Gaya Hidup

GASTRIK Bukan Penyakit Sengaja Bulan Ramadan, Kena TAHU Penyebabnya!

 

Bukan menjadikan berpuasa sebagai alasan untuk ‘culas’ berpuasa tetapi terdapat individu yang terpaksa mengharunginya. Aneka juadah yang terhidang di depan mata memang mengundang kita untuk menjamah kesemuanya tetapi perlu diingat, sistem penghadaman yang satu ini perlu dipelihara.

Ramai yang akan mengeluh mengalami masalah ketidakselesaan perut, sehingga mengakibatkan niat berpuasa kerap kali tergendala. Antaranya gejala perut yang tidak selesa, pedih ulu hati, masalah penghadaman atau penyakit ulser peptik yang menjadi-jadi.

 

Terdapat dua masalah utama yang berlaku kepada sistem gastrousus iaitu:

 

  1. a) Masalah akut pada bahagian atas sistem gastrousus

 

Refluks gastroesofagus

Aliran kandungan daripada perut atau duodenum ke bahagian esofagus. Kesannya bergantung kepada campuran asid, pepsin, garam hempedu dan enzim.

 

Gastritis

Inflamasi pada bahagian lapisan perut. Antara perkara yang menyebabkan keradangan ialah ubat, termakan bahan yang menghakis atau tekanan emosi.

 

Esofagitis

Inflamasi pada bahagian esofagus akibat aliran berlawanan kandungan di dalam duodenum. Kandungan ini mungkin mengandungi hempedu enzim atau alkali.

 

Dispepsia (bukan ulser)

Ketidakselesaan bahagian atas abdomen yang sekejap-sekejap selepas makan. Masalah ini dikaitkan dengan gangguan fungsi atau keupayaan penghadaman.

 

Ulser akibat ubat dan bahan kimia

Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut dan usus. Bahan-bahan seperti ubat, alkohol, kafein dan asap rokok boleh menyebabkan keadaan ini.

 

Ulser akibat tekanan

Hakisan dan kecederaan pada bahagian lapisan perut (bahagian utama), duodenum dan esofagus akibat tekanan emosi.

 

  1. b) Masalah kronik pada bahagian atas sistem gastrousus

 

Gastritis kronik

Berlaku kecederaan berpanjangan yang boleh memberi kesan negatif kepada fungsi perut untuk menghasilkan rembesan bagi proses penghadaman. Terdapat kaitan yang rapat antara masalah ini dengan tabiat merokok.

 

Ulser peptik

Secara umum, ulser dalam perut dan duodenum dikenali sebagai ulser peptik. Ini merupakan masalah kronik tetapi kadangkala pesakit boleh mendapat serangan akut (secara tiba-tiba). Kajian menunjukkan bahawa ulser peptik disebabkan oleh  kuman Helicobacter Pylori. Kuman ini kerap hadir bila berlaku keradangan pada bahagian lapisan perut.

 

Selain itu, ia ada kaitan dengan kesan  menghakis asid dan pepsin. Bahagian yang paling kerap menghadapi masalah ini ialah duodenum dalam perut. Masalah ulser peptik membawa implikasi kesihatan dan ekonomi yang serius. Kos rawatan agak mahal kerana ia melibatkan kemasukan ke hospital, kos profesional kesihatan dan kos ubat-ubatan serta kos dari sudut kehilangan produktiviti akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh yang lama.

 

Ulser gastrik

Pesakit mungkin mempunyai kandungan asid yang rendah atau normal. Ulser gastrik peringkat primer dikategorikan oleh rembesan asid yang sedikit, manakala ulser gastrik sekunder akibat ulser duodenal dikategorikan oleh rembesan asid yang tinggi. Pesakit sering merungut kesakitan dan pendarahan berlaku pada bahagian gastrousus. Darah boleh dikesan dalam muntah atau najis.

 

Kesakitan dirasakan dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas makan dan kekal selama 60 hingga 90 minit. Ini kerana makanan yang masuk ke dalam perut akan mengembangkan bahagian perut serta merangsang rembesan asid. Pesakit akan kerap berasa sakit apabila makan dan ini akan membuatkan pesakit tidak mahu makan dan mengakibatkan kehilangan berat badan.

 

Ulser duodenal

Ia disebabkan oleh rembesan asid dan pepsin yang terlalu banyak. Pesakit berasa sakit dua hingga tiga jam selepas makan dan boleh berterusan sehingga waktu makan yang selanjutnya. Ia berlaku apabila perut kosong. Sebaliknya pesakit ulser duodenal mempunyai selera makan yang baik dan peningkatan berat badan berlaku akibat pengambilan makanan yang kerap untuk mengurangkan atau mencegah rasa sakit.

 

Antara faktor yang menyebabkan ulser ialah gaya hidup, merokok, kafein, alkohol, tekanan, asid dan pepsin dan kuman bakteria Helicobactor Pylori.

 

RAWATAN

Pesakit boleh memilih sama ada untuk merawat sendiri atau merujuk kepada doktor. Kesemua in bergantung kepada tahap serta  jenis masalah yang dialami oleh individu. Jika rungutan berkaitan dengan maslah bahagian atas sistem gastrousus seperti gastritis akut tanpa pendarahan dan refluks, pesakit boleh berjumpa ahli farmasi dan mendapatkan nasihat serta ubat yang sesuai. Ubat dalam kumpulan antasid hanya boleh disarankan jika pesakit mengalami serangan akut atau maslah tersebut disebabkan oleh jenis dan jumlah makanan yang dimakan, pengambilan minuman beralkohol atau tekanan emosi.

 

Individu yang mengalami masalah yang akut tetapi terdapat tanda-tanda yang menunjukkan berlaku kecederaan yang teruk pada bahagian lapisan perut, pesakit tersebut harus dirujukkan kepada doktor. Pemerhatian doktor sangat penting jika individu mengalami gangguan yang kronik atau menghidap penyakit ulser. Ini penting kerana pesakit mungkin mengalami masalah lain seperti kanser pada bahagian perut atau duodenum. Gastritis akut yang berlaku berulang-ulang boleh mengakibatkan ulser gastrik.

 

 

IKLAN
Share