskan kehidupan wanita, malah turut meningkatkan angka keganasan domestik dan menjadi punca kehilangan rezeki.
Dengan mengangkat nama-nama pemimpin wanita atau individu yang berani memperjuangkan kesamarataan gender pasti dapat memberi motivasi agar lebih ramai yang lain menyertai mereka.
Menyertai Amal Clooney dalam barisan senarai Time’s Women of the Year adalah Tracy Chou, Allyson Felix, Amanda Gorman, Sherrilyn Ifill, Jennie Joseph, Amanda Nguyen, Michaela Jaé Rodriguez, Kerry Washington, Kacey Musgraves, Adena Friedman dan Zahra Joya.
Selamat Hari Wanita Sedunia buat semua pembaca Majalah Nona. Bersama kita saling mendukung dan menguatkan satu sama lain!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pastinya ramai yang kagum dengan kefasihan influencer Dr Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali sebagai Dr Malar bertutur dalam Bahasa Melayu. Mana tidaknya, walau pun berbangsa India namun Bahasa Melayu sentiasa menjadi bahasa utama Dr Malar setiap hari. Sama ada ketika bekerja mahupun tatkala bersama keluarga tersayang.
Dek kerana kepetahan pegawai perubatan ini berbahasa Melayu dan mengangkat martabat bahasa rasmi berkenaan, kelebihan Dr Malar tersebut telah menarik perhatian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ketika ditanya sejak bila beliau fasih bertutur dalam Bahasa Melayu, Dr Malar menerusi perkongsian di media sosial mendedahkan perkara itu.
“Entah saya pun tak pasti…sejak lahir kot.”
“Saya ni cakap BM dengan adik-beradik, jadi seingat saya sejak keciklah saya cakap BM. Tapi umur berapa tu saya kurang pasti. Sepanjang-panjang Jalan 10 Taman TAS tu memang saya dan adik-beradik bercakap BM, berlari, bermain, terjun longkang, panjat tangki air kat Jalan 14, masuk hutan Lubuk Puyu belakang tu, semua terjerit terpekik dalam BM.
Saya paling rindu main galah panjang kat Jalan 10 tu, dari depan rumah Pak Cik Haris, sampailah ke depan rumah Pak Cik Abas kami lukis kotak galah panjang tu.”
Ujar Dr Malar, barangkali kerana sering bermain dengan rakan-rakan di kawasan tersebut membuatkan beliau dan adik-beradik mampu menguasai Bahasa Melayu sampai sekarang.
“BM adalah bahasa pertama saya. Saya fikir dalam BM, saya geram dan menyumpah dalam BM, malah saya sembahyang dan berdoa sebagai Hindu pun dalam BM juga. Memang pelik, tapi itulah bahasa selesa saya.
Terima kasih DBP atas pengiktirafan ini, Anugerah Ikon Bahasa DBP 2024. Walaupun saya bersyukur, namun setiap anugerah datang dengan tanggungjawab, maka bahu ini terasa makin berat. Doakan agar saya dapat pikul anugerah dan tanggungjawab ini dengan baik.
Terima kasih keluarga Jalan 10 Taman TAS yang membentuk saya. Terima kasih semua cikgu BM sepanjang hidup saya, Cikgu Sabri, Cikgu Sharifaf, Cikgu Halimatun Saadiah, Cikgu Azaman, dan ramai lagi.
Terima kasih kepada semua pengikut Celoteh Dr Malar yang tak pernah jemu memberi semangat kepada saya.
Dan terima kasih kepada adik beradik saya, 4 Malars, yang sampai sekarang cakap BM, gaduh dalam BM, chat dalam BM dan mengfasihkan BM satu sama lain.”
Cantik manis orangnya dan sangat merendah diri. YM Engku Liyana Zafirah berasal dari kerabat Diraja Pahang. Gadis manis berusia 31 tahun ini mesra disapa sebagai Engku Liyana.
Di sebalik ketenangan wajah yang dimiliki, Engku Liyana sebenarnya seorang gadis lasak serta aktif dengan kegiata sukan. Engku Liyana juga punya kerjaya hebat sebagai Pegawai Eksekutif di Universiti Putera Malaysia (UPM).
Sebelum bergelar Pegawai Eksekutif, Engku Liyana pernah bergelar juruwang di sebuah farmasi kesihatan sekitar tahun 2007. Ini membuktikan sejak usianya belasan tahun Engku Liyana seorang gadis yang berani dan berkeyakinan tinggi. Luaran nampak lembut namun dalaman jiwanya kental.
Maka tak hairanlah Engku Liyana yakin dan bersedia menerima suntikan vaksin COVID-19. Baru-baru ini Engku Liyana telah berkongsi di akaun Instagram peribadinya pengalaman saat menerima dos pertama vaksin. Engku Liyana kelihatan ceria serta bersemangat setelah menerima suntikan tersebut.
“COVID-19 adalah virus yang berjangkit. Kes meningkat setiap hari dan ini sangat membimbangkan. Datangnya kekuatan untuk mengambil vaksin adalah kerana saya ingin melihat kembali negara kita bebas daripada virus COVID-19 seterusnya dapat meneruskan aktiviti secara normal dan boleh berekreasi seperti dulu. Pergerakan pun tidak terhad.
Maka, pengambilan vaksin COVID-19 adalah sangat penting. Ia membantu antibodi kita untuk melawan, mengurangkan gejala dan risiko untuk jatuh sakit (yang serius) jika kita terdedah dengan jangkitan. Pengambilan COVID-19 juga salah satu kaedah untuk kita mengawal pandemik ini dengan membentuk imuniti kelompok.
Jenis vaksin yang saya terima ialah AstraZaneca (AZ). Namun sebelum itu, untuk memastikan saya benar-benar bersedia saya telah membuat persiapan awal dengan banyak membaca serta bertanya kepada rakan-rakan yang telah mengambil suntikan vaksin sebelum ini.
Saya dapati program imunisasi ada menyediakan parking flat rate RM2 (tidak lebih daripada 3 jam) di Sunway Putra Mall untuk penerima vaksin AZ ini. Ianya sangat membantu keana setelah meletakkan kenderaan, penerima vaksin boleh terus berjalan ke PWTC.
Alhamdulillah, setelah divaksin simptom yang saya alami tidak begitu serius. Tiada demam atau pening. Hanya badan yang terasa letih dan kurang bermaya. Selain itu, tiada sebarang pantang dari segi pemakanan.
Untuk dos ke-2 masih tiada tarikh yang diberikan. Namun saya telah pun dimaklumkan suntikan seterusnya adalah selepas 8-12 minggu dari tarikh suntikan pertama. Tarikh suntikan akan diberikan melalui aplikasi Mysejahtera.
Saya merayu kepada mereka yang masih ragu-ragu untuk mengambil vaksin agar ambil peluang terhadap semua jenis vaksin yang kerajaan tawarkan kerana ia dapat mengelak kita daripada jatuh sakit yang serius jika dijangkiti. Tahap keberkesanan adalah tinggi. Banyakkan membaca tentang keberkesanan vaksin. Bantulah negara untuk mengawal pandemik seterusnya mencapai imuniti kelompok serta tiada lagi kematian akibat COVID-19.
Bagi mereka yang masih menunggu peluang untuk divaksin diharapkan anda bersabar. Insha-Allah akan tiba masanya nanti dan semua akan menerima vaksin. Saya berharap fasa program imunisasi di negara kita dipercepatkan agar tiada lagi kesan negatif COVID-19 ini.
AMAL PEMAKANAN SIHAT
“Saya hanya amalkan air kosong secukupnya setiap hari. Saya turut mengurangkan makanan berminyak dan bergoreng. Sejak kecil keluarga saya memang tak galakkan kami ambil makanan ringan, minuman manis dan bergas. Alhamdulillah sampai sekarang kami masih pegang nasihat itu.
Selain itu, saya sentiasa melalui hari-hari dengan positif demi kesihatan mental dan fizikal, apatah lagi sekarang dengan keadaan pandemik COVID-19 yang memungkinkan kita untuk mudah merasa tertekan.
MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA
Sebagai anak saya sentiasa berusaha untuk membahagiakan dan menyenangkan kedua ibu bapa. Mungkin tak akan terbalas jasa mereka tapi saya akan merasa puas jika dapat melihat mereka bahagia dan gembira.
Merekalah sumber inspirasi saya sejak kecil. Kedua-duanya tegas dan berdisiplin dalam mendidik. Sejak kecil saya dan adik beradik dah diajar untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh sampai jadi. Seterusnya saya mahu fokus kepada kerjaya. Saya bersyukur kerana keluarga sentiasa menjadi tulang belakang untuk saya lakukan yang terbaik.”
Kredit Foto: Instagram @engkuliyana
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pastinya ramai yang kagum dengan kefasihan influencer Dr Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali sebagai Dr Malar bertutur dalam Bahasa Melayu. Mana tidaknya, walau pun berbangsa India namun Bahasa Melayu sentiasa menjadi bahasa utama Dr Malar ...