Gadis Cina Kelantan MEKYUN Fasih 4 Bahasa, Raih 2 Anugerah Terbaik Universiti

Nama Mekyun semestinya tidak asing lagi di kalangan warga maya terutamanya pengguna TikTok. Gadis cantik berbangsa Cina ini mula menjadi perhatian ramai setelah video yang memaparkan dirinya fasih berbahasa Melayu dan dialek Kelantan tular di TikTok tahun lalu.

Menariknya, kebanyakan koleksi videonya adalah di dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan. Sesekali turut diselitkan video dia berbahasa Inggeris.

Mekyun yang aktif di TikTok dan Instagram sering berkongsi pelbagai jenis kandungan video kreatif sama ada tentang dirinya mahupun kisah-kisah anak muda masa kini. Namun ianya lebih menjurus kepada kisah inspirasi. Ternyata, Mekyun bijak memanfaatkan platform media sosial yang bukan hanya berbentuk hiburan semata-mata.

Memiliki wajah pour Chinese look, Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee yang kini berusia 25 tahun berjaya meraih lebih 540, 000 pengikut di TikTok.

Selain fasih bertutur dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan, anak bongsu dari tiga beradik ini turut menguasai bahasa Thailand dan Hokkien. Ibunya berasal dari Lundang manakala bapanya dari Rantau Panjang, Kelantan.

Salah satu sebab Mekyun fasih berbahasa Melayu ialah sejak kecil dia dibesarkan dalam komuniti Melayu selain dihantar ke Tabika KEMAS, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Bukan Mekyun sahaja yang fasih berbahasa Melayu bahkan seluruh ahli keluarganya juga. Pernah menetap di Kelantan selama hampir tiga tahun ketika di bangku sekolah serta berjiran dengan masyarakat Melayu memberi kelebihan kepada Mekyun.

Menurut Mekyun yang pernah membintangi filem Hantu Mok Joh, ramai sebenarnya yang salah sangka dan menganggap dirinya orang Melayu. Malah, ada juga yang meggelarnya ‘Melayu free hair’ sewaktu di sekolah dahulu.

RAIH 2 ANUGERAH CEMERLANG
Baru-baru ini, Mekyun yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda jurusan Fakulti Kejuruteraan Elektrik ini menerima dua anugerah terbaik pada Istiadat Konvokesyen ke-21 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Anugerah Naib Canselor dan Anugerah Projek Sarjana Muda Terbaik.

Mekyun yang kini bertugas sebagai Eksekutif Growth & Culture di syarikat penerbangan AirAsia berkongsi rahsia kejayaan. Salah satunya ialah sentiasa berusaha membahagikan masa dengan sebaik mungkin agar pengajian tidak terjejas. Di samping itu, dia juga sering berkongsi kata-kata motivasi buat para pelajar di media sosialnya.

Mekyun turut menjadikan bapanya, Dato’ Wee Han Siew sebagai sumber inspirasi dalam mengejar impian dan kejayaan.

Memetik kata-kata Mekyun kepada Sinar Bestari, “Saya tidak mahu abaikan tanggungjawab sebagai pelajar walaupun pada ketika itu saya aktif sebagai Digital Content Creator,” jelas Mekyun yang pernah meraih keputusan 4 flat dan menerima beberapa anugerah emas dan perak ketika menyertai pertandingan bertemakan penyelidikan dan inovasi.

Kredit Foto: Instagram Mekyun

IKLAN
Share