Guru Al-Quran Harumkan Nama Malaysia, Ustazah Wan Sofea Aini Rangkul Gelaran Johan Qariah

Bukan wanita biasa, kejayaan guru Al-Quran ini harumkan nama Malaysia, sosok hebat Ustazah Wan Sofea Aini rangkul gelaran Johan Qariah.

Berusia 31 tahun dan ibu kepada sepasang cahaya mata, guru Al-Quran dari Pantai Timur iaitu Wan Sofea Aini binti Wan Mohd Zahidi merangkul tempat pertama kategori tilawah wanita, sekaligus bergelar Johan Qariah Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 yang berlangsung pada Sabtu.

Merekodkan markah cemerlang 95.88%, beliau menewaskan peserta Maghribi, Fatima Zahra Assafar (markah 89.38%) di tempat kedua dan peserta Indonesia, Nur Rahmiyatin Adhya (markah 87.59%) di tempat ketiga.

Facebook JAKIM
Facebook JAKIM
Facebook JAKIM

Kehebatan anak Malaysia dalam bidang Al-Quran juga menyerlah apabila Ustaz Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan turut dinobatkan sebagai Johan Qari dalam majlis yang sama.

Memetik video temu bual bersama Ustazah Wan Sofea Aini, beliau meluahkan rasa terharu dengan kejayaan tersebut biarpun sedang mengalami selesema.

“Sangat terharu. Saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas kejayaan pada malam ini, terima kasih kepada kaum keluarga, guru-guru dan rakyat Malaysia yang mendoakan saya dari awal sampai akhir.

Saat saya rasa putus asa, ibu dengan ayah sentiasa memberi semangat supaya jangan berhenti berjuang. Teruskan. Sehinggalah saya sampai ke tahap ini. Begitu juga dengan suami dan anak-anak saya. Mereka yang membakar semangat saya.

Facebook Wan Sofea Aini

Al-Quran ini adalah sesuatu yang sangat susah untuk kita istiqamah sebenarnya. Cubalah belajar, usah putus asa, mana tahu hari ini kita mula, suatu masa nanti kita pula menjadi inspirasi kepada orang lain,” ucap Ustazah Wan Sofea Aini.

Selain menjadi Johan Qariah Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-65 pada tahun ini, Ustazah Wan Sofea juga merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2025 serta Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2025.

Facebook Wan Sofea Aini
Facebook Wan Sofea Aini
Facebook Wan Sofea Aini

Ustazah Wan Sofea Aini merupakan anak kelahiran Bukit Payong, Terangganu mula mempelajari teknik taranum seawal usia 12 tahun dengan bimbingan ibunya sendiri.

Beliau yang juga alumni Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000 berserta barangan kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Membawa tema ‘Membangun Ummah MADANI’, MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-sulung-hidap-gastroperesis-raja-ema-gigih-cari-rezeki-jual-acar-menyanyi/

Share
Published by
Norzalina