Gaji Dah Lumayan Sebelum Cecah 30-an, Kagum Tengok Usaha Kental Puteri Carrina Kejar Impiannya!

Dunia diceburi YM Puteri Carrina atau mesra dengan sapaan Carrina bukan calang-calang. Tanpa komitmen dan kesungguhan tinggi, mungkin di pertengahan jalan akan kecundang.

Gadis berusia 28 tahun ini mula memasang angan menceburi bidang ini sejak berusia 21 tahun, dan akhirnya berjaya merealisasikan segalanya pada usia 25 sehingga sekarang.

Memiliki latar belakang pendidikan yang sungguh cemerlang, Carrina merupakan pemegang Diploma Pentadbiran Awam, Sarjana Muda Sains Pentadbiran (Kelas Pertama) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Sarjana Pentadbiran Awam (Kelas Pertama) di Universiti Malaya.

Dengan kekuatan ini, dia memilih kerjaya sebagai Perunding Kewangan. Hanya berbekalkan pengamatan dari media sosial, Carrina mula ‘jatuh cinta’ dengan kerjaya hebat ini.

“Bila saya mula join industri ni, keseronokannya 10 kali ganda daripada apa yang saya lihat di media sosial. Setiap hari adalah hari baru and it is a continuous learning environment

. Ia bukan sahaja memberikan saya peluang untuk membina kerjaya tetapi ia juga untuk membina diri saya sendiri.

The best part is, everyday I am adding values to people’s life. Saya melihat ini sebagai satu kerja yang mulia,” katanya.

Menjadi anak tunggal di dalam keluarga juga langsung tidak memberikannya kelebihan untuk bergantung hidup dengan keluarga. Carrina sendiri menyimpan impian untuk berjaya dan menjalani kehidupan yang dia bayangkan. Meletakkan Oprah Winfrey sebagai idola, Carrina bersyukur kerana Dato’ Akmar menjadi mentor dalam kerjayanya.

“Saya nekad untuk menceburi industri ini secara sepenuh masa pada tahun 2017 selepas tamat pengajian sarjana. Sejak itu, saya terus melihat ke hadapan lebih-lebih lagi apabila memikirkan bagaimana berjayanya dua idola saya dalam kehidupan dan kerjaya. Lebih membahagiakan apabila hasil penat lelah saya dapat memberikan kesenangan kepada ibu dan nenek.

Sejak di universiti lagi saya sudah mencari duit sendiri. Kalau ada benda yang saya nak beli, saya akan usaha cari duit dengan bekerja. Sejujurnya, sewaktu membesar saya tak tahu nak jadi apa. Cita-cita asyik bertukar-tukar. Yang saya tahu, saya ingin menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda. Saya nak add value pada orang yang mengenali saya.

Dalam industri ini, saya dikelilingi orang-orang yang positif, bijak dan sentiasa bekerja keras. Ia menjadi dorongan harian untuk saya kekal fokus. Kerjaya ini lebih dari sekadar wang ringgit. Ia membawa perubahan positif kepada kehidupan harian seseorang.

Tambahan pula, saya gemar bangun setiap hari dan tahu saya akan buat sesuatu yang berlainan berbanding hari sebelumnya,” ujarnya lagi.

Fasih berbahasa Mandarin, Carrina menolak kenyataan bahawa perunding kewangan perlu cantik. Baginya, ada perkara yang lebih penting dari itu yang perlu dititik beratkan.

“Tak semestinya anda cantik, baru boleh jadi Perunding Kewangan. Tidak! Paling penting adalah ketrampilan diri dan imej yang profesional dan menarik akan pasti mampu memudahkan urusan seharian seseorang terutamanya ketika berurusan dengan orang lain.

Kali pertama saya bertemu klien, saya menyarung sepasang seluar slack dan kemeja. Saat bertemu klien, saya dapat rasakan penampilan saya ketika itu kurang meyakinkan. Sedangkan kita rasa tak yakin, apatah lagi orang lain?

Sejak itu, saya ubah penampilan diri. Pakai blazer, barulah confident! Soal ketrampilan diri bukan hanya untuk kerjaya seperti saya tetapi dalam bidang apa pun. Ia menyerlahkan keyakinan diri dan secara tidak langsung, memperbaiki potensi diri,” kata Carrina.

PENCAPAIAN

“Saya amat bersyukur kerana banyak kejayaan telah saya kecapi selama beberapa tahun dalam industri. Antaranya adalah apabila saya menjadi ahli Million Dollar Round Table (MDRT) yang ditubuhkan pada 1927 di Amerika Syarikat.

Ia adalah pengiktirafan dunia dan persatuan utama untuk kewangan profesional. ia dianggotai 39,000 ahli dari 82 buah negara. Saya rasa amat rendah diri dan terharu kerana layak menjadi ahli sejak 2019 lagi.

Mungkin beradanya saya di tahap ini adalah atas rasa percaya diri. Ramai yang anggap kepercayaan diri adalah sesuatu yang tak boleh dipelajari dan semuanya datang dari takdir. Dan ia membuatkan mereka kurang berusaha untuk mengembangkan dan melatih rasa percaya diri.

Kedua, niat. I believe intentions are the roots of every action. From time to time, we may want to take a step back and revisit the intentions that drive us to achieve our goals,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Penyelaras & Penulis: Anis Nor

Foto: Ahmad Shahir Osman

Solekan: Norezz Idris

 

IKLAN
Share