Memang patut dijadikan inspirasi! Muda-muda lagi Wani Kayrie dah mampu kumpul harta dan pandai cari duit. Malah, dia juga berjaya membuktikan kejayaan sebagai anak seni berjalan seiring dengan pencapaian akademik. Bijak Wani membahagikan masa di antara kerjaya dan pelajaran.
Yang pasti, segala pengorbanannya bersengkang mata dan berkejaran mencari duit serta menyambung pengajian berbaloi apabila salah satu impian Wani berjaya direalisasikan pada tahun baharu 2022.
Meniti usia 22 tahun, Wani atau nama penuhnya Syazwani Syafirah Abdullah diberi rezeki memiliki kereta idaman Mercedes-Benz CLA180. Bukan calang-calang kereta, dianggarkan nilai kereta tersebut mencecah RM192 ribu!
Berkongsi berita gembira itu, Wani mendedahkan kereta berkenaan ialah hadiah buat diri sendiri setelah penat bekerja sejak menceburi bidang seni. “Alhamdulillah terima kasih atas rezeki ini Ya Allah. Lama mengidamkan untuk ada kereta sendiri bagi urusan harian. Hasil titik peluh kerja pagi balik pagi, back to back kerja sampai sakit.
Ads
Semoga dengan hadiah ini menjadikan diri ini untuk lebih kuat berusaha mencari rezeki dan memberi ke depannya. Truly, trust the beautiful process of life.
Terima kasih semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan. Di sebalik kejayaan Wani, terselitnya doa-doa dari anda semua. Semoga yang baik-baik saja untuk kalian. Thank you mama for the surprise. Much love.”
Ads
Jelas pelantun lagu Aksara Cinta ini lagi, kereta Mercedes-Benz tersebut merupakan kereta baharu pertama yang pernah dimiliki selepas tiga tahun memandu kereta terpakai. Lebih manis, ia dibeli dengan hasil titik peluh sendiri.
Ads
Selain bergelar penyanyi, pelakon dan pengacara televisyen, Wani Kayrie juga merupakan pelajar Bachelor in Law and Commerce di Management & Science University (MSU).
Semoga kerja keras dan usaha yang ditunjukkan personaliti ini mampu menjadi pencetus semangat serta inspirasi untuk turut sama mencapai kejayaan.
Kredit foto: Instagram Wani Kayrie
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Generasi 90-an tentu masih ingat fenomena Moero Attack, siri drama TV Jepun paling popular ketika itu. Drama yang mengisahkan pasukan bola tampar wanita Jepun itu dibintangi Yumiko Araki yang membawa watak Kojika Joon.
Ingat lagi teknik popular ‘Somersoult Berpusing’? Lebih 30 tahun berlalu namun siri drama Moero Attack seperti masih segar di ingatan. Kalau anda masih ingat, dialog semasa bermain bola tampar khususnya ketika membuat pukulan spike pasti ada begini… “Joon/Chun! Somersault!”
Kemudian ada lagi beberapa teknik seperti servis piring terbang, servis tinggi, pukulan spike berkembar somersault… ah, nostalgia sungguh kalau dikenang semula!
Dengan ketinggian 153cm, kejelitaan Yumiko Araki pantas meniti bibir ke bibir. Dilahirkan pada 25 Januari 1960 di Saga, Jepun, beliau mula menceburi dunia seni iaitu berlakon dan menyanyi pada usia 18 tahun.
Watak pelajar sekolah tinggi, Kojika Joon sebagai pemain bola tampar menyuntik semangat kesukanan, sekaligus membakar semangat penonton terhadap sukan tersebut. Kojika melalui pelbagai cabaran untuk mara sebagai pemain skuad kebangsaan bola tampar Jepun.
Kojika ingin menunaikan hasrat ibunya yang ingin melihat beliau mewakili Jepun dalam acara bola tampar di temasya Sukan Olimpik. Ibunya telah meninggal dunia semasa Kojika masih bayi lagi dan tak tahu apa-apa langsung tentang sukan bola tampar.
Hendak dijadikan cerita, Ibu Kojika telah mewasiatkan sebuah buku lama yang mengandungi lakaran taktik-taktik akrobatik dalam bermain bola tampar kepada anaknya. Macam mana nak buat semua taktik-taktik tu, itu Kojika kenalah fikir sendiri.
Namun dengan saiz tubuhnya yang kecil dan rendah berbanding ketinggian pemain bola tampar yang sebenar, krew penggambaran terpaksa ‘merendahkan’ jaring sesuai dengan tubuh Kojika.
Dikatakan juga banyak kecederaan berlaku sewaktu penggambaran Moero Attack, antaranya kaki pelakon terkehel dan retak tulang.
SEKARANG
Pada zaman drama Moero Attack ditayangkan di RTM 1 pada 1989-1990, ramai wanita muda yang terinspirasi dengan kecantikan serta bakat lakonan Kojika Joon. Mungkin ketika inilah perkataan ‘Cun’ untuk gadis cantik diguna pakai oleh masyarakat Malaysia gara-gara tertawan kecantikan Yumiko Araki.
Namun Yumiko Araki memilih untuk bersara ketika namanya di puncak. Keputusan itu mengejutkan banyak pihak namun katanya…
“Sewaktu kecil saya ingin bergelar selebriti dan juga seorang pengantin…” Yumiko Araki
Sejak itu Yumiko Araki berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya serta memberi tumpuan penuh kepada keluarga. Sayang sekali, beliau telah didiagnosis menghidap kanser namun berjaya melalui fasa menyakitkan itu sekarang.
Pada usia 63 tahun, wajah wanita yang pernah menjadi igauan ramai ini kelihatan begitu ceria dan sihat. Agak sukar mendapatkan perkembangan terbaharunya sejak beliau memilih untuk menyepi, namun yang pasti watak Kojika Joon yang pernah dipegangnya dahulu kekal di memori!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anzalna berkongsi berita gembira dengan seluruh peminatnya apabila mengkhabarkan bahawa dirinya telah hamil setelah tiga tahun berkahwin. Pelakon yang terkenal dengan watak menggoda ini yang kini berusia 31 tahun telah benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu.
Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md Nasir kelihatan berseri-seri sewaktu mengadakan sesi pertemuan tempoh hari. Suami tercinta, Muhamad Hanif Mohamad Zaki setia menemani Anzalna sepanjang pertemuan berlangsung. Pasangan sama cantik sama padan ini bakal menyambut ulang tahun perkahwinan yang ketiga pada 22 Februari 2018 nanti.
Ketika ditemu bual nyata kedua-dua pasangan suami dan isteri ini teruja menanti kehadiran bayi yang sekian lama dinantikan oleh pasangan ini. Bibir Anzalna mahupun Hanif acap kali mengucapkan kalimah syukur kepada Sang Pencipta di atas anugerah yang tidak terhingga ini.
“Alhamdulillah, doa saya ketika mengerjakan umrah bersama Anzalna selepas perkahwinan kami telah dimakbulkan oleh Allah SWT. Antara doa saya di depan Kaabah selain daripada kebahagiaan kami suami isteri, saya juga berdoa agar dikurniakan cahaya mata ketika kami berdua benar-benar bersedia. Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur Allah SWT telah makbulkan doa kami berdua,” tutur Hanif sambil memandang isterinya dengan penuh rasa cinta.
Melihat kemesraan pasangan ini, terfikir tentang ‘kemanjaan’ Anzalna sejak berbadan dua. “Memang Hanif manjakan saya ketika ini. Saya tidak dibenarkan masak di dapur dan segala tugas memasak terpikul di bahu Hanif.
Kalau nak tahu Hanif bukan seorang lelaki yang pandai masak dan pernah masuk dapur. Bekas garam pun tidak tak tahu kat mana. Tetapi, inisiatif dia masak untuk saya mengundang rasa sebak. Saya rasa bersyukur sangat dianugerahkan suami seperti Hanif,” bicara Anzalna sambil menggenggam erat tangan suaminya.
Apa yang Hanif masak? “Seperti biasa, dia akan tengok You Tube untuk masak, masa Hanif masak steak okay lagi, tetapi bila Hanif masak Salmon Grill, terhangus,” terlerai tawa Anzalna ketika sedang bercerita.
Sampuk Hanif, “Tapi, Anzalna memang isteri yang baik. Tetap makan walaupun dia tahu Salmon Grill saya hangit. Selepas habis makan baru dia cakap, lain kali kalau masak Salmon Grill warna dia kena macam ini dan macam itu,” kata Hanif.
Adat wanita mengandung pasti ada teringin makan sesuatu. “Baru-baru ini saya teringin sangat makan Limau Bali. Nasib baik saya tak teringin Limau Bali yang di Tambun. Habis saya borong Limau Bali kat kawasan rumah ni. Saya makan Limau Bali tu macam saya makan nasi. Namun, sebelum ini saya tidak teringin makan makanan yang pelik-pelik,” jelas Anzalna yang usia kandungan sudah masuk lima bulan ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejujurnya kisah gadis ini pernah membuat penulis bergenang air mata. Kagum betul dengan semangatnya, biar tak mudah namun Siti Nurhikmah Razlan, 23 tahun, melalui kehidupan ini dengan tenang dan senyuman.
I tak mampu nak adakan satu mata lagi you, tapi later i belajar jadi yang terbaik okay… @hikhokkkk
Ciapan di atas pernah tular sekitar hujung 2019 disamping beberapa foto selfie-nya. Seorang gadis muda bertudung ayu, Hikmah namanya, tersenyum manis dengan hanya sebelah mata.
Kekuatan itu bagai memanggil penulis menjejaki akaun Hikmah di Instagram @hikmahrazlan. Bermula di situlah perkenalan kami, Hikmah yang kini masih menuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Kuantan rupa-rupanya seorang yang mesra dan mudah didekati.
“Sebenarnya sejak lahir lagi memang asal dah macam ni. Ramai ingat (hilang satu penglihatan) sebab kemalangan tapi bukan. Mungkin itulah rezeki Allah untuk Umi dan Abah saya serta dugaan untuk mereka.
Sejak kecil lagi saya selalu tengok Umi bersusah payah dengan Abah cari rezeki, mereka juga sanggup bersusah ulang-alik ke hospital untuk bagi rawatan terbaik untuk saya,” cerita gadis dari Utara itu.
Tambahnya, “Umi saya, Puan Diana Hussain, tak penah penat nasihat kami supaya jadi manusia terbaik. Dia taknak anak-anak dikeji atau menjadi orang tak berguna, lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang istimewa ni.
Sejak berjauhan dengan Umi kerana menuntut ilmu, saya rindu sangat bihun goreng dia. Rindu nak jumpa Umi dan dengar bebelan manjanya, meriah sangat!
Doa saya supaya Umi selalu sihat, dapat tengok kejayaan anak-anak, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Saya nak jadi macam Umi, seorang wanita yang kuat tapi penuh kasih sayang.
Saya juga selalu doa supaya Allah kembalikan semua yang Umi penah hilang dulu dia akan dapat balik satu hari nanti, insyaAllah.”
Kenangan paling sukar dilupakan tentang Umi? Soal penulis.
“Ada satu momen ni takkan saya lupakan sampai bila-bila. Masa tu saya dapat join satu brand ni dan telah diminta #OOTD dengan tudung tersebut.
Dengan perasaan teruja, saya pun dimekapkan oleh Umi. Umi cuba pakaikan eyeliner dekat sebelah mata saya yang takde ni, tapi nampak pelik sangat. Lepas tu tahu dia buat apa? Umi sapu buang balik eyeliner tu dan cakap dengan lembut, ‘Isy anak bertuah Umi ni’. Sampai sekarang kalau teringat momen tu, saya akan nangis sebab terlalu sebak.
Satu lagi bila saya nak exam, Umi selalu akan minta semua orang doakan kejayaan saya. Alhamdulilah, mungkin kerana doa Umi dan semua orang, saya mampu berada di sini sekarang.
Terapi Mekap
Dulu saya langsung tak pandai mekap. Saya cukup segan bila nak bersiap lawa-lawa. Takut orang cakap, ‘Budak tu dahlah macam tu, ada hati nak lawa-lawa.’ Jadi sebab kurang keyakinan diri, saya tekad belajar sendiri je.
Satu benda yang paling saya ingat, masa pertama kali belajar pakai kanta lekap. Sebelum ni saya takut sebab mata saya sebelah je, dan selalu tertanya-tanya boleh ke pakai sebelah mata? Punyalah curious sampai pegi tanya sorang akak di kedai cermin mata. Rupa-rupanya boleh.
Saya makin seronok bila dapat belajar mekap sikit-sikit walaupun yang ringkas. Ada sekali tu, Umi pakaikan eyeliner kat mata saya sebab saya fikir macam mana nak pakai sendiri kan? Kalau kita garis mata tentu kena tengok guna sebelah mata lagi.
Satu hari, saya try garis sendiri. Ya Allah, boleh sebenarnya! Kalau teringat perasaan saya masa tu, boleh menangis tau. Bukan sebab sedih, tapi sebab bangga dah boleh buat sendiri,” katanya sambil tertawa.
Positifkan Diri Sendiri
Sebagai wanita istimewa, Hikmah tentunya mempunyai cara tersendiri hingga jadi berani dan selamba ke tahap ini. Paling utama, dia boleh bergaul dengan semua pihak tanpa rasa segan, malah menginspirasikan pula orang lain.
“Saya rasa rugi kalau wujud perasaan down. Rasa membazir masa je nak sedih-sedih. Kalau dengar benda negatif, selalunya saya cakap dengan diri saya, jangan benci orang tu, boleh jadi kita pula jadi sumber kekuatan mereka satu hari nanti, atau sebaliknya.
Cukuplah saya selalu gembirakan orang lain walaupun dengan perkara yang ringkas. Itu pun dah buat saya jadi happy bila mudahkan orang lain.
Saya juga harap masyarakat akan lebih terbuka dan beri peluang sama rata kepada golongan istimewa macam kami. Kita semua tak sempurna, bukankah Allah bagi ujian yang berbeza untuk hamba-hamba-Nya?”
Mengakhiri perbualan, Hikmah turut menyatakan penghargaan pada rakan-rakan sebayanya yang selalu ada dari dia kecil sampai dewasa. “Selain Abah dan ahli keluarga saya, terima kasih juga untuk kawan-kawan sebab tak pernah malu ada kawan ‘kurang sempurna’ macam saya. Terima kasih sebab selalu ada dan terima kasih sebab ‘tolong bangunkan’ saya bila down.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.